MENYEDIHKAN sekali, tahun 2022 diakhiri dengan dua bencana, mengingatkan kita tentang banjir besar tidak terjangka yang melanda Selangor, Pahang dan negeri lain pada penghujung tahun 2021.
Bencana pertama ialah tanah runtuh di tempat perkhemahan di Batang Kali yang telah meragut nyawa 25 insan sementara tujuh orang masih belum dijumpai setakat petang Rabu.
Bencana kedua ialah banjir besar yang melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor, dan menyebabkan lebih 71,000 terpaksa meninggalkan rumah dan mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Saya tidak menyifatkan ini sebagai bencana alam seolah-olah ini tiada berkaitan dengan perbuatan manusia.
Apabila kita menggunakan ungkapan "perbuatan Tuhan” (act of God), satu istilah dalam industri insurans yang boleh mengecualikan pampasan dalam banyak polisi insurans kerana di luar jangkaan, kita seolah-olah melepaskan tanggungjawab manusia.
Tanah runtuh tidak berlaku begitu sahaja kalau hutan di gunung atau bukit masih menutupi bumi. Iklim tidak akan berubah secara mendadak kalau aktiviti manusia tidak menghasilkan pelepasan karbon dioksida yang begitu tinggi sehingga suhu Bumi meningkat 0.18 darjah Celsius setiap 10 tahun dalam tempoh empat dasawarsa lalu.
Dalam kata lain, kalau kita meneruskan penebangan hutan dan pelepasan karbon, tak kira atas apa alasan pun, kita akan dilanda banjir dan tanah runtuh.
Ini bukan kemurkaan Allah yang tidak terjangka, tetapi akibat perbuatan manusia yang memang dijangka. Ia umpama kita berisiko menghidap kanser paru-paru kalau kita kuat merokok.
Hubungan sebab musabab ini adalah jelas dan tidak harus kita kelirukan sendiri. Kalau kita terus menebang hutan dan membinasakan alam, sekalipun kita berjaya menghapuskan maksiat dan judi di seluruh muka bumi, kita tetap akan dihukum dengan bencana perbuatan kita sendiri.
Kesedaran moden tentang pencerobohan alam di Barat telah bermula selewat-lewatnya pada tahun 1962 apabila ahli biologi, Rachel Carson menulis tentang musim bunga yang menjadi sepi kerana penggunaan ubat pembunuh serangga perosak yang mengancam pelbagai sepsies dan sistem ekologi.
Gelombang kesedaran hijau ini membawa kepada Agenda 21 semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1987, disusuli dengan pengumuman Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) pada 2005 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) pada tahun 2015.
Akan tetapi, kesedaran bahawa manusia bertanggungjawab menjaga alam sebagai habitat untuk kita dan spesies lain berakar umbi dalam pelbagai tradisi kerohanian, daripada kepercayaan orang asal di semua pelosok dunia sampai ke agama-agama sedunia.
Saya memang jahil tetapi tetap tertarik dengan konsep ini yang boleh terpakai untuk seluruh umat manusia. Pembaca budiman yang berminat boleh menggoogle saja "manusia khalifah bumi” dan "alam sekitar”/ "ekologi”, banyak kupasan ilmiah dan media akan muncul.
Sebagai spesies yang dominan, tanggungjawab untuk memeliharakan bumi itu memang di bahu manusia. Jangan kita alihkan tanggungjawab ini kepada Sang Pencipta.
Sekali air bah, sekali tebing berubah. Gelombang hijau parti politik telah mengubah landskap politik tanah air dalam PRU15.
Saya mengharapkan gelombang hijau alam sekitar dalam tahun 2023 untuk menggalakkan parti-parti politik kita berlumba-lumba menyelamatkan hutan dan alam.
Sambut Tahun baru dengan Salam
Moga selamat Perlis ke Sabah
Periharalah hutan dan alam
Agar kita selamat dari air bah
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca