KITA sedang berada di penghujung tahun. Untuk beberapa tahun mutakhir ini, kita berdepan dengan banyak sekali ujian. Kita mengharungi musibah musim Covid-19 berselang seli pula dengan bertukarnya beberapa orang Perdana Menteri. Ia tentu hal yang unik juga.
Ahli politik juga melompat dari satu parti kepada parti yang lain. Dulunya dianggap sebagai seorang yang setia, kini berubah menjadi pengkhianat. Ada pula yang dulunya dianggap sebagai watak ‘nakal’, kini menjadi memimpin negara.
Ramai yang beranggapan bahawa ini semua sedang mengelirukan rakyat. Hakikatnya tidak. Dengan kehadiran lebih daripada 10.6 juta pengundi muda yang berusia di antara 18 hingga 39 tahun, pengundi muda ini juga sedang mengelirukan parti politik juga.
Golongan muda ini, tidak seperti generasi sebelumnya yang kebiasaannya setia dan taat, telah merosakkan impian banyak parti politik.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu telah menunjukkan apa yang sedang berlaku. Mereka mungkin tidak rasional, tidak setia dan sukar dijangka, tetapi ia baik untuk memberi isyarat kepada ahli politik bahawa dunia sudah berubah.
Tidak ada lagi kesetiaan tidak berbelah bahagi. Sekiranya ada lagi ahli politik yang merasa ‘kebal’, ia mungkin tak lagi sesuai untuk bermain politik cara lama di era ini.
Perikatan Nasional yang secara umumnya hanya diwakili oleh Pas dan parti yang relatifnya baru, Bersatu akhirnya menang besar. Pakatan Harapan juga menunjukkan bahawa mereka bukan parti yang biasa-biasa. Yang kalah teruk ialah UMNO dan parti sekutunya MCA dan MIC.
Dalam psikologi selalu disebut tentang ilusi kekebalan, atau dalam istilah asalnya illusion of vulnerability. Ilusi kekebalan ini selalu merujuk perasaan sekelompok manusia atau kumpulan yang merasakan mereka akan selalu selamat, kebal dan tidak mudah tergugat.
Jadi sesuai dengan istilahnya yang dinamakan ilusi, semua orang yang berada dalam perasaan ini tak akan percaya bahawa akan ada apa-apa yang buruk yang boleh berlaku kepada mereka.
Perasaan ini akan selalu terjadi apabila kita berada dalam kumpulan yang kuat, atau ramai. Kita mula melupakan kelemahan masing-masing.
Pada bulan April 1912 kapal Titanic yang dianggap paling mewah dan kebal pada zamannya tenggelam di Laut Atlantik Utara kerana terlanggar bongkahan ais.
Bukanlah kerana tidak ada ingatan atau isyarat daripada kapal-kapal lain yang telah memberikan peringatan agar menghindari laluan di satu kawasan kerana terdapat bongkahan iceberg yang besar.
Tetapi peringatan-peringatan ini yang berulang-ulang kali disampaikan daripada banyak kapal lain yang melalui kawasan itu telah diabaikan. Tidak ada seorang pun baik yang mengemudi atau penumpang yang percaya yang kapal Titanic, kapal terhebat pada era itu akan tenggelam. Apatah lagi akan pecah jika sekalipun perlu melanggar bongkahan ais di tengah lautan itu.
Tapi, akhirnya Titanic pecah. Dianggarkan lebih 1,500 penumpang telah mati. Begitu jugalah yang sedang berlaku kepada beberapa parti politik di tanah air kita. Kerana selalu percaya bahawa mereka kebal, mereka tak mahu mendengar nasihat.
Hanya kerana menang di beberapa tempat dalam pilihan raya kecil, kelihatannya mereka lupa bahawa kekebalan ini adakalanya hanyalah ilusi. Kita tak kebal pada semua tempat dan keadaan. Undi anak muda ialah iceberg baru yang tak kita ketahui kekuatannya lagi.
Namun ada juga baiknya apabila ada beberapa parti politik kita ini ‘pecah’. Sekurang-kurangnya ahli politik akan selalu menyedari bahawa dunia telah berubah.
Kita tak akan kebal buat selama-lamanya. Akan ada waktunya kita akan dihukum jika tak mahu mendengar kata. Ia pesan untuk kita semua, khususnya ahli politik! Salam Tahun Baharu 2023.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Universiti Malaya.
Klik di sini untuk terus membaca