SHAH ALAM - Kedudukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih kekal stabil dan tidak bergolak meskipun beberapa pemimpin parti berkenaan telah meletakkan jawatan kerana didakwa tidak bersetuju dengan cadangan menyertai Pakatan Harapan (PH) demi survival politik.
Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Pejuang masih kekal dengan prinsip perjuangan asal dan tidak menghalang mana-mana ahli yang mahu meletak jawatan atas apa jua sebab sama ada kerana perbezaan pendapat atau ingin berehat daripada politik kepartian buat sementara waktu.
"Memandangkan kita kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, tentunya pimpinan parti perlu membuat post mortem yang baik, mendengar pandangan akar umbi supaya kita boleh membetulkan strategi kita untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik.
Pada Selasa, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, perkhidmatannya dalam Pejuang kini sudah tidak relevan lagi apabila peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pejuang diterima oleh Biro Politik parti dan dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pusat pada 15 Disember lalu.
Tambah Khairuddin, beliau juga telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila bekas Menteri Besar Kedah itu mencadangkan supaya Pejuang menyertai PH semasa mesyuarat MEP berkenaan.
Mengulas mengenai perkara tersebut, ujar Che Asmah, kenyataan tersebut datang daripada Khairuddin sendiri dan bukannya daripada Presiden parti.
Kata beliau, pihaknya masih lagi menilai beberapa strategi untuk meneruskan kelangsungan parti dan belum membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.
"Presiden tidak berkata yang kita perlu merujuk balik kepada PH, itu kenyataan dia (Khairuddin), jadi hanya dia yang boleh memberi penjelasan sebab apa yang kami lihat adalah berbagai strategi yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan parti.
"Saya dalam pimpinan, kita tidak berkata sama ada akan kembali pada PH ataupun sertai Perikatan Nasional (PN), kita tidak membuat apa-apa ketetapan pun lagi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca