BRUSSELS - Bumi bakal menghadapi kepupusan secara besar-besaran atau krisis biotik yang akan menyaksikan 'kehilangan' lebih satu persepuluh spesies haiwan dan tumbuhan menjelang 2100.
Amaran itu diumumkan saintis Australia dan Eropah melalui kajian terbaharu mereka yang diterbitkan menerusi jurnal Science Advances pada minggu lalu berdasarkan pemerhatian terhadap 'bumi maya' berhubung impak perubahan iklim ke atas biodiversiti dunia.
Hasil penyelidikan yang diketuai saintis Suruhanjaya Eropah (EC), Giovanni Strona dan Profesor Corey Bradshaw dari University Flinders di Adelaide, Australia itu menunjukkan 13 peratus spesies haiwan dan tumbuhan akan pupus pada 2050 di bawah senario terburuk dan angka itu berpotensi meningkat kepada 27 peratus menjelang akhir abad ini.
Kumpulan saintis tersebut menyalahkan tindakan 'eksploitasi sumber secara berlebihan' dan pencerobohan biologi yang menyebabkan permasalahan itu.
Lebih membimbangkan, ahli akademik itu menyatakan bumi sudah pun memasuki fasa kepupusan secara besar-besaran keenam yang jelas berpunca daripada aktiviti manusia dan fenomena perubahan iklim yang kini mencetuskan keadaan cuaca tidak menentu di seluruh dunia.
"Individu yang dilahirkan pada hari ini bakal menempuh usia 70-an mereka dengan menyaksikan kehilangan ribuan spesies haiwan dan tumbuhan daripada sekecil-kecil orkid dan serangga kepada haiwan ikonik seperti gajah serta koala,” kata Bradshaw.
Dengan menggunakan super komputer, saintis tersebut mereka bumi dengan lebih 15,000 'jaringan makanan' untuk meramalkan nasib spesies yang saling berkaitan.
Menurut kumpulan penyelidik itu, alat tersebut boleh memetakan kepupusan di mana-mana kawasan di bumi dan membuat ramalan tentang masa depan yang suram untuk diversiti global.
Pendekatan sebelum ini untuk menilai trajektori kepupusan sepanjang abad akan datang didakwa kurang tepat kerana tidak menggabungkan kepupusan bersama.
Difahamkan, kepupusan bersama merujuk kepada kumpulan haiwan atau tumbuhan yang pupus kerana spesies lain yang bergantung kepada perubahan iklim atau perubahan habitat mereka.
"Bayangkan tentang spesies pemangsa yang kehilangan mangsa akibat perubahan iklim. Ketiadaan sumber makanan juga akan menjadi penyebab spesies pemangsa turut sama pupus,” jelas Bradshaw lagi.
Penyelidikan mereka juga mendapati kepupusan bersama kini diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada kehilangan biodiversiti global.
"Waktu suram untuk komuniti alam semula jadi diramalkan berlaku dalam tempoh beberapa dekad akan datang yang bakal menentukan masa depan biodiversiti global,” tambahnya.
Bagi mengelakkan perkara itu daripada berlaku, satu kesepakatan untuk melindungi satu pertiga bumi bagi kelestarian alam semula jadi dicapai ketika Sidang Kemuncak Biodiversiti (COP15) di Kanada pada awal minggu lalu.
Perjanjian bersejarah itu dipersetujui lebih 190 negara yang menzahirkan komitmen selama sedekad terhadap 20 matlamat termasuk pemulihan ekosistem, penggunaan biodiversiti secara mampan selain menggembleng usaha bagi menghalang kepupusan spesies.
Sidang kemuncak di Montreal tersebut dilihat sebagai 'peluang terakhir' untuk meletakkan alam semula jadi pada laluan pemulihan walaupun pelaksanaannya dijangka berdepan cabaran besar kerana bumi sedang menuju fasa perubahan iklim yang ekstrem. - Agensi
Info
- Menurut senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam, lebih 42,100 spesies diancam kepupusan.
- Secara keseluruhan, kepupusan bersama akan meningkatkan kadar spesies paling berisiko pupus sehingga 184 peratus menjelang akhir abad ini.
- Bumi pernah mengalami lima fasa kepupusan secara besar-besaran. Ancaman kepupusan keenam diramalkan sebagai 'kehilangan spesies paling besar' sejak dinosaur lenyap kira-kira 66 juta tahun lalu.
- Dua spesies vertebrata iaitu kumpulan haiwan bertulang belakang pupus pada setiap tahun secara purata sejak seabad lalu.
- Laporan penyelidikan pada 2017 mendakwa 'pemusnahan biologi' hidupan liar sejak beberapa dekad lalu telah mencetuskan kepupusan besar-besaran keenam dan bumi sedang menuju ke arah 'krisis global'.
Klik di sini untuk terus membaca