TAWAU - Kehadiran buaya atau lebih dikenali sang bedal amat membimbangkan masyarakat setempat yang terpaksa bergantung kepada sungai atau laut sebagai sumber untuk meneruskan kehidupan.
Perasaan bimbang dan takut setiap kali menjejak kaki ke sungai atau laut terpaksa dihadapi dengan tenang walaupun tahu bahaya tiba pada bila-bila masa saja.
Kebanyakan penduduk yang mencari rezeki di sungai atau laut hanya berdoa supaya dipermudahkan urusan tanpa gangguan daripada sang bedal.
Penduduk Kampung Kalabakan, Asromi Usman, 25, berkata, bagi mereka pemandangan buaya 'bersantai' dan 'berjemur' di tepi Sungai Kalabakan adalah biasa dan sering menjadi tumpuan penduduk kampung untuk melihatnya.
"Kami selalu saja nampak buaya berada di tepi sungai tetapi tidak ada yang berani mendekatinya apa lagi mereka yang merambat udang sudah tentu akan meninggalkan sebelum ia muncul di hadapan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Kalabakan.
Asromi yang juga nelayan berkata, sungai berkenaan memang terdapat banyak udang galah yang menjadi sumber pendapatan penduduk di kawasan terbabit.
"Tetapi biasanya kami akan berhati-hati dan dapat menjangka kehadiran sang bedal apabila terhidu bau hanyir yang kuat di sungai berkenaan.
"Biasanya ia akan muncul pada waktu malam ketika nelayan mencari udang dan jika bau hanyir itu muncul dengan kuat, kami akan suluh dan jika kelihatan matanya kami akan segera keluar dari kawasan itu," katanya.
Ditanya mengenai tindakan kerajaan yang membenarkan haiwan itu dibunuh di kawasan yang ada aktiviti manusia, Asromi menyatakan kelegaannya kerana tindakan itu akan mengurangkan populasi buaya di lokasi tempat mereka mencari rezeki.
"Saya pun risau juga sebab setakat ini sudah ada tujuh kes serangan buaya termasuk dua di kampung kami. Jadi jika itu keputusan kerajaan, kami lega juga.
"Sebagai nelayan saya berasa senang hati kerana dapat mengurangkan risiko keluar ke sungai atau ke laut," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca