SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih berhemah dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan dengan tidak menyentuh atau mengubah dasar teras negara secara mendadak. Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih berhemah dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan dengan tidak menyentuh atau mengubah dasar teras negara secara mendadak.

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, tindakan itu diambil dengan mengambil kira iktibar pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mana sebarang, perubahan drastik akan menyebabkan kejutan dan ketidaksediaan semua pihak termasuk rakyat, peniaga serta pelabur luar.

"Contohnya selepas PRU14, projek mega dibatalkan, sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan ditukar semula kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Dua perkara ini adalah dasar teras negara.

"Perubahan yang dibuat mengakibatkan ketidakyakinan pelabur, menjejaskan pendapatan negara dan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran yang kemudian menimbulkan banyak masalah.

"Bagaimanapun, kita lihat selepas PRU15, tiada perkara baharu atau pembatalan inisiatif lama dibuat kerajaan terdahulu yang dilakukan secara mengejut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar (tiga dari kiri) menyertai hampir 3,000 jemaah di Masjid Putra untuk menunaikan solat Jumaat pada 25 November lepas.

Menurut Anis Anwar, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu juga mengambil pendekatan untuk meneruskan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu.

"Anwar memilih untuk meneruskan inisiatif atau bentuk bantuan kepada mangsa banjir sebagaimana yang diperuntukkan dan membuat semakan semula bagi beberapa projek kerajaan sebelum ini.

"Selain itu, bentuk prestasi pentadbiran semasa juga masih berpaksikan populariti Perdana Menteri (secara individu) berbanding kebersamaan jemaah menteri yang dilantik.

"Maka boleh dilihat, selain mengadakan sidang akhbar secara kerap, beliau turut membina imejnya dengan mendekati golongan agamawan dan ahli akademik berbanding memfokuskan dasar-dasar yang lebih substantif," ujarnya.

Cabaran rakyat Bagaimanapun beliau mengakui, rakyat masih belum merasakan perubahan yang ketara dalam pemerintahan Anwar khususnya melibatkan masalah kos sara hidup dan aspek ekonomi secara keseluruhan.

"Disebabkan itu, ada segolongan pihak membangkitkan semula retorik yang pernah diungkapkan beliau (Anwar) sebelum ini yang mana kelemahan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 adalah disebabkan tidak berada dalam kerajaan itu sendiri,” ujarnya.

Anis Anwar juga berpandangan, masa depan Malaysia akan terus menghadapi cabaran getir dari segenap aspek.

Jelas beliau, kestabilan negara masih belum terjamin selepas berakhirnya PRU15 ekoran cabaran ekonomi dunia yang bakal melanda.

"Daripada konteks politik pula, kerjasama dalam gabungan ini masih belum teruji dalam isu sensitif sewaktu pilihan raya negeri (PRN) pada tahun hadapan khususnya dalam pembahagian kerusi dan keputusan pilihan raya.

"UMNO di samping perlu bertanggungjawab terhadap tindakan dan pelaksanaan dasar kerajaan hari ini, hala tujunya juga bergantung terhadap penerimaan rakyat menjelang PRN dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang.

"Situasi berkenaan akan menjadi titik penting terhadap kestabilan dan kelangsungan kerajaan pada hari ini,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca