SHAH ALAM - Amalan mengadakan majlis perasmian dan pelancaran program kerajaan yang tidak bersesuaian perlu dihentikan bagi mengelakkan pembaziran selain mengekang sifat boros di jabatan, agensi kerajaan dan kementerian. Presiden Briged... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Amalan mengadakan majlis perasmian dan pelancaran program kerajaan yang tidak bersesuaian perlu dihentikan bagi mengelakkan pembaziran selain mengekang sifat boros di jabatan, agensi kerajaan dan kementerian.

Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, budaya sedemikian yang sudah diamalkan sebelum ini melibatkan kakitangan kerajaan tidak perlu diteruskan supaya mereka dapat menumpukan kepada perkara lebih penting dan bermanfaat.

"Kita perlu tukar budaya hanya sekadar untuk tunjuk gah selain tidak perlu mengadakan majlis secara secara besar-besaran.

"Ini kerana ia melibatkan kos malah kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk membayar kos tempahan dewan, makanan dan sebagainya.

"Jadi amalan mengadakan majlis perasmian atau pelancaran program yang tidak relevan perlu dihentikan oleh kerajaan baharu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk memastikan kerajaan di bawah pentadbirannya melaksanakan perbelanjaan lebih berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan semua anggota kabinet supaya tidak menggunakan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu termasuk untuk perkara berkaitan kerja membaik pulih pejabat masing-masing.

Dalam pada itu, Khairul Nizam turut memuji tindakan Perdana Menteri yang tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi selain tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu.

"Tindakan Anwar itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang baik kerana mengingatkan semua menteri untuk berjimat cermat dan tidak membazirkan wang kerajaan," ujarnya.

Justeru, beliau berkata, perkara seperti itu perlu dicontohi oleh semua pihak termasuk kementerian dan penjawat awam agar tidak perlu lagi mengadakan majlis perasmian dan pelancaran sesuatu program yang terlalu mewah.

"Hal-hal seperti itu (majlis pelancaran) tidak penting sebaliknya mereka perlu berjimat-cermat dan lebih memfokuskan isu kebajikan dan kos sara hidup dihadapi rakyat buat masa ini," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan sekiranya tidak mengadakan majlis atau pelancaran mana-mana program memandangkan keadaan hutang negara ketika ini sudah mencecah lebih RM1 trilion.

Tambahnya lagi, peruntukan yang diguna pakai untuk perkara bersifat keraian boleh digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.

"Sebenarnya tidak perlu lagi adakan majlis atau pelancaran mana-mana program kerana ia melibatkan kos besar untuk perbelanjaan seperti khemah, risalah, makanan dan sebagainya.

"Dengan keadaan hutang negara agak tinggi ketika ini selain kenaikan inflasi maka amalan sedemikian perlu dihentikan.

"Kerajaan kini perlu berusaha menjimatkan perbelanjaan kerana lebihan peruntukan itu dapat diberikan kepada golongan miskin dan terkesan seperti mangsa banjir dan bencana," katanya.

Selain itu, Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin menggesa agar amalan berkenaan dihentikan dan memberi fokus dalam membantu rakyat.

Jelasnya, amalan itu disifatkan membazir dan sewajarnya peruntukan itu digunakan untuk membantu rakyat yang kini terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.

"Kalau sekadar untuk adakan pelancaran sesuatu program tidak perlu diadakan di dewan ataupun hotel yang mewah.

"Untuk hebahan tentang program itu boleh diberikan dalam bentuk siaran akhbar kepada media selain memuat naik hebahan program itu di laman sosial rasmi kementerian masing-masing," ujarnya.

Amalan adakan majlis perasmian dilihat membuang masa

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Nurul Hidayana Mohd Noor berpandangan, amalan mengadakan majlis perasmian dan pelancaran program yang tidak penting dilihat hanya membuang masa penjawat awam untuk mengaturkan majlis sedemikian.

Menurutnya, penjawat awam tidak harus dibebankan dengan kerja pentadbiran yang di luar daripada tugas hakiki mereka iaitu dengan menguruskan sesuatu majlis.

"Kita faham mengadakan majlis untuk uar-uarkan dan membuat hebahan kepada masyarakat mengenai usaha dilakukan oleh kerajaan.

"Selain budaya dalam sektor awam apabila mewujudkan satu polisi atau bantuan sememangnya perlu adakan majlis namun dengan situasi ekonomi negara yang belum pulih ini sebaiknya amalan tersebut dihentikan.

"Kalau boleh bantuan itu disampaikan terus pada masyarakat tanpa perlu mengadakan majlis perasmian selain menjimatkan masa penjawat awam untuk tetap fokus dalam meneruskan tugas mereka masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Nurul Hidayana, seharusnya bantuan itu perlu disampaikan terus kepada penerima bantuan atau masyarakat tanpa perlu mengadakan majlis perasmian.

"Ini bagi memastikan proses tersebut menjadi lebih cepat dan membantu mengurangkan kos operasi yang perlu ditanggung," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara penting adalah kerajaan mengutamakan dasar lebih utama iaitu mengatasi kos sara hidup rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

"Di samping itu mereka dapat memastikan keberkesanan tugas dapat dilakukan secara lebih proaktif dan cepat berbanding mengadakan program yang dilihat tidak memberi apa-apa kepentingan," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca