SHAH ALAM - Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula pada 24 November lalu, dianggap lebih berkualiti, agresif dan menonjol daripada pentadbiran sebelumnya. Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula pada 24 November lalu, dianggap lebih berkualiti, agresif dan menonjol daripada pentadbiran sebelumnya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, ia kerana setiap tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Anwar dan anggota kabinetnya hanya bertujuan membantu rakyat tanpa kepentingan politik.

"Bagi saya, prestasi Anwar kini dikatakan menonjol berbanding perdana menteri sebelumnya. Dalam tempoh ini (sebulan pentadbiran), dia lebih ke depan dalam aspek turun padang dan membuat kenyataan yang bagi saya lebih kepada meredakan rakyat.

"Antaranya, dalam keadaan banjir ini, dia turun bawah sendiri ke Kelantan dan hulurkan bantuan kepada negeri yang dilanda banjir. Beliau (Anwar) masih lagi di landasan yang betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelas Hisommudin, selain tindakan yang mengutamakan rakyat, turut mendapat perhatian adalah pemakaian yang kurang formal ditampilkan oleh Anwar.

"Beliau mengetengahkan pakaian yang tidak formal. Waima, sampai ke Parlimen pun dibincangkan kerana beliau tidak memakai tali leher. Ini beri gambaran kepimpinan beliau kurang formaliti atau elemen rasmi dalam urusan kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata, meskipun terlalu awal untuk menilai kepimpinan Ahli Parlimen Tambun tersebut, namun secara umumnya telah meredakan suhu politik yang tegang sewaktu Parlimen tergantung selepas pilihan raya umum (PRU).

"Beliau (Anwar) telah membuat pendekatan mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ini penting bagi memastikan kerajaan stabil.

"Selain itu, beliau juga berani lakukan undi percaya dan meluluskan perbelanjaan Bajet Mini. Saya melihat ini semua adalah tindakan proaktif dan berani oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ditanya mengenai kesan kepada rakyat, Hisommudin berkata, keputusan dan tindakan Anwar sememangnya memberi impak positif serta berharap agar ia dapat diteruskan dengan lebih diperhebat.

"Harapnya tidak ada sebarang elemen yang mengganggu beliau untuk memacu dan memimpin negara. Kalau semua parti dalam Kerajaan Perpaduan fokus dengan hala tuju yang dibawa, jadi semua dalam keadaan baik.

"Kita tahu kerajaan sekarang adalah yang diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas tiada majoriti. Ini kerajaan campuran pelbagai parti. Harapnya tiada konflik dalaman antara mereka agar tidak mengganggu misi utama iaitu membantu rakyat,” katanya.

Jelas beliau, selain meringankan kos sara hidup, Anwar tiada pilihan selain memikul beban untuk memulihkan ekonomi negara dan beban yang bakal ditanggung rakyat menjelang 2023.

"Tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan tiada pilihan lain melainkan mengenalkan polisi dan meyakinkan pelabur. Kena yakinkan negara luar untuk pulihkan ekonomi bagi meletakkan Malaysia di landasan yang tepat,” katanya.

Beliau amat berharap kerajaan pimpinan Anwar dapat mengekalkan momentum seterusnya membawa Malaysia keluar dari belenggu kesuraman ekonomi.

"Kena ada inisiatif baharu oleh Perdana Menteri dan pasukan untuk bawa negara keluar daripada kesuraman ekonomi dan bebas unjuran kemelesetan ekonomi yang bakal melanda seterusnya bangkit semula sebagai negara yang kuat,” ujarnya.

Prestasi menepati jangkaan orang ramai Sementara itu, Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan) menyifatkan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh sebulan mentadbir negara menepati jangkaan orang ramai.

Anwar disifatkan sebagai sosok pemimpin yang inginkan sebuah kerajaan bersih, cekap dan prihatin, selain ekonomi yang kukuh.

Pengarah Akademik Huayan, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah berkata, ia termasuk janji Anwar untuk mengecilkan saiz jemaah menteri bagi mengurangkan perbelanjaan negara, menangani bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir serta mencari jalan penyelesaian terhadap kenaikan kos sara hidup.

"Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar dilihat memfokuskan pada isu berkaitan ekonomi, politik dan kebajikan sosial rakyat Malaysia.

"Dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan dan pembaharuan, keyakinan pelabur asing akan meningkat, keharmonian pelbagai kaum terpelihara, kestabilan politik dipulihkan dan kos sara hidup dapat dikawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Yun Fah bagaimanapun mengakui, langkah-langkah yang dilaksanakan setakat ini lebih menjurus ke arah penyelesaian jangka masa pendek.

Ujarnya, Perdana Menteri seharusnya turut memberi keutamaan terhadap penyelesaian jangka masa panjang di samping mengukuhkan pembaharuan sistem negara.

Sementara itu, beliau berharap agar Anwar bersama barisan jemaah menteri dapat mengurangkan elemen berpolitik dalam membuat sesuatu polisi.

Kronologi perubahan Anwar selepas dilantik PM 24 November 2022 - Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap dengan pendirian tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri.

29 November - Beri jaminan tiada lagi kelulusan perolehan tanpa tender.2 Disember Mengurangkan saiz kabinet daripada 31 kepada 28 jemaah menteri.

8 Disember - Anwar mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selesaikan tunggakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh sebulan.

19 Disember - Anwar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

20 Disember - Dewan Rakyat meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Anwar bernilai lebih RM107 bilion.

- Mempengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk memastikan kaedah terbaik dicapai supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang dan bekalan makanan mencukupi.

- Kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik serta pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

- Kerajaan akan menanggung subsidi lebih 10 bilion ringgit bagi tempoh enam bulan pertama 2023, selaras pendekatan pentadbiran untuk melindungi rakyat dan perniagaan PMKS.

22 Disember - Anwar mahu jabatan kerajaan menghentikan penganjuran program atau majlis besar-besaran.

- Pembelian pakaian baharu bagi sebarang majlis boleh dikhususkan untuk diedarkan kepada kakitangan gred rendah.

- Potongan cukai taksiran sebanyak 30 peratus bagi semua kediaman di Putrajaya berharga bawah RM300,000, berkuat kuasa 1 Januari 2023.

- Anwar menegaskan lantikan politik bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mestilah berdasarkan kelayakan selain mematuhi syarat-syarat tertentu.

Klik di sini untuk terus membaca