SHAH ALAM - Banjir yang berlaku di negara ini memberi impak yang sangat besar terutama kepada mental dan emosi penduduk, selain terpaksa menanggung kerugian harta benda.
Berikutan banjir yang saban tahun berlaku terutama di Pantai Timur, pakar mengemukakan tujuh cadangan bagi mengurangkan impak bencana tersebut pada masa-masa akan datang.
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, cadangan tersebut ialah menetapkan syarat pembinaan rumah baharu yang tinggi di kawasan berisiko banjir, membuat pelan penempatan dan mendalamkan sungai.
Cadangan lain termasuklah melebar dan mendalamkan sistem perparitan, menyediakan kolam takungan banjir, memelihara zon penampan hutan bakau dan menyediakan sistem pam berkapasiti tinggi.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengeluarkan satu garis panduan untuk penduduk yang mahu membina rumah di kawasan berisiko banjir.
"PBT boleh mengeluarkan satu garis panduan, jika mahu mendirikan rumah di lokasi yang kerap banjir, mereka perlu menyediakan reka bentuk yang bersesuaian. Misalnya rumah bertiang bagi melindungi struktur rumah daripada ditenggelami air ketika musim banjir.
"Semua ini memerlukan kepekaan dan kecaknaan PBT mengenai risiko banjir dalam kawasan di bawah pentadbiran PBT,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, pelan penempatan merupakan antara kaedah yang baik untuk mengurangkan kesan banjir seperti yang pernah disuarakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini.
Ujarnya, lokasi yang sudah dikenali sebagai dataran banjir sebaik-baiknya dijadikan kawasan pertanian, penternakan atau ekopelancongan berbanding membina perumahan atau bandar baharu.
"Begitu juga apabila mahu membina hospital atau sekolah, perlu memilih tempat yang sesuai dan tinggi, tetapi bukan di lereng bukit, tepi pantai atau tepi sungai,” jelasnya.
Tambah beliau, proses mendalamkan sungai juga dilihat sebagai salah satu cara untuk menangani banjir.
Bagaimanapun, katanya, untuk menjalankan kerja tersebut, pihak berkuasa perlu memainkan peranan mengawal aktiviti penggondolan bukit dan hutan secara berleluasa.
"Ada kesannya daripada pembangunan kerana aktiviti pembalakan akan mengakibatkan hakisan dan mendapan tanah sehingga menyebabkan sungai menjadi cetek. Jadi, jumlah air yang boleh masuk ke dalam sungai itu kurang.
"Isu akarnya ialah berkait dengan pembukaan tanah dan menggondol bukit tanpa pelan kawalan sedimentasi.
"Proses mendalamkan sungai ini baik tetapi untuk sementara, namun apa yang lebih baik adalah mengurangkan hakisan dan mendapan itu dahulu,” ujarnya.
Azizan berkata, penyediaan kolam takungan juga cara terbaik untuk menyimpan air lebihan yang boleh dilepaskan semula apabila paras sungai menurun.
"Konsep ini yang digunakan oleh Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) di ibu negara,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, zon penampan hutan bakau seharusnya dipelihara untuk mengurangkan impak banjir di sesuatu kawasan.
"Tumbuh-tumbuhan yang hidup di zon penampan berupaya memperlahankan arus air semasa berlakunya banjir, sekali gus mengelakkan limpahan air yang banyak ke kawasan berhampiran.
"Adalah lebih baik sekiranya zon penampan hutan bakau tidak diusik dan tidak diterokai untuk membuat perumahan,” tambah beliau.
Azizan turut mencadangkan agar sistem pam yang berkapasiti tinggi ditambah di kawasan terjejas dengan banjir termenung sebagai usaha membendung masalah banjir itu di seluruh negara.
Seterusnya, kata beliau, usaha melebar dan mendalamkan sistem perparitan perlu dilakukan bagi memastikan aliran air bertambah lancar.
"Usaha melebar dan mendalamkan parit adalah berkait rapat dengan banjir kilat. Parit-parit ini berfungsi untuk membawa air ke sungai atau laut apabila air laut pasang,” ujarnya.
Tujuh cadangan bagi memastikan banjir tidak beri impak besar:
1. Tetapkan syarat pembinaan rumah baharu di kawasan berisiko banjir.
2. Rangka pelan penempatan.
3. Dalamkan sungai.
4. Naik taraf sistem perparitan.
5. Sediakan kolam takungan banjir.
6. Pelihara zon penampan hutan bakau.
7. Sistem pam berkapasiti tinggi.
Klik di sini untuk terus membaca