KOTA KINABALU - Terdapat sebanyak 2,886 ekor buaya di seluruh negeri ini yang berjaya direkodkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi satu kajian yang dibuat selama dua tahun pada 2017 hingga 2019.
Kajian itu dilakukan setiap 20 tahun sekali membabitkan sebanyak 10 sungai di beberapa daerah yang ada bagi melihat jumlah populasi buaya di negeri ini.
Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, kajian itu dilaksanakan oleh saintis dari Danau Girang untuk melakukan kerja-kerja merekod jumlah populasi buaya di Sabah.
"Kajian pertama dibuat pada tahun 1984, ketika itu memang kurang populasi buaya dan kajian kedua pada tahun 2002 didapati ada peningkatan dari segi populasi manakala pada 2019 populasi tidak meningkat seperti yang dijangkakan.
"Kajian ini dijalankan selama dua tahun tetapi bukan di semua sungai di Sabah dan kita hanya menumpukan kepada 10 sungai iaitu Sungai Klias dan Sungai Padas di Beaufort, Sungai Kinabatangan di Sandakan, Sungai Silabukan dan Sungai Segama di Lahad Datu, Sungai Bengkoka di Pitas, Sungai Paitan dan Sungai Labuk di Beluran serta Sungai Serudong di Tawau.
"Hasil kajian di sepanjang 1,829 kilometer di 10 sungai terbabit, terdapat 2,886 ekor buaya yang direkodkan, di mana Sungai Kinabatangan paling banyak ada buaya dengan jumlah sebanyak 1,368 ekor buaya dan selebihnya di Sungai Serudong manakala paling sedikit buaya di Sungai Segama," katanya kepada Sinar Harian.
Menjelaskan kaedah kajian itu dibuat, jumlah populasi buaya biasanya dilakukan pada waktu malam ketika keadaan air sungai surut dan haiwan ini sebenarnya tidak berkumpul tetapi ditemui secara rawak.
Augustine turut menjelaskan bahawa tiada lokasi baharu bagi populasi buaya berkenaan berikutan penemuan haiwan itu di kawasan perairan laut seperti di Lahad Datu, Semporna dan Pitas.
Berdasarkan itu, Augustine menolak bahawa buaya di negeri ini sedang mengganas berikutan kejadian serangan buaya yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
"Serangan ini, bukan buaya itu sengaja mencari mangsa. Bagi saya mungkin kebetulan mangsa yang diserang buaya berada di tempat dan masa yang salah, buaya itu pula berada di tempat dan masa yang betul. Jadi bukan dikatakan buaya ini mengganas.
"Saya percaya ini hanya pertemuan kebetulan tetapi itulah naluri semula jadi buaya yang kebetulan mencari makanan jadi berlakulah serangan, orang kata ia mengganas tetapi bukan buaya itu sengaja mencari mangsa.
"Malah saya pernah lihat sendiri di Sukau (Kinabatangan), di seberang sungai ada buaya berenang manakala di seberang lagi budak-budak sedang mandi tanpa diganggu oleh haiwan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, konflik itu berlaku adalah disebabkan habitat asal haiwan berkenaan terutama di kawasan bakau telah ditimbus untuk dijadikan pembangunan atau penempatan menyebabkan ia beralih ke kawasan lain dan berlakulah serangan buaya terhadap manusia.
Klik di sini untuk terus membaca