SHAH ALAM - Sudah terbiasa makan telur ayam tempatan selain harganya yang lebih murah antara faktor mengapa pengguna kurang membeli telur import. Ia berdasarkan respons daripada tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya utama di sekitar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sudah terbiasa makan telur ayam tempatan selain harganya yang lebih murah antara faktor mengapa pengguna kurang membeli telur import.

Ia berdasarkan respons daripada tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya utama di sekitar Lembah Klang.

Menurut juruaudit, Mohd Nazreen Suuddi, 31, dia sudah terbiasa membeli telur ayam tempatan meskipun sukar untuk mendapatkan bekalan itu sejak beberapa bulan lepas.

Mohd Nazreen

"Saya sudah biasa beli telur ayam tempatan selama ini, jadi apabila melihat telur import berlainan warna, tanggapan awal sudah pasti kurang berminat dan tetap mahukan yang tempatan. Selain itu warnanya juga seakan telur ayam kampung.

"Jadi saya lebih memilih untuk beli telur ayam tempatan walaupun kebanyakan pasar raya hanya jual telur Gred C,” katanya pada Jumaat.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, Irdina Fadil, 18, telur import kurang dikenali menyebabkan dia tidak membeli telur berkenaan.

Irdina

"Saya kurang biasa dengan telur import ini, jadi tak tahu rasanya macam mana selain telur tempatan yang sudah biasa dimakan.

"Hari ini (Jumaat) saya lihat memang banyak telur dijual kerana sebelum ini memang sukar nak beli satu papan telur di mana-mana pasar raya atau kedai runcit,” ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Norehan Ismail, 39, berkata, dia memilih membeli telur ayam tempatan disebabkan harganya lebih murah berbanding telur import.

"Sebelum ini memang susah nak dapat walau satu papan telur ayam. Kalau ada pun kena beli awal sebab telur di kebanyakan kedai atau pasar raya habis terjual.

"Buat masa ini kita lihat banyak bekalan telur tempatan dijual dengan sedikit murah berbanding sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun telur tempatan banyak didapati dijual di bawah harga kawalan mengikut gred iaitu Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen) dan Gred C (41 sen) sebiji.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta butir telur sehari mulai Khamis lalu untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

Menurutnya, jumlah import telur berkenaan telah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan import sebanyak 100,000 butir telur.

INFO HARGA TELUR AYAM

Tempatan

Gred Harga sebutir

A 45 sen

B 43 sen

C 41 sen

Telur Ayam Import

Gred Harga sebutir

Saiz hampir 50 sen

sama dengan

gred C

Klik di sini untuk terus membaca