KOTA KINABALU - Lelaki Palauh (Bajau Laut) yang diserang buaya di perairan Lahad Datu masih mengharap jasad anaknya dikembalikan selepas setengah bulan hilang akibat disambar haiwan buas itu.
Morehat Lindasani, 45, dilihat masih dalam keadaan trauma dan seakan-akan hilang arah berikutan keadaan yang menimpanya pada 1 Disember lalu.
Beliau yang turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan tetap setia menunggu berita mengenai anak bongsunya yang hilang selepas disambar buaya.
Ketika ditemui wartawan Sinar Harian di rumah keluarganya di Likas baru-baru ini, beliau menceritakan semula peristiwa hitam yang meragut nyawa anak kesayangannya itu.
"Anak saya bernama Ari, baru berusia dua tahun. Dialah yang sering ikut saya ke mana saja dan pada hari kejadian, kami di Lahad Datu untuk membeli barang keperluan dengan mendayung sampan dari Kampung Labuan Haji, Semporna.
"Bagaimanapun, ketika itu ada operasi daripada pihak berkuasa. Biasalah kalau Palauh ini, kalau nampak operasi kami takut ditangkap," katanya.
Bercerita lanjut, Morehat berkata, dia yang panik ketika itu bertindak terjun bersama anaknya tanpa menyangka bahawa perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di Lahad Datu ada buaya.
"Saya tidak pernah tahu ada buaya di sana dan ketika kejadian, saya terjun kerana takut dengan pasukan operasi namun tidak sangka ada buaya.
Malah Morehat berkata, dia hanya menyedari anaknya hilang selepas menoleh ke belakang dan kepalanya juga cedera akibat digigit buaya.
Menurut Morehat, keadaannya ketika itu panik dan dia berusaha untuk mencari anaknya namun tidak menemuinya sepanjang kejadian itu berlaku.
"Sehingga kini kami masih menunggu jasad anak saya. Keluarga saya ketika ini masih ada di Semporna termasuk isteri dan enam anak saya yang lain," katanya.
Morehat dalam pada itu menunjukkan kecederaan yang dialaminya akibat digigit buaya dalam kejadian itu dan telah menerima rawatan daripada doktor yang memeriksanya.
Difahamkan, Morehat menerima hampir 80 jahitan selain turut diberikan antibiotik dan ubat untuk mencuci luka yang dialami.
Klik di sini untuk terus membaca