PADA 19 dan 20 Disember 2022, beberapa peristiwa bersejarah mengambil tempat di dalam Dewan Rakyat. Satu, Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15; kedua pelantikan seorang Speaker dan dua Timbalan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 19 dan 20 Disember 2022, beberapa peristiwa bersejarah mengambil tempat di dalam Dewan Rakyat.

Satu, Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15; kedua pelantikan seorang Speaker dan dua Timbalan Speaker; ketiga undi percaya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keempat, kelulusan ke atas Rang Undang-undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022, perbelanjaan sebanyak RM107,718,676,650 dikeluarkan untuk perkhidmatan kerajaan bagi sebahagian tahun 2023.

Ini tidak termasuk penyusunan kedudukan wakil rakyat mengikut blok masing-masing, yang juga mencipta sejarah baharu.

Dua bekas Perdana Menteri juga masih ada, seorang Timbalan Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri selepas 24 tahun manakala seorang lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri semula selepas empat tahun.

Namun begitu, sebagaimana sejarah silam, tatacara bagaimana perjalanan sidang pertama ini berlangsung dan ditonton oleh mereka yang sama ada berada di dalam ataupun luar dewan menjadi perbualan.

Ini membawa kepada keberkesanan Akta 347 iaitu Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Integriti politik penting untuk dijadikan panduan kepada yang lain.

Asas untuk menjadi seorang wakil rakyat yang menjadi idola adalah bukan mereka yang menjerit dan mengata antara satu sama lain, tetapi membaca, meneliti dan memahami perundangan sebagai salah satu cabang induk dalam tadbir-urus negara.

Parlimen adalah kemegahan rakyat kerana wakilnya menggalas tanggungjawab mempertahan dan meneruskan keazaman untuk peka kepada nilai kemasyarakatan.

Ia bukan untuk melakukan aksi ‘lelong maruah’ atau ‘menjaja diri’ semata-mata untuk mencuri publisiti dan perhatian umum.

Dasar dipersetujui dan diwartakan di sini. Bertanggungjawab secara kolektif ke atas etika tatacara dan perwatakan secara bersama penting untuk membolehkan rakyat merasai kepentingan mereka.

Etika bermoral dengan tindakan berhemah penting untuk menerajui politik baharu. Walau berbeza fahaman atau pendirian, sekurang-kurangnya masing-masing boleh bersetuju ke atas peraturan kelakuan yang sederhana perilakunya.

Tatakelakuan yang ada nilai akhlak akan membolehkan seseorang itu beramanah dan menyumbang dalam mempertahankan kemuliaan dewan ini.

Keabsahan bukan sekadar pada kepimpinan Perdana Menteri tetapi juga anggota Jemaah Menteri serta anggota pembangkang yang membawa hasrat ‘semak dan imbang’ di dalam dewan.

Kemuafakatan boleh diselarikan dengan agenda jika perbezaan dijadikan kekuatan untuk membina negara.

Institusi dan struktur yang ada wajar dihormati dan tidak diaib dengan tingkah-laku yang kurang senonoh.

Kekebalan berbahas dan menjawab usul tidak bermakna kita hilang nilai ‘hormat’ diri sendiri. Prinsip moral wajar menjadi kompas untuk mengikat kepercayaan massa.

Kita mahu melihat seorang ‘wakil rakyat budiman’, tinggi budi pekerti, budi bicara disanjung, budi bahasa dihormati dan akal budi disantuni. Ia melengkapkan seorang wakil rakyat yang diiktiraf dan dijadikan teladan yang lain.

Ada sebahagian yang menyoal bahawa kehadiran wakil rakyat baharu perlu diberikan masa, tetapi yang lama masih berwatak jahat dalam perang mengurus persepsi yang disulam dengan perkataan hina, aib dan memalukan, seperti pembunuhan karakter berlebihan.

Disiplin ketika berbahas penting untuk dinilai dan menjadikan seorang bertauliah digelar ‘wakil rakyat’ atas nama ‘pemimpin’.

Kemunduran pemikiran, memperlekehkan lawan politik dan lebih daripada itu sebenarnya mempersenda maruah diri sendiri bila menyampaikan hujah.

Ada yang biadab, kasar dan menjadi seolah-olah seorang ‘gengster politik’.

Parlimen bukan sarkas, ia bukan tempat untuk ‘badut politik’. Ia ada prestij dengan nilai budaya berbeza.

Gaya, personaliti, kelakuan, perwatakan yang diselaputi oleh kebolehan, kemahiran dan ilmu akan memberi suluhan kepada kewibawaan masing-masing.

Penanda aras adalah saringan sendiri yang sekali gus akan menerima penghormatan dari rakyat yang memerhati.

Apakah sudah tiba masanya memperkenalkan ‘Akta Etika Wakil Rakyat’?

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca