SHAH ALAM - Bekalan telur ayam tempatan kini sudah lebih mudah didapati di pasaran berbanding sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya utama di sekitar Lembah Klang, bekalan telur ayam pelbagai gred banyak dijual, sekali gus memudahkan pembeli membuat pilihan.
Bekalan telur tempatan itu dijual di bawah harga kawalan mengikut gred iaitu gred A pada 45 sen sebiji, selain gred B (43 sen), gred C (41 sen).
Bagaimanapun bekalan telur ayam gred C lebih banyak didapati di pasar raya berbanding gred A dan B yang kebanyakannya habis terjual.
Seorang pekerja di salah sebuah pasar raya yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, stok telur ayam sudah kembali pulih, namun pihaknya mengenakan had pembelian sebanyak dua papan untuk setiap pelanggan.
"Ini bagi memastikan tidak berlaku pembelian secara berlebihan sehingga menyebabkan bekalan telur ayam berkurangan dengan cepat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di salah sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.
Seorang pelanggan, Nurleza Basar, 39, mengakui lega apabila bekalan telur ayam kini mudah didapati di pasar raya dan kedai runcit.
"Sebelum ini memang susah nak dapat sepapan telur ayam tempatan. Ada kalanya saya kena berebut beli awal-awal pagi di pasar raya. Hari ini sudah banyak dijual walaupun pekedai mengehadkan kepada dua papan sahaja bagi setiap pelanggan," katanya.
Penjawat awam, Bakri Yusof, 44, pula berharap masalah kekurangan stok bekalan telur ayam seperti sebelum ini tidak lagi berlaku.
"Memang sejak dua bulan lepas susah nak dapat bekalan telur sehinggakan saya terpaksa berkejar ke pasar borong dan kedai runcit pada awal pagi kerana bimbang bekalan akan habis," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau enggan mengulas lanjut perkembangan tersebut ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan krisis bekalan telur ayam terus membelenggu pengguna.
Situasi itu menyebabkan pengguna tertekan, ditambah dengan sikap segelintir peruncit yang bertindak mengehadkan jualan serta mengenakan harga lebih tinggi.
Klik di sini untuk terus membaca