KOTA KINABALU - Tinjauan terhadap populasi buaya tembaga dilakukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di lima buah sungai di negeri itu menunjukkan kewujudan haiwan berkenaan dalam jumlah yang sangat tinggi.
Menurut Profesor Dr Abdul Hamid Ahmad yang terbabit dalam bidang zoologi di UMS, tinjauan yang bermula sejak 2006 hingga 2012 di Sungai Kinarut di Papar, Sungai Klias di Beaufort, Sungai Paitan di Beluran, Sungai Kinabatangan di Sandakan dan juga Sungai Serudong di Tawau.
"Hasil tinjauan menunjukkan kepadatan adalah lebih tinggi dan yang jelas daripada semua tinjauan buaya di Sabah sejak 1990-an lagi ialah populasi haiwan ini di sungai-sungai di Sabah membiak dengan baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, anak buaya akan dapat dilihat sekitar Januari hingga Februari dan sekitar Julai hingga Ogos setiap tahun.
"Oleh kerana telur buaya mengambil masa hampir tiga bulan untuk menetas di sarang semula jadi, bolehlah dijangkakan musim pembiakan buaya di sungai-sungai di Sabah ialah sekitar Oktober hingga November dan sekitar April hingga Mei setiap tahun. Tempoh-tempoh ini serentak dengan awal musim hujan," katanya.
Katanya lagi, buaya yang ada di negara ini termasuk di Sabah adalah jenis buaya tembaga atau nama spesiesnya crocodylus porosus.
"Inilah buaya yang tersebar paling luas berbanding 23 spesies buaya lain dan ia boleh ditemui di kawasan sungai, tasik dan kawasan-kawasan pulau yang terangkum dalam kawasan bermula sebelah timur India sehingga Asia Tenggara, kepulauan Pasifik di sebelah timur dan hingga ke utara Australia," katanya.
Menjelaskan fizikal buaya yang ada di Sabah, ia sejenis reptilia besar yang panjang umur dan secara teori akan kekal tumbesar sepanjang hayat.
"Ia juga spesies buaya yang mencapai saiz paling besar berbanding semua buaya yang lain. Oleh itu, buaya besar melebihi enam meter akan tetap membesar selagi ia hidup dan buaya jantan lebih besar serta hampir semua buaya yang melebihi saiz lima meter ialah buaya jantan.
"Ada rekod terkini yang menunjukkan buaya tembaga boleh mencapai saiz sehingga melebihi tujuh meter dan berasaskan kepada tempoh perlindungan buaya di Sabah serta sifat pembiakan, umur dan tumbesaran haiwan ini, dapatlah kita fahami bahawa bukan sahaja bilangan buaya sudah bertambah, malah saiznya juga sudah bertambah.
"Buaya yang kecil pada 1990-an kini sudah besar dan buaya yang besar pada tahun berkenaan sudah menjadi sangat besar," jelasnya.
Abdul Hamid berkata, sebagai haiwan pemangsa maka kandungan tenaga dalam makanannya adalah tinggi dan tidak memerlukannya terlalu kerap memburu.
"Malah dalam keadaan tanpa makanan, buaya masih boleh hidup sehingga dua tahun. Hal ini menyebabkan buaya besar sukar dapat dilihat kerana selepas mendapat mangsa, ia akan bersembunyi selama beberapa bulan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca