MASA depan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat semakin suram berikutan tindakan lebih 10 pemimpin utama parti itu melepaskan jawatan masing-masing.... Klik di sini untuk terus membaca

MASA depan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diasaskan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat semakin suram berikutan tindakan lebih 10 pemimpin utama parti itu melepaskan jawatan masing-masing.

Segala permasalahan itu bermula selepas semua 125 calon bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang termasuk Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz bukan sahaja tewas, malah turut hilang wang pertaruhan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Dr Mahathir gagal mempertahankan kerusi tradisinya di Parlimen Langkawi, selepas hanya meraih 4,566 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN) yang mendapat majoriti 13,518 undi.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Kekalahan teruk itu, menyebabkan Dr Mahathir, akhirnya mengambil keputusan untuk 'berehat' seketika dari arena politik dengan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Pejuang, sambil mencari idea baharu untuk menulis buku.

Bagaimanapun, krisis politik dalaman Pejuang tidak berakhir di situ, malah menjadi semakin parah apabila Mukhriz mengemukakan cadangan supaya Pejuang 'rujuk kembali' bersama Pakatan Harapan (PH) semasa mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP), baru-baru ini.

Kegagalan Mukhriz menghalang bapanya daripada meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang dan cadangannya supaya parti berkenaan rujuk kembali bersama PH, mengakibatkan ramai pemimpin kanan mengorak langkah dan angkat kaki daripada parti terbabit.

Antara pemimpin yang sudah mengesahkan peletakkan jawatan mereka termasuklah Datuk Marzuki Yahya (Timbalan Presiden); Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Ahli MEP dan Ketua Pejuang Wilayah); Abu Bakar Yahya (Ahli MEP); Azman Mohd Hashim (Ahli MEP); Armin Baniaz Pahamin (Ahli MEP) dan Ketua Muda Pejuang, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin.

Malah, sumber dalaman Pejuang mendedahkan ramai lagi Ahli MEP dan pemimpin akar umbinya berkemungkinan angkat kaki meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan terhadap Mukhriz selepas Dr Mahathir meletakkan jawatannya.

Berikutan itu, timbul 1001 persoalan dalam kalangan pemerhati dan penganalisis politik sama ada Pejuang mampu mengharungi ribut taufan yang sedang membadai parti berkenaan di kala Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan tahun hadapan.

"Harga saham sesebuah parti bergantung kepada keperluan masyarakat yang dapat dipenuhinya. Kalau parti berkenaan dapat memenuhi tuntutan ini, maka sekali pun tinggal satu kerusi Parlimen, seperti dialami Pas pada 1986, namun ia tetap akan hidup.

"Masalah Pejuang ialah ia cuma memenuhi keperluan pengundi Melayu-Muslim nasionalis yang boleh dipenuhi oleh tiga parti alternatif lain, yakni Pas, Bersatu Dan UMNO. Apa kelebihan Pejuang untuk menarik undi daripada tiga parti pesaing ini?

CHIN HUAT. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

"Sebelum ini Dr Mahathir percaya beliau ada daya tarikan begitu handal untuk menegakkan sebuah parti. Malang untuknya, kejayaan beliau ini berakhir dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," kata Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali melihat, Pejuang kini di ambang kejatuhan selepas kegagalan mereka bersaingan dengan PH, PN dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 lalu.

Beliau berkata, prestasi buruk Pejuang termasuk tewas di Langkawi dan Jerlun, yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat Mahathir dan Mukhriz memang sudah diramal berikutan kegagalan parti berkenaan mendapat tempat di hati pengundi dalam PRN Johor, sebelum ini.

DR MAZLAN

Mazlan berkata, kegagalan itu berpunca daripada imej parti Melayu yang cuba di bawa Dr Mahathir menerusi pembentukan GTA, tidak laku di hati pengundi kerana pengundi lebih menyukai imej PN, manakala pengundi bukan Melayu lebih ramai menyokong PH.

"Kegagalan mereka menang sebarang kerusi pada PRU15 membawa mesej bahawa Pejuang akan berkubur tidak lama lagi biarpun Dr Mahathir kekal sebagai Pengerusi GTA.

"Saya percaya Pejuang akan mengalami nasib sama atau lebih teruk jika mereka bertanding dalam enam PRN dijangka diadakan pada tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan juga percaya bahawa Pejuang mungkin menempuh laluan sukar untuk bergabung dengan PH kerana sejarah hubungan antara kedua-dua parti berkenaan, sebelum ini.

"PH tidak mungkin bergabung dengan Pejuang kerana parti itu tidak mempunyai sebarang nilai tambah atau memiliki sebarang kerusi Parlimen untuk membantu memperkukuhkan kerajaan campuran sedia ada sekarang.

"PN pun juga mungkin melihat perkara sama kerana tanpa Pejuang pun mereka boleh menang lebih 70 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu terutama kawasan majoriti pengundi Melayu.

"Jadi saya berpandangan peletakan jawatan pemimpin Pejuang ini mungkin satu langkah permulaan bagi membubarkan parti berkenaan kerana ia sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik Malaysia," katanya.

Justeru itu, Mazlan berkata, PRU15 adalah pengakhiran kepada jangka hayat Pejuang selepas mereka tewas dan hilang wang deposit di semua 125 kerusi ditandingi mereka dengan purata undi diperoleh calonnya tidak melebih 500 undi di sesebuah kerusi Parlimen yang mempunyai bilangan pengundi berdaftar melebih 100,000 orang.

"Saya melihat keadaan Pejuang dan Mukhriz tanpa susuk tubuh Dr Mahathir amat tenat kerana beliau tidak mempunyai aura tersendiri. Mukhriz kelihatan hebat kerana kehadiran Dr Mahathir dan tanpa bekas Perdana Menteri berkenaan mantan Mukhriz bukan sesiapa pun.

"Kesilapan terbesar Dr Mahathir adalah kerana beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri secara mengejut sehingga menimbulkan kemarahan rakyat terutama penyokong PH kerana mereka melihat mantan Ahli Parlimen Langkawi berkenaan menjadi punca krisis politik melanda Malaysia sebelum ini.

"Jadi majoriti penyokong PH masih tidak menerima sebarang elemen mempunyai kaitan dan hubungan dengan Dr Mahathir dan Mukhriz. Jika Dr Mahathir dan Mukhriz mahu memanjangkan kembali jangka hayat politik, mereka perlu kembali menyertai Bersatu biarpun mungkin agak sukar untuk dilaksanakan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca