KOTA KINABALU - Aktiviti buaya menangkap mangsa adalah perkara semula jadi bagi haiwan pemangsa ini dan ia adalah fenomena ekologi yang terjadi di kawasan yang ada buaya dan mangsa berada di tempat sama.
Menjelaskan perkara itu, Profesor Dr Abdul Hamid Ahmad yang terbabit dalam bidang zoologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, fenomena ekologi berkenaan merupakan faktor utama yang membawa kepada berlakunya serangan terhadap manusia terutama yang berlaku di Sabah ketika ini.
"Melalui kajian UMS di sepanjang Sungai Paitan di Beluran bahawa serangan terhadap haiwan ternakan dan penduduk kampung terjadi di kawasan yang tidak mempunyai jeti.
"Serangan terjadi apabila ternakan datang minum di sungai, kanak-kanak mandi sungai di awal pagi atau senja dan juga ketika aktiviti mencuci pakaian di atas pelantar balak terapung.
"Barangkali ia juga berkait rapat dengan kemudahan asas seperti bekalan air paip di kawasan berpenduduk, yang jika diadakan kemudahan ini dapat mengurangkan aktiviti harian di gigi air," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, serangan buaya terhadap manusia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu serangan untuk menangkap mangsa dan dijadikan makanan dan serangan secara secara tidak langsung.
"Hal ini diketahui sesudah saintis mengkaji demikian banyak kes serangan buaya di seluruh dunia manakala serangan untuk makanan, serangan tidak langsung berlaku apabila mangsa terjatuh ke dalam air, mengharung sungai dan bertembung dengan buaya ataupun apabila buaya melanggar perahu dan mangsa terkeluar dari perahu.
"Bagaimanapun, semua serangan buaya biasanya berakhir dengan mangsa itu dijadikan makanan," katanya.
Di sebalik wujudnya haiwan ini di sekeliling lingkaran kehidupan manusia, Abdul Hamid berkata, buaya juga mempunyai nilai ekonominya yang tersendiri.
"Daging dan kulit haiwan ini dibeli dengan harga yang tinggi dan menghasilkan bahan dagangan yang bermutu tinggi. Inilah sebabnya terdapat industri berasaskan penternakan buaya dan industri daging serta kulit buaya.
"Ini melibatkan pengurusan yang khusus dan serius termasuklah pengurusan buaya di habitat semula jadi. Apabila kita mula memandang buaya dari sudut ekonomi, maka penduduk yang tinggal di kawasan ada buaya haruslah mendapatkan pulangan tertentu di dalam aktiviti ekonomi.
"Misalnya dari segi hak mengumpul telur dan menangkap anak buaya. Melalui fungsi pengurusan yang berfokus, penentuan harga yang munasabah bagi pembelian telur dan anak buaya dapat mengangkat manfaat buaya kepada penduduk setempat.
"Ini sekali gus memberi gambaran bahawa pemuliharaan buaya dapat memberikan pendapatan kepada penduduk yang tinggal di habitat yang mengandungi buaya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca