DATUK Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri sejak beberapa minggu lalu. Namun, kelihatan beliau tidak dapat mengemudikan hala tuju kerajaan gabungan parti-parti ini sewenang-wenangnya. Halangan yang utama bagi Anwar... Klik di sini untuk terus membaca

DATUK Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri sejak beberapa minggu lalu. Namun, kelihatan beliau tidak dapat mengemudikan hala tuju kerajaan gabungan parti-parti ini sewenang-wenangnya.

Halangan yang utama bagi Anwar adalah melaksanakan manifesto-manifesto yang bercanggah dengan prinsip parti-parti politik dalam gabungan tersebut, terutamanya dua parti komponen utama, iaitu UMNO dan DAP.

Prinsip utama bagi UMNO adalah memperjuangkan hak-hak Bumiputera dan agama Islam, manakala DAP pula lebih cenderung kepada prinsip meritokrasi dan agenda negara sekular (iaitu konsep pemisahan agama daripada pemerintahan sesebuah negara).

Lebih-lebih lagi, DAP juga telah menjanjikan komuniti Cina agar memberikan lebih kepentingan kepada masyarakat tersebut berkenaan dengan isu pendidikan vernakular, seperti pengiktirafan UEC dan juga peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian (Cina) di mana bahasa pengantar utama adalah bahasa Mandarin.

Hala tuju komponen parti yang berbeza membawa maksud bahawa tentunya terdapat parti dalam gabungan kerajaan bakal memungkiri janji kepada pengundi mereka.

Isu kedua yang bakal dihadapi oleh Anwar adalah tahap kerjasama antara parti-parti kerajaan. Dengan pegangan politik dan amalan yang berbeza, konflik antara pimpinan sukar dielakkan.

Misalnya, keputusan pelantikan semula Datuk Ahmad Jazlan Yaakub oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi FELCRA, telah ditangguh oleh Anwar.

Percanggahan amalan antara PH dan BN dalam pelantikan politik untuk GLC atau badan berkanun adalah salah satu dilema yang akan dihadapi oleh Anwar.

Polisi-polisi yang berkaitan perpaduan antara kaum juga akan mencetuskan perselisihan.

Tahun 2023, Pilihan Raya Negeri akan diadakan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pengagihan kerusi di antara PH dan BN bukanlah perkara yang mudah.

Tiada duluan yang boleh menjadi panduan rujukan perihal pengagihan kerusi ini. Sekiranya gagal untuk mencapai persefahaman, maka BN dan PH terpaksa berlawan antara satu sama lain.

Kempen-kempen yang bersifat serangan antara dua parti ini akan memberikan kesan dan impak yang negatif terhadap kerajaan persekutuan dan pada masa yang sama, memberikan kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN tersebut.

Anwar juga ditekan oleh PN sebagai pembangkang yang tidak kurang pengaruhnya. Setiap polisi dan pelaksanaan akan dipantau, diselia dan dikritik.

Kes-kes mahkamah pemimpin-pemimpin kerajaan yang masih berlangsung juga merupakan peluru politik untuk menyerang pimpinan Anwar.

Jikalau mereka dilepas dan dibebaskan, pihak pembangkang mungkin menyerang integriti kerajaan dan menuduh bahawa campur tangan politik yang menyebabkan keputusan mahkamah itu.

Sebaliknya, jika mereka disabit dan memohon rayuan, maka kerajaan Anwar akan dituduh ‘bersekongkol’ dengan mereka yang disifatkan sebagai ‘penyamun’ oleh PH sendiri sebelum PRU.

Selain itu, keputusan PRK di Padang Serai memberikan gambaran bahawa 1 tambah 1 bukan semestinya 2. BN secara prinsipal "memberi laluan” kepada PH walaupun telah mencalonkan seorang daripada MIC. Keputusan PRK tersebut telah membuktikan bahawa, undi tradisional BN dan PH akan beralih ke arah PN sekiranya pemberian laluan telah berlaku.

Di semenanjung, BN-UMNO/MCA/MIC dan PH-PKR/DAP merupakan musuh utama masing-masing sejak zaman Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4. ‘Kerjasama’ antara PH dan BN di peringkat akar umbi memerlukan masa untuk mencapai kematangannya.

Dengan PN sebagai alternatif yang berkesan, ramai akar umbi Melayu UMNO dan PH sanggup menyokong PN, daripada menyokong musuh lama.

Kestabilan ekonomi dan politik adalah harapan utama seluruh negara untuk mengharungi kegawatan ekonomi yang bakal melanda. Saya mengucapkan semoga maju jaya kepada Anwar dalam kepimpinan pada waktu pergolakan sebegini.

* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik

Klik di sini untuk terus membaca