TOPIK paling menarik di Dewan Rakyat (DR) pada 19 Disember lalu ialah usul keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Ke-10.​ DR telah dijelaskan tentang proses pelantikan tersebut. Dalam tempoh masa yang ditetapkan,... Klik di sini untuk terus membaca

TOPIK paling menarik di Dewan Rakyat (DR) pada 19 Disember lalu ialah usul keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Ke-10.​

DR telah dijelaskan tentang proses pelantikan tersebut. Dalam tempoh masa yang ditetapkan, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah memperolehi sokongan 115 orang Ahli Dewan Rakyat (ADR), melalui Surat Akuan Berkanun (SD), yang diminta dan disahkan diterima pihak berkaitan.

Tetapi, kemudiannya, tempoh masa dilanjutkan. Maka, berlakulah apa yang telah berlaku, iaitu Anwar dilantik PM.

Begitu ramai tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Ia menjadi lebih teruk apabila Anwar melantik dirinya Menteri Kewangan, sedangkan PH berjanji PM tidak boleh memegang portfolio itu.

Bertambah lagi teruknya apabila Datuk Seri Zahid Hamidi, yang menghadapi banyak kes mahkamah, dilantik Timbalan Perdana Menteri, sedangkan dalam kempen PRU15, Anwar mendendangkan lagu ‘penyamun’, ramai yang kalah PRU15 dilantik dalam kabinet dan hari ini kata tiada lantikan politik dalam GLC, tetapi esoknya, lantik lagi.Rupa-rupanya perundingan Anwar-Zahid telah berlaku sejak sebelum PRU15.

Rupa-rupanya apa-apa yang diungkapkan mereka dalam PRU15 tidak lebih daripada sekadar ‘political sound bite’. Rakyat ditipu mendarat!

Lalu, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai menjadi referendum rakyat. Calon PH-BN ditolak. Calon PN Datuk Cikgu Azman Nasrudin menang besar.

Menjelang 19 Disember, Anwar belum beraksi sebagai PM. Beliau seakan-akan masih Ketua Pembangkang. Manakala aksi sesetengah anggota kabinetnya tidak membantu.

Inilah latar belakang kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Untuk Membentuk Kerajaan Gabungan (MoU) yang ditandatangani pada 16 Disember lalu.

Mengadakan MoU begini tidak mengapa. Tetapi, apa yang menjadi masalah ialah MoU ini mengandungi unsur ugutan iaitu:

"Setiap Parti-parti...hendaklah memastikan bahawa setiap ahli Parlimen mereka mengundi mengikut klausa 4(a)...Kegagalan, keengganan atau kecuaian daripada berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai...yang dianggap sebagai melakukan peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan...untuk mengadakan pilihan raya kecil”.

Hakikatnya ialah MoU ini haram dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak demokratik. Tokoh-tokoh dan NGO-NGO yang berwibawa, Majlis Peguam dan ahli Parlimen PH dari Pasir Gudang mengkritiknya dengan bernas. Dan pihak kerajaan gagal menjawabnya dengan bernas.

Semoga kita tidak memasuki kerangka buatlah apa pun, kerana ‘matlamat menghalalkan cara’.

Setelah berkuasa, pilih prinsip yang bersesuaian dengan dirinya sahaja, sebar propaganda, sekat media sosial, saman pengkritik, amalkan tirani pihak majoriti dan menjadi autokrasi.

Dan semoga demokrasi, iaitu ‘kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ tidak menjadi ‘kerajaan dari PM, oleh PM, untuk PM’.

*Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca