DUNIA kejuruteraan berevolusi dengan pantas sepanjang 2022. Apa yang pasti, Kecerdasan Buatan (AI) mewarnai segenap berita berkaitan teknologi baharu sepanjang tahun ini. Aplikasi AI merentasi industri dan memberi implikasi besar kepada... Klik di sini untuk terus membaca

DUNIA kejuruteraan berevolusi dengan pantas sepanjang 2022. Apa yang pasti, Kecerdasan Buatan (AI) mewarnai segenap berita berkaitan teknologi baharu sepanjang tahun ini.

Aplikasi AI merentasi industri dan memberi implikasi besar kepada kehidupan masyarakat sejagat.

Angka pada 2021 menunjukkan pembiayaan teknologi berkaitan AI meningkat dua kali ganda kepada AS$66.8 bilion (RM292.38 bilion). Teknologi AI meluas ke Eropah, Britain, China dan Asia Tenggara.

AI digunakan secara menyeluruh termasuk dalam teknologi kejuruteraan undang-undang, media, teknologi maklumat, komunikasi, kewangan, pengiklanan, automobil, pengangkutan, pengedaran barangan, pendidikan, pembinaan, perumahan, hospitaliti, peruncitan dan kesihatan.

Menerusi komponen AI iaitu face recognition atau pengecaman muka (FR), penganjur Tour de France berjaya mengesan pengacau perlumbaan terbesar di dunia.

Di Britain pula, hasil imej menerusi kaedah AI dan teknologi FR menggunakan algoritma AI serta pembelajaran mesin atau machine learning (ML) berjaya mengesan wajah manusia. Algoritma bermula dengan mencari mata diikuti kening (eyebrow), hidung (nose), mulut (mouth), lubang hidung (nostrils) dan anak mata (iris).

Komponen lain AI seperti internet of things (IOT), data raya (big data), robot autonomi (autonomous robot), simulasi dan realiti tambahan (simulation and augmented reality), penyepaduan mendatar dan menegak (horizontal and vertical integration), internet industri perkara (industry internet of things), keselamatan siber (cyber security), pengkomputeran awan (cloud computing), pembuatan aditif (additive manufacturing), rantaian bekalan (supply chain) dan analitik data raya (big data analytics), turut diminati ramai syarikat besar di seluruh dunia.

Perangkaan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 65 konglomerat telah berjaya meraih perolehan melepasi AS$1 bilion (RM4.4 bilion).

Ketika ini, kebanyakan negara besar di Eropah khususnya Jerman dan Perancis memiliki pelan menyeluruh berkaitan AI dalam segenap aspek termasuk keselamatan negara, pengangkutan, politik, kesihatan, pendidikan dan ekonomi.

Ini bermakna AI ialah segala-galanya dalam kehidupan kita sekarang. Mengambil situasi terkini di Malaysia, penulis percaya AI mesti digunakan sekiranya kita mahu menyelesaikan masalah banjir. Misalnya, lautan perangkap di Taman Sri Muda dan kawasan sekitarnya di Shah Alam perlu diatasi dengan kejuruteraan teknologi AI.

Akhir tahun lalu, penulis telah mengupas tentang cadangan perlaksanaan AI untuk mengatasi banjir kilat di Taman Sri Muda.

Penulis menyaran penggunaan AI untuk mengkaji keluasan muka bumi di Taman Sri Muda dan Kampung Sungai Lanchong antara tiga dan empat kilometer (km) persegi.

Bermakna ia perlukan tasik seluas antara 500,000 dan 700,000 meter persegi. Dengan kedalaman enam meter, ia boleh mengumpul dan menyimpan banyak air hujan ribut pada satu-satu masa. Faktor rainwater harvesting dan runoff rainwater harvesting juga harus dikaitkan dengan AI.

Penulis percaya konsep AI boleh menyelesaikan masalah banjir kilat di Taman Sri Muda dan sekitar Shah Alam.

Kejuruteraan AI juga boleh digunakan bagi mengatasi persoalan tanah runtuh di Batang Kali. Sudah sampai masanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk di Cameron Highlands segera mengguna kejuruteraan AI bagi menyelesaikan pelbagai masalah khususnya banjir dan tanah runtuh.

Malah, kerajaan Perancis juga telah menggunakan AI sepenuhnya untuk mengatasi permasalahan alam sekitar.Adakah AI tidak disebut dalam al-Quran? Persoalan berkaitan AI sebenarnya disebut ALLAH SWT menerusi Surah al-Baqarah ayat [2:155-157], Surah Ar-Ra’d ayat [13:17] dan Surah Al-Nahl ayat [16:15].

Penulis percaya Malaysia harus mengambil contoh bagaimana AS, Eropah, Britain, China, Jepun dan Singapura memanfaatkan AI untuk memperkasakan pelbagai sektor kejuruteraan teknologi tinggi.

Sebagai permulaan, sektor semikonduktor yang menjadi tunjang kekuatan di Malaysia sejak akhir 60-an sehingga kini mesti mengorak langkah meniru inisiatif dilaksanakan Taiwan sesuai dengan era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0)

Taiwan kini mengecapi kejayaan hasil lumayan menerusi pelbagai perlaksanaan aplikasi AI dalam sektor semikonduktor dan cip.

Kebimbangan dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan cip dari Taiwan memaksa Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi terbang ke Taipei sekalipun ia bertentangan dengan Polisi Satu China (One-China-Policy).

Paling menarik, penulis difahamkan universiti terkemuka dunia seperti University of Oxford, University College London dan University of Cambridge kini mengutamakan penyelidikan berkaitan AI bagi meneruskan kelangsungan dalam bidang pendidikan.

Jadi sudah sampai masa, Malaysia mengutamakan AI dalam segenap aspek sekiranya mahu bersaing atau mencapai status negara maju dalam masa terdekat.

Kesimpulan, AI akan terus menjadi resipi kejayaan dalam segenap bidang kehidupan seharian di peringkat global pada 2023 dan tahun-tahun mendatang.

Sebagai permulaan, untuk kekal berdaya saing, Malaysia perlu segera menjadi jaguh AI di peringkat Asia Tenggara.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca