SHAH ALAM - Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri yang terjejas meningkat kepada seramai 72,510 orang, setakat jam 4 petang Rabu, berbanding 72,297 pada jam 6 pagi. Sehingga kini, lima negeri yang terjejas dengan bencana itu iaitu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri yang terjejas meningkat kepada seramai 72,510 orang, setakat jam 4 petang Rabu, berbanding 72,297 pada jam 6 pagi.

Sehingga kini, lima negeri yang terjejas dengan bencana itu iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, melibatkan 20,346 keluarga.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 40,377 orang melibatkan 11,079 keluarga.

Kelantan merekodkan negeri kedua tertinggi dengan 32,029 mangsa melibatkan 9,441 keluarga.

Limpahan air Sungai Golok yang mula memenuhi Jalan Pengkalan Kubor ke Kampung Simpangan di Tumpat ketika tinjauan pada Rabu. - Foto Bernama

Sementara itu, di Johor seramai 48 mangsa daripada 15 keluarga yang terjejas dengan banjir, manakala Pahang mencatatkan 30 mangsa melibatkan tujuh keluarga.

Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir paling sedikit ketika ini, iaitu seramai 26 orang melibatkan 12 keluarga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman sehingga Khamis.

Dalam pada itu, hujan lebat berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu).

Turut diramal mengalami situasi sama, Pahang melibatkan (Jerantut dan Maran) serta Johor di Segamat, Batu Pahat dan Pontian.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang dalam tempoh Jumaat Disember hingga Sabtu.

MetMalaysia turut memaklumkan, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan dalam tempoh Jumaat hingga Isnin.

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!

Klik di sini untuk terus membaca