JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merekodkan 31 kawasan hotspot berisiko tanah runtuh sepanjang musim Monsun Timur Laut tahun 2022.
Sebahagian besar kawasan hotspot tanah runtuh yang dikenalpasti terletak di negeri Pantai Barat antaranya Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sementara itu, di Pantai Timur melibatkan Kelantan dan Terengganu serta beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak.
Kawasan terlibat adalah Gunung Jerai dan Baling di Kedah; Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang; Lebuhraya Timur-Barat, Ipoh dan Jalan Tapah-Cameron Highlands di Perak; Kuala Kubu Bharu, Jalan Kuala Kubu-Raub, Sungai Buloh, Lebuhraya KL-Karak dan Bukit Antarabangsa di Selangor; Lojing-Gua Musang, Cameron Highlands, Temerloh dan Kuala Lipis di Pahang; Genting Peras, Seremban, Jalan Rembau-Johol dan Jalan Seremban-Simpang Pertang di Negeri Sembilan.
Diikuti Bukit Katil di Melaka; Gunung Pulai di Johor; Felda Aring-Kenyir-Kuala Berang dan Tanah Merah di Kelantan; Marang dan Dungun di Terengganu; Kota Kinabalu, Kundasang dan Sandakan di Sabah serta Miri, Kapit dan Bau di Sarawak.
Sepanjang 61 tahun iaitu dalam tempoh dari tahun 1961 hingga 2022, berdasarkan sumber JMG, negara merekodkan sebanyak 7,305 insiden tanah runtuh.
Felo Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik), Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Ir Dr Azman Kassim berkata, terdapat tiga kriteria untuk sesebuah kawasan diklasifikasikan sebagai hotspot tanah runtuh.
"Pertama, lokasi berisiko berlaku ancaman tanah runtuh selalunya berada di kawasan cerun tanah tinggi. Kedua, jenis tanah di kawasan berisiko dan ketiga, faktor penyumbang dan pencetus kegagalan cerun.
"Tiga kriteria itu merupakan antara faktor mengapa kawasan Pantai Barat Semenanjung lebih kerap mengalami insiden tanah runtuh berbanding Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak,” ujarnya kepada Sinar Premium.Tambahnya, untuk menentukan risiko tanah runtuh bagi lokasi yang berada di kawasan tanah tinggi, ia perlu mengambil kira aras kedudukan dan sudut kecerunan.
"Kawasan cerun tanah tinggi yang berada pada sudut kecerunan 35 darjah dan kurang untuk cerun semula jadi biasanya selamat namun untuk 35 darjah ke atas ia lebih cenderung mengalami kegagalan cerun.
"Seterusnya bagi jenis tanah, kebanyakan kawasan tanah tinggi di Semenanjung didapati asalnya terdiri daripada batuan induk granit namun apabila berlaku proses luluhawa, ia akan menjadi tanah pasir berkelodak (clayey sand) yang lebih mudah kehilangan kekuatan 'riceh' sekali gus mudah mendatangkan risiko tanah runtuh,” katanya.
Di Sabah dan Sarawak kata Azman, jarang berlaku tanah runtuh dalam skala besar berbanding di Semenanjung kerana faktor jenis tanah dan hasil luluhawa daripada batuan induk igneus yang lebih berketahanan tinggi.
"Bagi faktor pencetus disebabkan jumlah hujan pula, ada lokasi kawasan tadahan di tanah tinggi menerima hujan yang banyak dan ada menerima hujan sedikit, bergantung kepada luas dan kedalaman taburan hujan serta bentuk muka bumi di kawasan tersebut.
"Jenis tanah dan penutup tanah juga menentukan kadar dan jumlah air dapat diserap dan dialirkan ke dalam cerun tanah, di mana lebih banyak air hujan diserap, lebih tinggi risiko berlaku tanah runtuh,” jelasnya lagi.
Jelas beliau, adalah tidak tepat untuk hanya menumpukan kepada jumlah hujan pada hari berlaku kejadian tanah runtuh sebaliknya perlu melihat data hujan untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum kejadian bagi mendapat gambaran sebenar bagaimana tanah runtuh berkaitan hujan berlaku.
"Gabungan antara jumlah kumulatif hujan untuk tempoh berterusan 30 hari sebelum kejadian iaitu kebiasaannya sekitar 350 milimeter hingga 600 milimeter dan jumlah kumulatif hujan untuk tempoh pendek iaitu sehari hingga lima hari sebelum kejadian iaitu sekitar 180 milimeter hingga 300 milimeter dapat meramalkan lebih tepat kejadian tanah runtuh bersaiz kecil hingga sederhana,” tambah beliau.
Sehubungan itu, bagi mengelak tragedi tanah runtuh seperti di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu yang meragut 24 nyawa termasuk kanak-kanak setakat ini, Azman menekankan kepentingan pemantauan dan penyelenggaraan berkala.
"Juga amat perlu dikuatkuasakan polisi atau prosedur di mana aktiviti-aktiviti manusia dihadkan di kawasan tanah tinggi berisiko setiap kali musim monsun hujan,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca