MENETAP dan membesar di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab, Pahang membuatkan penulis bersama hampir 2,000 penduduk sudah lali dengan banjir saban tahun.
Ia berikutan kedudukan perkampungan tersebut berada di kawasan rendah.
Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penulis gusar memikirkan nasib keluarga dan penduduk setiap kali memasuki bulan Disember.
Peluang kembali ke kampung halaman pada tahun 2018 untuk bertugas, menyebabkan penulis merasai sendiri kepedihan dan kesukaran berdepan dengan banjir besar, tahun lepas.
Tanggal 4 Januari 2021, ia menjadi episod duka selepas rumah penduduk termasuk kediaman dua tingkat keluarga penulis sendiri ditenggelami banjir menghampiri paras bumbung.
Mengambil masa lebih seminggu untuk air surut, penduduk mengalami kerugian besar kerana tidak menyangka banjir seteruk itu dan penulis sendiri yang gagal menyelamatkan harta benda termasuk dua buah motosikal.
Pada 18 Disember tahun sama, sekali lagi kampung ini dilanda banjir besar yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 50 tahun berbanding 1971.
Air naik terlalu cepat dan penduduk tidak menduga bencana berkenaan lebih besar berbanding Januari sebelum itu.
Paras air yang tinggi menyebabkan rumah penulis terus tenggelam hingga tidak nampak bumbung, selain bot serta perahu yang memasuki kampung perlu berhati-hati agar tidak terlanggar kediaman.
Kali ini, penduduk terpaksa menunggu hampir dua minggu sebelum air surut sepenuhnya menyebabkan banyak barang termasuk perabot musnah.
Malah, sofa milik keluarga hanyut dan ditemui di atas bumbung rumah penduduk berhampiran.
Situasi tersebut menyebabkan penduduk tinggal sehelai sepinggang sekali lagi.
Terbaharu, kampung ini dilanda banjir pada 8 Disember lalu, menyebabkan ratusan penduduk termasuk penulis dan keluarga berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan dekat sini.
Natijahnya, sudah banyak kerugian kerosakan harta benda yang terpaksa ditanggung, selain kepenatan fizikal dan mental akibat berpindah-randah untuk menyelamatkan diri.
Sememangnya kami semua trauma dan detik ini, banjir kembali semula.
Namun, penulis dan penduduk di sini membuat persiapan awal sejak November lalu.
Kami pindahkan barangan ke tempat lebih tinggi dan selamat.
Sepanjang mengharungi musim tengkujuh ini, penulis dan penduduk kampung menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan sendiri.
Ia sedikit sebanyak membantu meringankan sedikit beban dan hiba kami.
Kawasan kampung sesak dengan kehadiran ratusan kenderaan seperti lori dan pacuan empat roda menghantar pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa terjejas.
Namun penulis dan penduduk berharap situasi itu dapat diatasi dengan segera, selain langkah drastik diambil memandangkan sudah puluhan tahun masalah sama dihadapi oleh kampung dan sekitarnya.
Meskipun ada pihak mencadangkan penduduk berpindah, namun mereka yang telah tinggal di kawasan tanah bergeran itu tidak mahu kerana sudah lama menetap di situ.
Kini penduduk menanti dan mengharapkan projek tebatan banjir disegerakan supaya tidak lagi berdepan masalah sama hampir setiap tahun susulan kerajaan negeri sudah mengumumkan sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi projek tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca