PIALA Dunia FIFA 2022 di Qatar telah melabuhkan tirainya dengan Argentina muncul sebagai juara dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik. Penganjuran edisi kali ini telah menerima pelbagai julukan antaranya Piala Dunia terbaik, penuh... Klik di sini untuk terus membaca

PIALA Dunia FIFA 2022 di Qatar telah melabuhkan tirainya dengan Argentina muncul sebagai juara dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik.

Penganjuran edisi kali ini telah menerima pelbagai julukan antaranya Piala Dunia terbaik, penuh dengan kejutan, hospitaliti terbaik dan pelbagai lagi.

Namun dari perspektif lain, Qatar selaku tuan rumah telah berjaya mengangkat imej Islam di mata dunia.

Sebagai sebuah negara Muslim konservatif, Qatar berjaya menggarap peluang ini sebaik mungkin dan menjadikan ia sebagai medan solidariti terhadap Palestin dan mengembangkan dakwah Islam.

Qatar yang merupakan negara pro-Palestin telah menolak sebarang kerjasama dengan Israel semenjak awal lagi.

Qatar menolak permintaan rejim Zionis untuk mewujudkan konsulat Israel bagi memudahkan rakyat Israel ke Qatar sepanjang kejohanan tersebut.

Qatar turut mengekalkan pendirian mereka untuk tidak mengiktiraf negara haram Zionis dengan memadamkan nama "Israel" dan menggantikannya dengan "wilayah Palestin yang dijajah" dalam urusan tempahan tiket perlawanan dan pakej hospitaliti Piala Dunia FIFA 2022.

Solidariti yang ditunjukkan bukan sahaja daripada bangsa Arab atau orang Islam, bahkan terdapat sokongan yang meluas daripada golongan bukan Islam dari negara-negara Barat seperti Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.

Mereka sama-sama melontarkan laungan "Bebaskan Palestin” yang turut bergema di dalam dan luar stadium.

Bendera Palestin menjadi suatu pemandangan yang biasa apabila bendera Palestin berkibar di segenap penjuru menghiasi di stadium dan jalanan.

Selain menjadikan Piala Dunia FIFA sebagai medan untuk menyatakan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin, Qatar turut gunakan peluang ini sebagai medan dakwah Islam.

Nilai-nilai Islam diterapkan dengan upacara perasmian yang disulami alunan merdu ayat al-Quran daripada surah al-Hujurat sebagai simbolik perpaduan.

Selain itu, Qatar memperketat peraturan terhadap sebarang unsur LGBTQ.

Mereka yang mempamerkan sebarang unsur LGBTQ akan ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.

Pemain yang cuba untuk berbuat demikian juga akan berdepan dengan denda.

Qatar turut mempamerkan budaya dan akhlak Islam pada dunia. Para tetamu ini dimuliakan selari dengan prinsip ajaran Islam.

Pelancong-pelancong luar dijemput sebagai tetamu ke rumah, diedarkan makan secara percuma, diberi hadiah, dihulurkan pertolongan dan sebagainya.

Ramai yang tertarik dengan Islam setelah menerima layanan istimewa daripada umat Islam dan menerima perspektif baharu tentang Islam.

Seterusnya, pengharaman arak berjaya menjadikan temasya sukan terbesar dunia ini bebas daripada sebarang pergaduhan dan keganasan berbanding penganjuran Piala Dunia sebelum ini.

Melalui inisiatif ini juga, bilangan penyokong yang mabuk dan hilang kawalan dapat dikurangkan.

Penyokong juga dilarang mengeluarkan perkataan kesat dan tidak menjaga batas pergaulan serta pemakaian yang tidak sopan di khalayak ramai.

Di samping itu, laungan azan yang merdu secara besar-besaran berjaya menarik penyokong-penyokong ini untuk menziarahi masjid-masjid yang ada.

Pelancong wanita juga berkongsi perasaan mereka yang berasa selamat dan menerima layanan istimewa daripada Qatar.

Mereka mempunyai laluan istimewa untuk wanita masuk ke dalam stadium.

Hanya pegawai keselamatan yang terdiri daripada wanita sahaja ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan sekuriti di laluan masuk ke stadium tersebut.

Usaha lain yang dilakukan Qatar adalah menghiasai papan-papan tanda dengan hadis-hadis Rasulullah SAW, kod bar disediakan di hotel menerangkan tentang Islam secara mudah, solat Jumaat dilakukan di padang terbuka di luar stadium, surau lut sinar dibina bagi mempamerkan cara umat Islam beribadah, menyediakan ruang solat dan wuduk yang mudah diakses dan para pendakwah dijemput dari seluruh dunia.

Pelbagai ruang dakwah disediakan dan hasilnya diangggarkan lebih 500 orang telah memeluk Islam sepanjang musim Piala Dunia berlangsung.

Mereka harus dipuji atas kejayaan penganjuran temasya bertaraf dunia yang sedikit sebanyak memperbetulkan tanggapan Islamofobia.

Tatkala negara Arab dan Islam yang lain sanggup menggadaikan prinsip Islam dan nilai ketimuran demi hiburan, Qatar berjaya mempamerkan Islam dalam bentuk yang paling mudah dan mesra.

Penggabungan dakwah dan sukan kini bukan suatu yang asing lagi. Negara Islam lain harus mencontohinya dan menggunakan segala platform yang ada untuk meningkatkan kualiti dakwah, mengangkat suara umat Islam dan menempatkan agama Islam di mata dunia.

*Ainul Asyraf Lokman ialah felo penyelidik daripada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca