HARI ini, saya merasakan ibarat berada di era Kesatuan Soviet di mana anda harus pergi dari satu tempat ke tempat lain hanya untuk mencari barang keperluan harian.
Terdapat satu jenaka lama di mana di Moscow ketika itu seorang lelaki berjalan memakai satu kasut dan seorang rakan menjerit kepada lelaki itu: "Kawan! Awak berjalan dengan satu kasut”. Lelaki itu menjawab "Sebaliknya kawan saya yang kasihi, saya baru terjumpa satu kasut".
Saya sudah pergi ke pasar raya dan kedai runcit. Skrip sama. Saya bertanya: "Ada telur tak?".
Dan setiap kali akan mendapat jawapan yang hampir standard "saya tak ada telur".
Saya tidak sangka bahawa pada tahun 2022, apabila saudara saya dari Singapura memaklumkan yang mereka akan datang untuk bercuti dan meraikan Tahun Baharu dan bertanya kepada saya apa ole-ole dari Singapura yang saya mahu, dengan pantas saya minta membawa telur.
Ya, hari ini nampaknya bagaikan seluruh negara mencari telur.
Terus terang, saya tidak pasti apakah punca kekurangan telur di pasaran. Ada yang mendakwa ia adalah permainan kartel telur yang mengawal bekalan dan cuba memerah harga yang lebih tinggi.
Seorang teman pula berseloroh bahawa ayam Malaysia semuanya mengalami menopause. Tidak bertelur lagi. Itulah yang kononnya menyebabkan kekurangan telur di pasaran.
Namun, siapalah yang benar-benar tahu sebab sebenar.
Hari ini di Johor Baharu sudah menjadi kebiasaan untuk melihat pekerja Malaysia yang pulang kerja harian dari Singapura membawa sedozen telur atau lebih. Malah saya juga telah meminta jiran saya membelikan saya telur dari Pasaraya Shen Siong, Woodlands apabila dia pulang dari kerja. Ah! kejiranan yang baik! Benak hati bertanya.
Mengapa Singapura tidak mengalami kekurangan telur. Semasa saya bersarapan dengan telur separuh masak dan roti bakar, saya mula membaca sedikit tentang isu telur di Singapura.
Yang pertama saya dapati, Brunei kini menjadi negara ke-17, yang ladang telur ayamnya diiktiraf untuk mengeksport telur ke Singapura. Malaysia buat masa ini masih kekal sebagai negara utama Singapura mengimport telur.
Malah, di Malaysia juga terdapat ladang telur milik Singapura. Tetapi Singapura cukup bijak untuk tidak terlalu bergantung kepada Malaysia untuk keselamatan makanannya.
Hari ini, 17 negara telah diluluskan untuk mengeksport telur ayam ke Singapura. Brunei menjadi negara yang ke-17 dan terbaru. Antara negara-negara lain yang diiktiraf dan dibenarkan mengeksport telur ke Singapura ialah Australia, Denmark, Jepun, New Zealand, Sepanyol, Sweden, Poland, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat dan Ukraine.
Ini pula fakta yang menarik. Tahukah anda, Singapura bukan sekadar mengimport telur malah juga adalah negara pengeksport telur. Singapura mengeksport telur ke Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, Gambia dan Myanmar.
Bukan itu sahaja, Singapura pada masa ini mempunyai tiga ladang telur bersepadu yang cukup untuk membekalkan 30 peratus keperluan harian Singapura.
Terkini, syarikat makanan tempatan Ise Foods Holdings (IFH) yang disokong oleh pengeluar telur terkemuka Jepun, telah menerima kelulusan prinsip daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk membangunkan ladang telur keempat Singapura.
Apabila beroperasi sepenuhnya, ladang itu akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 360 juta telur dan sehingga lima juta anak ayam berumur sehari untuk diternak bagi bertelur setiap tahun.
Ini akan meningkatkan kapasiti industri telur Singapura untuk secara kolektif memenuhi kira-kira separuh daripada permintaan negara untuk telur - meningkat daripada kira-kira 30 peratus hari ini kepada 50 peratus.
Sementara itu, di seberang tambak, rakyat Malaysia ke hulu ke hilir mencari telur. Untuk jangka pendek, Malaysia sudah mula mengimport telur saiz D dari India walaupun harganya ikut harga saiz A. Al-maklum nilai ringgit hanya membolehkan kita membeli dari India dan itu pun setakat telur saiz D. Selain India, tidak tahu dari mana lagi Malaysia akan mampu membeli telur.
Sepatutnya, dari awal lagi kerajaan mencari punca kekurangan telur di pasaran dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengatur jualan dan harga. Pasti ada kartel yang telah mewujudkan rantaian sampai terjadi krisis telur. Untuk menangani kartel, kerajaan patut membenarkan mana-mana syarikat untuk mengimport telur tertakluk kepada syarat.
Dalam pada itu, saya tidak sabar menanti saudara saya bertandang ke rumah membawa telur dari Singapura - saiz A biarpun harga Singapura.
* Norman Fernandez ialah seorang peguam
Klik di sini untuk terus membaca