SECARA umumnya, berkongsi cerita adalah antara kaedah dalam berkomunikasi. Bagi individu yang agak pendiam, mereka digalakkan berkongsi cerita agar terhindar daripada gejala loneliness atau kesepian.
Pun begitu, tidak semua perkara boleh diceritakan kepada orang lain. Adakalanya, cerita kita telah disalah tafsir dan diputar belit bagi tujuan melaga-lagakan dengan seseorang. Maka, berhati-hatilah apabila berkongsi cerita.
Sebetulnya, ramai yang suka berkongsi cerita yang buruk berbanding dengan perkara yang baik. Sama ada bagi tujuan melepaskan sebak di dada, setiap cerita keburukan orang lain walaupun benar, tetap memberi kesan yang buruk kepada kita baik dari perspektif psikologi dan keagamaan.
Menurut perspektif psikologi, kita tidak boleh mengelak untuk berfikir negatif kerana sensitif dengan perubahan emosi dan persekitaran. Namun begitu, sekiranya berfikir negatif sudah menjadi suatu tabiat, boleh mendorong seseorang itu mengalami masalah anxiety atau kebimbangan yang kronik, kemurungan serta pelbagai masalah keterencatan psikologi.
Manakala, berkongsi cerita keburukan orang lain walaupun benar tetap tidak dibenarkan dalam Islam sebagaimana dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya, "Tahukah kamu, apakah ghibah itu?”. Para sahabat menjawab: ALLAH dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, "Engkau menyebut hal saudara kamu yang ia tidak sukai”.
Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan apa yang aku bicarakan?”. Baginda menjawab, "Jika apa yang dikatakan itu memang benar-benar ada, maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah berbuat fitnah”. (Hadis Riwayat Muslim) Menurut para ilmuan, setiap manusia ada dua pandangan mata iaitu, pandangan kebaikan dan pandangan keburukan. Pandangan baik dikaitkan dengan mata lebah dan pandangan buruk dikaitkan dengan mata lalat.
Berkaitan hal itu, teringat saya perkongsian Buya Hamka mengenai seorang pemuda, berjumpa dengan pelacur di Makkah yang berniqab dan berjubah.
Tanya pemuda berkenaan, "Sewaktu Buya Hamka bermusafir di Amerika, pernah tak berjumpa dengan pelacur?”. Jawab Buya Hamka, "Tidak pernah”.
Balas pemuda berkenaan dengan nada terkejut, "Amat mustahil di Amerika tidak ada pelacur”. Jawab Buya Hamka, "Semuanya bergantung kepada apa yang hendak kita cari dan tengok, Jika kita cari keburukan, hatta Makkah tempat yang suci sekalipun tetap akan ada keburukan.
Manakala, jika kita cari dan tengok kebaikan, keburukan tidak akan dijumpai walaupun di Amerika.”. Malah, Buya Hamka telah merakamkan kata-kata yang cukup hebat menerusi bukunya, empat bulan di Amerika, "Saya pergi ke negeri Arab khususnya tanah suci Makkah dan Madinah untuk mencari sumber kekuatan jiwa, sudah sepatutnya saya melawat ke Amerika untuk mencari sumber kekuatan akal”.
Pada hemat saya, kaedah berkongsi cerita perangai buruk seseorang terhadap kita bukanlah penyelesai masalah sebak di dada, sebaliknya akan memudaratkan kita dalam jangka masa panjang. Cara yang terbaik adalah berfikir dan bertingkah laku positif menerusi kemahiran ‘maniskan lidah’.
Berkaitan hal itu, saya begitu tertarik dengan kupasan ‘maniskan lidah’ oleh Dr Muhammad menerusi bukunya, Enjoy your life. Beliau telah berkongsi cerita mengenai seorang muslim yang bersin berdekatan dengan sahabatnya tanpa menyebut, ‘YarhamukALLAH’ (Semoga ALLAH merahmati kamu).
Justeru, sahabat berkenaan tidak menegur sahabat yang bersin tadi kerana tidak menyebut lafaz berkenaan, sebaliknya bertanya kepada sahabatnya, "Apakah lafaz yang perlu disebut apabila seseorang itu bersin?”. Maka sahabatnya terus menjawab ‘YarhamukALLAH’.
Begitulah indahnya kehidupan jika semua perkara kita positif dan harmonikan. Berhentilah berkongsi cerita negatif demi kesejahteraan emosi.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca