SHAH ALAM - Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, dilihat tidak akan memberi impak negatif kepada kedudukan kewangan negara.

Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Bajet Mini bernilai lebih RM107 bilion berkenaan tidak akan menjejaskan kewangan semasa negara kerana ia akan menjadi sebahagian peruntukan Bajet 2023 yang akan dibentangkan awal tahun depan.

Malah, Ahmed Razman berkata, sebenarnya memang ada sesetengah perbelanjaan akan diteruskan tanpa kelulusan Parlimen seperti emolumen dan komitmen hutang tahunan tetapi perbelanjaan lain adalah perlu dapat kelulusan seperti bantuan Covid dan subsidi.

"Oleh itu, jika perbelanjaan segera ini tidak diluluskan, impaknya lebih kepada rakyat dan kadar inflasi yang boleh meningkat jika subsidi tahun hadapan tidak diluluskan," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa sidang Dewan Rakyat pada Selasa sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan RUU Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) tanpa bahas membabitkan peruntukan berjumlah RM107,718,676,650 bagi maksud perbelanjaan perkhidmatan.

DR RAZMAN

Anwar yang Menteri Kewangan ketika membentangkan bajet mini berkata, peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Ini susulan RUU Perbekalan 2023 atau Bajet tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Januari depan, maka peruntukan perlu dikeluarkan bagi perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Januari hingga tarikh RUU Perbekalan 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

Tambah, Anwar menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, perbelanjaan segera itu bagi maksud yang dinyatakan dalam penyata sementara, dibentangkan sebagai Kertas Perintah 54 Tahun 2022.

"Jumlah wang berkenaan dalam ruang tiga dan empat penyata itu bertentangan dengan maksud yang dinyatakan dalam ruang satu penyata ini adalah diuntukkan bagi perbelanjaan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan," katanya.

Anwar hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen. Turut hadir isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Ditanya mengenai peruntukan besar bakal diberikan kepada Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmed Razman berkata, kementerian berkenaan perlu diberikan peruntukan banyak bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan memberi limpahan ekonomi kepada semua, dan tiada lagi isu ketirisan, pembaziran dan rasuah berlaku di dalam kerajaan baharu ini

"Jika ketirisan dan rasuah dapat dikawal, tidak akan ada lagi isu tidak cukup perbelanjaan kerana Transparency International pernah menganggarkan 4 peratus daripada KDNK negara hilang akibat rasuah. Ini bermakna RM50 bilion hasil negara dapat dijimatkan jika rasuah dibanteras

"Kemungkinan peruntukan untuk setiap kementerian lain akan diteliti dan diperincikan untuk mendapat keseimbangan bajet, seperti yang telah dilakukan sebelum ini semasa DSAI menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1991 hingga 1998," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca