SHAH ALAM - Pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan merupakan jalan terakhir merungkai kemelut anak tidak sah taraf kewarganegaraan setelah prosedur undang-undang di mahkamah menemui kegagalan. Pun begitu, menurut pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan merupakan jalan terakhir merungkai kemelut anak tidak sah taraf kewarganegaraan setelah prosedur undang-undang di mahkamah menemui kegagalan.

Pun begitu, menurut pakar Perlembagaan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, pindaan Perkara 14(1)(b) dapat menyelesaikan isu anak tidak sah taraf kewarganegaraan itu perlu melepasi dua syarat utama terlebih dahulu.

"Pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan hanya boleh terlaksana sekiranya mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan persetujuan Majlis Raja-Raja,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan daripada 6,296 permohonan berhubung isu anak tidak sah taraf kewarganegaraan, hanya 951 permohonan diluluskan dalam tempoh 12 tahun.

Lebih malang lagi, tiada satu pun permohonan diluluskan pada tahun 2021.

Rentetan itu, ramai kaum ibu yang terperangkap dalam isu anak tidak sah taraf kewarganegaraan mendesak pindaan Perkara 14(1)(b) disegerakan berikutan kebimbangan anak-anak mereka yang menginjak usia 21 tahun bakal diusir keluar dari negara ini kerana tidak dianggap warganegara Malaysia yang sah.

Untuk rekod, Perkara 14(1)(b) menyatakan, hanya bapa warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing layak menurunkan status kewarganegaraan secara automatik kepada anak-anak.

Wanita (ibu) bagaimanapun tidak disebut dalam undang-undang tersebut, menyebabkan mereka tidak dapat menurunkan status kerakyatan kepada anak-anak.

"Perkara 14(1)(b) dilihat mengutamakan nasab bapa sebagai warganegara sekali gus membezakan kesaksamaan jantina.

"Sebaiknya, Perkara 14(1)(b) perlu diharmonikan bersama Perkara 8(2) Persekutuan Perlembagaan bagi memelihara prinsip layanan sama rata tanpa mengira jantina, termasuk dalam peruntukan mengenai kewarganegaraan,” kata Nik Ahmad Kamal.

Tambahnya, walaupun akan ada belah bahagi namun beliau optimis sokongan dua pertiga mampu dicapai sekiranya usul pindaan tersebut di bawa ke Parlimen.

"Konsep mengutamakan lelaki dalam hal kewarganegaraan ini bukan sahaja menyaksikan diskriminasi terhadap wanita, tetapi juga ketidakadilan terhadap anak-anak yang dilahirkan dalam situasi ini,” katanya lagi.

Ujar beliau, sekiranya pindaan telah mendapat kelulusan di Parlimen, ia kemudian perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk dipersetujui.

Hanya setelah itu, pindaan boleh terlaksana dan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing boleh turunkan status kerakyatan secara automatik kepada anak-anak mereka.

Sebelum ini, pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang bersuamikan warga asing harus diberi kerakyatan Malaysia secara automatik.

Namun, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Ogos lalu.

Klik di sini untuk terus membaca