KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan sebanyak 33 kes membabitkan kes buaya sepanjang tiga tahun ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima melibatkan konflik manusia dan buaya dilihat mendatar dalam tempoh sejak 2020 hingga 2022.
"Sebanyak 17 kes melibatkan mangsa dibaham buaya bagi tempoh tiga tahun di mana pada 2020 sebanyak lapan kes, tahun 2021 tiga kes dan setakat 9 Disember 2022 sebanyak enam kes.
"Jika dilihat kepada statistik ia tidak meningkat dan dalam keadaan mendatar namun kes berkaitan konflik manusia dan buaya ini membimbangkan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, jika dulu kes melibatkan buaya banyak berlaku di Sungai Kinabatangan di Sandakan namun kini haiwan itu kini didapati semakin banyak membiak dan berada di hampir seluruh daerah di Sabah.
"Kalau kita lihat kejadian melibatkan konflik manusia buaya ini biasanya ada di kawasan pantai timur seperti di perairan atau muara di Lahad Datu, Semporna, Sandakan selain juga turut berlaku di Pitas, Kudat serta Kota Kinabalu," katanya.
Tambah Farhan Sufyan lagi, walaupun kes serangan buaya berbeza dengan operasi menyelamat membabitkan lemas atau kebakaran namun jika menerima panggilan pasukan bomba bersedia untuk penyelamatan.
"Persediaan dari segi peringkat awal pertama sekali adalah mengenal pasti dan faham sifat haiwan itu sendiri di mana kawasan yang berkemungkinan menjadi habitatnya dan bagaimana langkah-langkah untuk menangkap atau mengenal pasti kawasan yang terlibat untuk menangkap buaya.
"Kalau kita lihat pada sifat buaya itu sendiri, jika haiwan itu sudah dapat mangsanya ia tidak akan terus membahamnya bagi mangsa yang besar tetapi akan dibawa ke lubuknya terlebih dahulu sehingga mangsa mereput barulah dijadikan makanan.
"Bomba pun dalam keadaan bahaya juga jika kita tidak memahami terutama apabila masuk ke kawasan habibatnya. Menurut pengetahuan kita, manusia bukanlah mangsa sebenarnya tetapi mungkin ada konflik manusia buaya di kawasan habitatnya jadi kalau kita melakukan operasi menyelamat, kita perlu pertimbangkan perkara berkaitan," katanya.
Ditanya mengenai kerjasama antara agensi lain termasuk yang bertanggungjawab terhadap hidupan liar, Farhan Sufyan berkata, jika ada keperluan pasukan bomba sentiasa membantu bagi memastikan konflik manusia buaya ini dapat dikurangkan.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Alam Sekitar bahawa haiwan ini dibenarkan untuk dibunuh, pihak bomba bersetuju dengannya bagi kawasan yang ada aktiviti manusia dan ini sekali gus mengurangkan berlakunya kes serangan buaya.
"Tetapi dalam masa yang sama kita juga menasihatkan kepada orang ramai supaya peka dengan keadaan sekeliling dan utamakan keselamatan terutama di kawasan yang menjadi habitat haiwan berkenaan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca