MENJADI ahli politik merupakan kerjaya yang sangat unik. Inilah satu-satunya kerjaya yang tidak memerlukan sebarang kelayakan dalam bidang tertentu secara spesifik. Pengalaman kerja pun tidak diperlukan, namun ia tetap menjadi idaman ramai.... Klik di sini untuk terus membaca

MENJADI ahli politik merupakan kerjaya yang sangat unik. Inilah satu-satunya kerjaya yang tidak memerlukan sebarang kelayakan dalam bidang tertentu secara spesifik. Pengalaman kerja pun tidak diperlukan, namun ia tetap menjadi idaman ramai.

Mencebur diri sebagai ahli politik hanya memerlukan keberanian luar biasa. Kena tebal muka dan telinga. Mempunyai kesabaran serta tahan maki yang tinggi.

Pandai pusing sana pusing sini. Paling penting wajib dilihat kuat kerja dan setia kepada parti. itulah sahaja cirinya. Namun motivasi sebenar mana-mana individu menyertai politik adalah kuasa.

Kuasa politik membuka banyak ruang untuk membina segalanya. Paling penting ia kunci kepada pintu kemewahan, kemasyhuran dan kemegahan.

Sebab itu ramai yang menceburkan diri dalam politik cenderung hanyut dan tunduk kepada godaan, pesona serta gemerlapan kuasa. Bak kata Abraham Lincoln, semua orang mampu menghadapi kesukaran, namun jika kita mahu menguji karakter seseorang, berikanlah dia kuasa.

Soalnya mengapa ramai yang tumbang kepada godaan kuasa di sebalik pemahaman Lord John Dalberg-Acton bahawa kuasa cenderung kepada penyelewengan? Ke mana hilangnya idealisme dan semangat perjuangan ahli politik yang mula-mula terjun dalam bidang ini?

Bagaimana menyelesaikannya? Sukar untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan itu secara tuntas, namun kata-kata Pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan, John Steinbeck bahawa kekuasaan tidak merosakkan, tetapi ketakutan pada kehilangan kekuasaanlah yang menyebabkan kerosakan kuasa boleh menerangkan perkara tersebut.

Ini serupa dengan pandangan William Gaddis bahawa kuasa tidak merosakkan manusia, tetapi manusialah yang merosakkan kuasa. Dua hujah itu cukup untuk menerangkan mengapa idealisme dan semangat juang ahli politik kebanyakannya syahid di tengah jalan.

Hendak mengubah hal ini juga sukar. Kuasa yang merosakkan ini sudah menjadi pandemik politik. Mengubahnya melibatkan perubahan secara sistemik bermula daripada budaya politik kepartian.

Selagi mana budaya penaungan menerusi amalan berbalas keuntungan (exchange of favors) dalam parti politik masih subur, selagi itulah pembasmiannya juga sukar.

Di negara-negara maju seperti Sweden misalnya, kerjaya sebagai ahli politik adalah pilihan terakhir bagi warga mereka. Sebabnya mudah. Itulah kerja yang tidak mendatangkan keuntungan dan berbaloi untuk dilakukan. Sebagai ahli politik, mereka tidak ada apa-apa kelebihan. Malah bebanan kerjanya lagi berat berbanding pekerjaan yang lain.

Wartawan Claudia Wallin dalam bukunya tahun 2018 bertajuk Sweden: The Untold Story menceritakan bagaimana politik di negara ini antara yang terbaik di dunia.

Perkhidmatan awamnya cekap. Pengurusannya lancar dan sempurna. Paling penting indeks persepsi rasuahnya (CPI) tergolong di kalangan sepuluh yang terbaik di dunia.

Apa rahsianya? Sweden tidak menawarkan sebarang kemewahan dan kelebihan kepada ahli politiknya. Mereka tidak diberikan sebarang hak atau kelebihan sebagai wakil rakyat. Tiada kenderaan rasmi atau apa-apa elaun yang tidak berkenaan diberikan. Tiada kekebalan atau imuniti khusus untuk melindungi mereka.

Malah gaji mereka relatifnya terendah jika dibandingkan dengan pekerjaan yang lain. Bayangkan gaji sebagai ahli Parlimen (Riksdag) hanyalah dua kali ganda lebih daripada gaji seorang guru sekolah rendah sedangkan bebannya lebih berat berbanding menjadi guru.

Mengapa itu boleh berlaku? Kerana pembudayaan bahawa politik adalah khidmat awam yang dibiayai menerusi kutipan cukai. Justeru itu mereka segera mematahkan konsep bahawa ahli politik harus diberikan layanan istimewa berbanding rakyat biasa. Mereka menganggap ahli politik sama seperti rakyat biasa.

Kerana, menurut sistem nilai di Sweden, tiada siapa yang melebihi orang lain. Tidak juga ahli politik, yang sepatutnya hidup dalam keadaan yang serupa dengan realiti rakyat yang memilih mereka. Kerana itulah mereka maju dalam segenap sudut disebalik saiz negara yang kecil dengan sumber alam yang terhad berbanding kita di Malaysia.

Pengalaman ini jelas memperlihatkan bagaimana perubahan budaya politik yang bermula dengan prinsip tiada siapa yang lebih daripada sepatutnya menjadikan sebuah negara mampu untuk berubah menjadi antara yang terkaya, termaju dan mempunyai sistem keadilan sosial yang terbaik di dunia. Apakah kita tidak mahu menjadi seperti itu. Kalau mahu sudah tiba masa untuk kita mulakan dengan menyekat dan menyukat kelebihan yang ada buat ahli politik.

* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca