TUARAN - Walaupun sudah dua tahun berlalu tragedi serangan buaya di muara Sungai Kampung Mengkabong, namun ia tetap segar dalam ingatan Mohd Azam Arif Abdullah, 18, yang nyaris maut dalam kejadian itu. Mohd Azam berkata, dia sering... Klik di sini untuk terus membaca

TUARAN - Walaupun sudah dua tahun berlalu tragedi serangan buaya di muara Sungai Kampung Mengkabong, namun ia tetap segar dalam ingatan Mohd Azam Arif Abdullah, 18, yang nyaris maut dalam kejadian itu.

Mohd Azam berkata, dia sering mengalami mimpi ngeri diserang buaya sehingga menyebabkannya tidak pernah lagi keluar ke sungai yang berhampiran dengan rumahnya.

"Sejak kejadian diserang dan digigit buaya, saya sudah tidak pernah berani menjejak kaki ke sungai dan sering terbawa dalam mimpi diserang buaya malah pernah tidak dapat tidur kerana masih trauma dengan kejadian itu.

"Sehingga kini jelas kelihatan kesan luka di bahagian pinggang sehingga kaki akibat digigit buaya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Mengkabong, di sini.

Mengimbas semula kejadian itu, Mohd Azam yang berusia 16 tahun ketika itu berkata, semasa kejadian dia bersama kira-kira 11 rakan sekampung baru selesai mencari lokan di kawasan sungai berkenaan.

"Ketika itu kami sudah siap mencari lokan dan mahu membersihkan diri dengan mandi di sungai berkenaan. Tiba-tiba saya rasa digigit sesuatu dan apabila sedar rupanya seekor buaya yang besar berada di dalam sungai.

Asri antara rakan Mohd Azam yang cuba menyelamatkannya dengan memukul buaya berkenaan menggunakan pendayung dalam kejadian di muara Sungai Mengkabong, Tuaran.

"Saya segera meminta tolong dengan kawan-kawan sebelum ditarik oleh buaya masuk ke dalam air. Ketika itu saya bergelut kira-kira selama seminit untuk cuba melepaskan diri termasuk mencucuk matanya dan ketika itulah saya merasai sendiri keadaan kulit buaya yang keras.

Tambah Mohd Azam lagi, dia yang hampir tidak sedarkan diri dibawa menaiki perahu oleh penduduk kampung sebelum dibawa ke hospital berikutan kecederaan yang dialaminya.

"Saya cedera teruk di bahagian pinggang, darah membuak keluar sebelum dibawa ke hospital serta terpaksa dirawat selama beberapa minggu," katanya.

Sementara itu, seorang rakannya, Asri Salman, 12, mengimbas semula kejadian itu berkata, dia yang ketika itu berada di atas perahu cuba menyelamatkan Mohd Azam dengan memukul buaya berkenaan menggunakan pendayung.

"Masa kejadian itu saya baru berusia 10 tahun dan itu kali pertama saya nampak buaya, memang takut. Ketika itu saya berada di dalam perahu dan saya pukul buaya menggunakan pendayung.

"Ketika itu saya betul-betul dekat dan saya hanya nampak kepala buaya yang menyerang abang Mohd Azam," katanya yang juga menetap di kampung berkenaan.

Keadaan muara Sungai Kampung Mengkabong, Tuaran yang sudah tidak selamat untuk penduduk kampung selepas terdapat buaya di kawasan berkenaan.

Difahamkan, atas keberanian sekumpulan kanak-kanak dan remaja berkenaan melawan haiwan reptilia itu menyebabkan mereka semua diberi sijil penghargaan daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Tuaran.

Sebelum itu, hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, penduduk kampung mendakwa sering terlihat beberapa ekor buaya berada di sekitar kawasan berkenaan.

Penduduk turut mendakwa bahawa buaya yang menyerang kumpulan remaja di kampung itu sehingga kini belum berjaya ditangkap namun ada yang kenal haiwan berkenaan sehingga diberikan nama samaran termasuk dikenali sebagai Siti, Bujang dan Gagah.

Klik di sini untuk terus membaca