BARU-BARU ini sewaktu ucapan awalnya di Parlimen Malaysia Perdana Menteri Malaysia ke-10 menukil kata-kata William Shakespeare (sebutan: sheks-pi-r) yang berbunyi, "Told by an idiot, full of sound and fury, signifying nothing”.
Ia dipetik daripada Macbeth karya Shakespeare yang terkenal. Maksudnya: "Disebutkan oleh seorang yang bodoh, penuh dengan bunyi dan kemarahan, tidak bermakna apa-apa.
”Beliau juga mengingatkan ahli-ahli Dewan supaya tidak melanggar batas adab dan susila, menghormati peraturan Dewan serta menjaga kemuliaannya.
Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan ahli-ahli Dewan supaya tidak keterlaluan kerana ini akan ditertawakan oleh rakyat yang melihat seluruh Dewan ini menjadi gelanggang seperti yang disebut dalam media sosial sebagai ‘sarkas’.
Banyak tahun yang lepas, bersama-sama keluarga dan rakan-rakan yang dalam perjalanan dari kota-kota tempat saya berceramah, saya berpeluang melawat Stratford-upon-Avon tiga kali.
Pekan Inggeris yang bersejarah dan teratur ini terletak di tebing Sungai Avon. Di situlah penulis paling tersohor dalam ranah bahasa dan sastera Inggeris yang bernama William Shakespeare dilahirkan pada 1564 (meninggal 1616) dan di situ jugalah pelbagai karya-dramanya dilakonkan hingga kini.
Di dunia pascamoden ini, usaha kehidupan serta aktiviti pelancongan pekan Sungai Avon itu terfokus kepada kepada hayat dan karya ‘The Bard’ atau ‘Bard of Avon’.
Gelaran mesra yang bermaksud ‘pemuisi’ ini diberi kepada Shakespeare dan menjadi popular bagi mereka yang kerap menggunakan bahasa Inggeris.
Setelah menyebut sepotong ayat daripada drama Shakespeare yang tersebut di atas, saya turunkan terjemahan lapan lagi nukilan yang terkumpul dalam koleksi beliau.
Sumber karya setiap nukilan ini ditulis dalam kurungan; diikuti dengan maksudnya menurut penelitian saya.
1."Berilah setiap insan pendengaran anda, tetapi sedikit (insan) suara anda” (Hamlet). Lebih baik kita mendengar daripada banyak bersuara.
2."Betapa miskinkah mereka yang tidak mempunyai kesabaran! Luka apa yang menjadi sembuh melainkan dengan bertahap-tahap” (Othello). Kesabaran merupakan sifat yang baik; lagipun sesuatu keadaan hidup yang menjadi baik memerlukan masa dan perhatian dari tahap ke tahap.
3."Tiada warisan yang sangat kaya seperti kejujuran” (All's Well That Ends Well). Kejujuran ialah khazanah yang wujud pada diri insan.
4."Syaitan boleh menukil kitab suci demi kepentingannya” (The Merchant of Venice). Orang jahat boleh menipu dengan menggunakan ayat-ayat daripada kitab suci.
5."Kerahmatan yang indah ialah lencana kemuliaan yang sebenarnya” (Titus Andronicus). Sifat rahmah mempunyai kemuliaannya tersendiri.
6."Janganlah panaskan relau dengan cara yang terlalu panas hingga ia membakar diri anda” (Henry VIII). Apabila kita memarahi seseorang janganlah terlalu ekstrem hingga memudaratkan diri kita sendiri.
7."Ada masa kita membenci apa yang kita takutkan” (Antony and Cleopatra). Kita mudah membenci perkara yang kita takuti atau yang tidak kita ketahui dengan kebenaran.
8."Seluruh dunia ialah pentas, dan semua lelaki dan wanita hanya pelakon. Mereka mempunyai masa keluar dan masuk, mereka; dan seorang lelaki pada masanya melakonkan banyak bahagian” (As You Like It). Semua manusia mempunyai peranan masing-masing umpama lakonan di atas pentas hidup; dan setelah memainkan peranan itu, kita tinggalkan gelanggang hidup.
Lebih 100 kata-kata Shakespeare boleh diakses bila kita melayari internet; dan kita boleh mengesahkan kebenarannya dengan merujuk sumber aslinya dari internet juga.
Kebanyakannya terdiri daripada kata-kata yang tergolong dalam kelompok ‘universal truth’ atau hakikat jagat.
Apabila kata-kata bestari ini diterjemah ke dalam bahasa lain sekalipun, ia boleh diterima oleh mana-mana budaya, tanpa mengira zaman.
* Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca