PERDANA Menteri sudah pun dilantik. Jemaah Menteri sudah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diberikan portfolio masing-masing. Parlimen juga sudah bersidang. Namun masih ada dalam kalangan rakyat netizen malah pemimpin masih... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri sudah pun dilantik. Jemaah Menteri sudah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diberikan portfolio masing-masing. Parlimen juga sudah bersidang.

Namun masih ada dalam kalangan rakyat netizen malah pemimpin masih lagi terpaku dalam tempoh pilihan raya dengan mempolitikkan pelbagai isu demi menzahirkan kebaikan di pihak mereka.

Golongan sebegini sebenarnya muflis idea bagi membangun negara. Mereka bukan yang jujur mahu memajukan negara tetapi hanya fokus kepada puncak kuasa.

Bagi yang menang mereka alpa, bebanan yang mereka pikul di pundak masing-masing sangatlah berat.

Bagi yang kalah pula rancangan digarap bagaimana untuk mendapat kuasa. Inilah Malaysia yang masih belum belajar daripada kesilapan lepas.

Menginsafi kesilapan lepas, saya mengajak semua pemimpin dan rakyat Malaysia menganjak minda dalam paradigma baharu dengan menumpukan perhatian kepada pembangunan negara. Tahun 2023 yang bakal tiba menjanjikan pelbagai cabaran getir yang harus dihadapi bersama.

Sistem politik dan tadbir urus yang baik merupakan syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara.

Kebajikan rakyat akan terbela dengan kewujudan sistem politik yang adil, tadbir urus yang baik dan sistem penyampaian yang cekap.

Usaha-usaha mewujudkan sistem politik dan tadbir urus yang baik perlu dipergiatkan melalui tindakan-tindakan berikut:

- Menjadikan pentadbiran awam cekap, telus dan tulus.

- Menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.

- Melantik penjawat awam dan pemimpin kanan kerajaan dalam kalangan mereka yang terbukti bersih daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku moral.

Negara demokrasi yang stabil wujud apabila kerajaan dibentuk hasil daripada mandat rakyat dan institusi-institusi masyarakat sivil mempunyai ruang yang luas untuk berperanan aktif dalam memperkasakan masyarakat dan membangunkan negara.

Keabsahan politik pemerintah bergantung kepada keterbukaan ruang demokrasi, kesediaan pemerintah untuk bersikap responsif terhadap keluhan rakyat dan kemampuan pemerintah menjamin keselamatan dan keamanan dalam negara.

Bagi pihak kerajaan, mereka perlu sedar bahawa konsep ‘kerajaan mengetahui segalanya’ adalah salah.

Pihak kerajaan perlu mendapat kerjasama dan sokongan rakyat, masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.

Saya sebagai pemimpin masyarakat sivil pernah merasai idea dan keterlibatan diketepikan begitu sahaja semata-mata kerana saya tidak terbabit dalam politik kepartian. Natijahnya idea daripada pelbagai pihak tidak dapat direalisasikan kerana pemberi idea bukan ‘orang kita’.

Bagi pihak pembangkang pula, solusi dan idea yang bernas didambakan bagi penambahbaikan sesuatu program kerajaan. Tidak semua perkara perlu dibangkang ataupun dipolitikkan.

Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu memfokuskan isu pembangunan negara dalam tempoh parlimen ini. Bila datang PRU16, berpolitiklah secara matang.

Malaysia mampu bangun jika kita sama-sama dapat mengenepikan politik dalam gerak kerja kita.

Dalam masa sama, Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem politik dan undang-undang di Malaysia.

Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, memperakui status institusi-institusi Islam dan memberi kuasa kepada mahkamah-mahkamah syariah untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Kerajaan yang baru dipilih ini hendaklah mempertegaskan kesucian Islam dan menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dari aspek pendidikan dan dakwah pula, kerajaan perlu melaksana proses pembentukan peribadi dan jati diri Muslim yang baik perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan pendidikan Islam dan penerapan nilai-nilai Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca