SHAH ALAM - Projek tebatan banjir perlu dilaksanakan di negeri yang sering terkesan sebagai langkah untuk mengatasi masalah bencana itu dalam jangka masa panjang.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, pelaksanaan projek itu dapat memudahkan proses serta menyelesaikan masalah pengaliran air banjir di kawasan yang sering mengalami limpahan air hujan.
"Harap kerajaan dapat melaksanakan projek tebatan banjir itu selain membina lebih banyak projek infrastruktrur bagi mengelak banjir berulang setiap tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Badlishah Sham berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan bantuan disalurkan itu menjadi lebih teratur dan cepat.
"Saya harap perkara ini dapat diperbaiki supaya apabila berlaku bencana seperti banjir maka ada kerjasama yang kukuh antara agensi kerajaan bersama NGO dan masyarakat untuk sama-sama memberi bantuan kepada golongan terkesan," ujarnya.
Tambah beliau, pemberian bantuan itu menjadi selaras dan tersasar ke suatu kawasan yang lebih terjejas.
"Kalau ada penyelarasan ia akan lebih tersasar, sebagai contoh suatu kawasan di daerah yang mengalami banjir besar dan memerlukan lebih banyak bantuan maka semua pihak akan fokus di kawasan itu.
"Kerjasama itu menyebabkan bantuan itu dapat disampaikan secara cepat dan teratur," ujarnya.
Ikram menerusi Yayasan Ikram Malaysia menggerakkan bantuan di negeri yang sering terkesan dengan banjir seperti Kelantan dan Terengganu.
Ikram yang bergiat aktif sejak tahun 2010 mempunyai agensi sendiri mengurus bencana banjir dan memberi bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Klik di sini untuk terus membaca