SHAH ALAM - Orang ramai menyokong agar majlis pelancaran program kerajaan tidak perlu diadakan secara besar-besaran kerana ia menjurus kepada pembaziran dan tidak memberi faedah baik kepada rakyat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata ramai berpendapat perbelanjaan yang diperuntukkan untuk majlis berkenaan sepatutnya digunakan untuk perkara melibatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Pekerja kerajaan, Mohd Fadli Razak, 44, berkata, sudah sampai masa penganjuran majlis besar-besaran yang biasa diamalkan jabatan kerajaan pada ketika ini dihentikan.
"Majlis pelancaran akan melibatkan kos yang besar dan ia perlu dihentikan kerana merupakan satu pembaziran. Dalam situasi rakyat yang terbeban dengan ekonomi tidak menentu, tidak perlu majlis seperti itu.
"Saya menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa jabatan kerajaan mengurangkan penganjuran majlis besar-besaran, termasuk membatalkan sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 yang mengambil kira keadaan beberapa negeri dilanda musibah banjir. Ia satu tindakan yang amat bagus kerana menghormati mangsa banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jurutera, Muhammad Amirul Asraff Affindi, 27, pula berpendapat, mengadakan majlis perasmian atau pelancaran biasanya dilakukan secara eksklusif melibatkan golongan tertentu dan hanya keseronokan semata-mata tanpa ada mesej atau misi untuk disampaikan.
"Tapi bergantung kepada majlis. Contohnya majlis perasmian atau pelancaran untuk program kesedaran, itu tidak menjadi masalah, tetapi tidak perlu anjur secara mewah atau eksklusif.
"Kadangkala majlis meraikan pekerja atau jabatan dilihat tidak adil apabila melibatkan tetamu VVIP, akhirnya mereka yang sepatutnya diraikan, diketepikan,” ujarnya.
Suri rumah, Nurwani Rahman, 30, berkata, wang diperuntukkan untuk majlis adalah lebih baik ia disalurkan terus kepada mangsa banjir yang ketika ini lebih memerlukan bantuan.
"Era seperti itu sudah berlalu. Jika nak beri sumbangan banjir, terus saja ke tempat berkenaan bukan buat majlis pelancaran dulu, baru hantar. Memang nak beri persepsi yang baik tetapi sekarang rakyat sedang tersepit,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar, Seow Han Lin, 23, berkata, majlis perasmian wajar dilakukan demi menunjukkan teladan, namun bukan secara secara mewah.
"Jika program itu melibatkan misi banjir dilakukan secara mewah sudah tentunya ia satu pembaziran kepada dana kerajaan. Tetapi jika dibuat secara sederhana, ia mempamerkan teladan yang baik dalam kepimpinan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Buster Johor, R Thiagarajan, 38, berpendapat tidak perlu jabatan kerajaan mengadakan majlis perasmian atau pelancaran bagi program bantuan banjir.
Klik di sini untuk terus membaca