ISLAMABAD - Pada akhir Ogos, satu pertiga kawasan di Pakistan telah ditenggelami banjir dengan lebih 33 juta penduduk terutamanya di wilayah Sindh dan Balochistan dilaporkan terjejas selepas hujan monsun luar biasa berlaku sejak pertengahan Jun lalu.
Beberapa bulan kemudian, lebih 20 juta penduduk di seluruh negara masih memerlukan bantuan kemanusiaan ketika Islamabad terus dilanda krisis kelaparan, peningkatan penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan kekurangan sumber air minuman bersih.
The New Humanitarian melaporkan diarea adalah penyakit biasa yang dialami penduduk pasca banjir, namun kes denggi dan malaria dikatakan mula menunjukkan penurunan berikutan suhu semakin sejuk.
Ketika ini, kira-kira 240,000 penduduk di wilayah Sindh masih tiada tempat tinggal setelah rumah dan harta benda mereka musnah dihanyutkan banjir dahsyat yang turut meragut hampir 1,700 nyawa.
"Saya sentiasa bimbang dengan nasib penduduk di sini. Saya berharap keluarga kami dapat berpindah ke tempat lain supaya dapat mengelakkan tragedi ini jika ia kembali berulang.
"Kami tinggal sehelai sepinggang dan adalah mustahil untuk membina semula rumah seperti yang kami miliki sebelum ini," kata Allah Rakhyo yang kini tinggal di penempatan kecil di luar Dadu yang masih dikelilingi takungan air.
Kebanyakan penduduk yang bergantung kepada hasil pertanian dan penternakan juga hilang mata pencarian mereka.
Menurut data Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan, banjir luar biasa itu memusnahkan hampir 500,000 haiwan ternakan dan hampir satu hektar kawasan pertanian.
Walaupun banjir telah surut, golongan petani khuatir peningkatan kadar garam mudah larut atau salinisasi yang disebabkan banjir mungkin telah merosakkan tanah yang sebelum ini subur untuk pertanian tahun akan datang.
Susulan itu, kebanyakan penduduk terpaksa meninggalkan keluarga masing-masing dan mencari sumber pendapatan di tempat lain seperti di bandar Hyderabad serta Karachi.
Pada awal minggu lalu, Bank Dunia telah meluluskan dana pembiayaan berjumlah AS$1.69 bilion (RM7.5 bilion) untuk projek bantuan banjir di Pakistan.
"Lima projek termasuk usaha pemulihan, pembinaan semula perumahan dan memulihkan pengeluaran hasil pertanian itu bertujuan untuk menyokong penduduk di kawasan terjejas banjir di wilayah Sindh," ujar institusi kewangan antarabangsa itu dalam satu kenyataan.
Difahamkan, dana itu juga akan menyokong perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak.
"Sindh adalah wilayah yang paling terkesan banjir pada tahun ini dengan kemusnahan harta benda berskala besar. Penglibatan kami dalam usaha tindak balas banjir ini adalah peluang untuk mengukuhkan daya tahan terhadap kejutan akibat perubahan iklim, memperbaharui institusi dan struktur tadbir urus," kata Pengarah Bank Dunia untuk Pakistan, Najy Benhassine.
Penilaian keperluan pasca banjir yang dilakukan pemerintah dan rakan kongsi pembangunan termasuk Bank Pembangunan Asia menganggarkan kos kemusnahan dan kerugian mencecah lebih AS$30 bilion (RM133 bilion) manakala dana pemulihan serta pembinaan semula yang diperlukan berjumlah AS$16.3 bilion (RM72.3 bilion).
Krisis ekonomi di Islamabad semakin buruk selepas kejadian banjir dahsyat tersebut selain mengalami inflasi dua digit selama beberapa bulan yang didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api serta kejatuhan ketara nilai rupee berbanding mata wang asing. - Agensi/ AFP
Klik di sini untuk terus membaca