AGAKNYA memang sudah jadi budaya kita, nak buat apapun kena lancarkan secara rasmi. Ini termasuk program nak bantu banjir. Perlu ada majlis khas, ada ucapan, ada gimik pelancaran, baru sah majlis.
Jadi apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat majlis pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri untuk Kelantan dan Terengganu, maka virallah kemarahan netizen.
Nak buat, buat sahajalah. Just do it, macam kata iklan sebuah jenama kasut popular, dengan izin.
Awang harap kementerian berkenaan ikut nasihat Tuk Seri PM. Sekarang zaman susah.
Tak usahlah nak buat majlis rasmi tak tentu arah. Jangan buang masa kakitangan kerajaan. Jimatkan perbelanjaan kata beliau.
Awang harap semua menteri dan kementerian serta agensi ambil maklum hal itu. Awang juga nak tegur belanja yang terpaksa dikeluarkan oleh kementerian, jabatan dan agensi untuk makan dan minum. Tiap kali mesyuarat ada makan mewah. Kadang-kadang melimpah ruah.
Buatlah cara baru, tak usah buat makan-makan yang belanja besar. Sediakan kudapan sahaja. Kecualilah tempat itu jauh dari tempat makan atau kantin.
Awang bayangkan berjuta-juta ringgit habis untuk makan minum sahaja.
Dalam keadaan ada rakyat kita yang hidup makan nasi sekali sehari, tak usahlah bermewah-mewah dengan makanan masa mesyuarat dan majlis.
Itu baru penjimatan namanya.
Klik di sini untuk terus membaca