PADA hari Khamis, 22 Disember, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. Seperti yang dibimbangkan oleh pelabur yang tahu sedikit... Klik di sini untuk terus membaca

PADA hari Khamis, 22 Disember, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Seperti yang dibimbangkan oleh pelabur yang tahu sedikit sebanyak mengenai ekonomi dan pasaran saham, kadar pulangan tahun ini hanya baik sedikit dari tahun lalu kerana ada bonus tambahan.

Ada tiga unsur dalam pulangan tahun ini iaitu agihan pulangan asas sebanyak 3.35 peratus, bonus 1.25 peratus dan bonus tambahan 0.50 peratus.

Bonus tambahan ini dihadkan kepada maksimum 30,000 unit yang pertama. Ini bermakna pulangan 2022 baik sedikit daripada 2021, itu pun sehingga 30,000 unit sahaja.

Untuk mudahkan kefahaman, kita ambil sebagai contoh pelabur yang ada 30,000 unit saham. Dalam bentuk agihan pulangan atau dividen, dia akan dapat RM1,005, bonus RM375 dan bonus tambahan RM150 bagi menjadikan jumlah kesemuanya RM1,530.

Malangnya tidak ramai pelabur yang ada pelaburan sebanyak itu.

Menurut ahli ekonomi dan penyelidik Dr Muhammed Abdul Khalid yang memetik perangkaan PNB, 76 peratus pelabur hanya ada purata sebanyak RM590 dalam akaun mereka. Ini bermakna mereka dapat RM30.08 saja.

Kalau kita bandingkan pula jumlah pembayaran sebanyak RM8.9 bilion dengan 10.6 juta pelabur yang layak, purata agihan hanya RM839.62 seorang.

Seperti yang telah saya sebut berulang kali, apa guna PNB mempunyai menara tinggi yang mencakar langit kalau agihan pendapatan kepada pelabur ‘ciput’.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ariffin Zakaria, membandingkan pulangan ASB dengan prestasi Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) yang negatif sebanyak 6.7 peratus hingga 21 Disember dan kadar faedah simpanan tetap Maybank sebanyak 2.27 peratus.

Baguslah kalau aset bawah pengurusan PNB bertambah dan prestasi ASB lebih baik daripada Bursa Malaysia dan simpanan tetap dengan bank.

Tetapi bagi majoriti bumiputera yang memilih untuk melabur dalam skim amanah kelolaan PNB, itulah pelaburan tunggal yang mereka pilih dan yakini. Perbandingan tidaklah memberi erti yang besar kepada mereka.

Cuma, boleh jadi ada pelabur yang lebih berkemampuan dan faham selok-belok pelaburan yang telah memindahkan modal mereka dari pasaran saham dan simpanan tetap ke skim saham amanah tajaan PNB sebagai perlindungan.

Oleh sebab itulah saya tidak putus-putus menulis dan memperingatkan pengurusan PNB sejak saya membuat liputan pelancaran ASB oleh Almarhum Tun Hussein Onn pada tahun 1981 dan meninjau penjualannya di Batu Pahat dan Pontian, Johor, pada hari berikutnya.

Sebagai wartawan yang menulis mengenai ekonomi dan pelabur dalam skim saham PNB, saya amat mengambil berat dan peduli mengenai perjalanan dan prestasinya.

Atas sebab itu jugalah saya mempersoalkan kebijaksanaan dan keperluan membangunkan Menara Merdeka 118.

Ini bukan alang kepalang punya pelaburan. Menurut laporan media massa, kos pembinaannya adalah antara RM6 bilion dan RM7 bilion.

Persoalannya, apa guna membelanjakan begitu banyak wang membina menara tertinggi di Malaysia kalau tidak menjamin keuntungan?

Takkanlah pembinaan menara pencucuk langit itu hanya untuk berbangga-bangga dan bagi keselesaan eksekutif PNB sahaja?

Matlamat PNB adalah menambah penyertaan bumiputera dalam sektor swasta dan mengagihkan faedahnya melalui skim saham amanah.

Lagi pun, keputusan membina menara tersebut dibuat ketika pulangan ASB telah pun mula mengalami kemerosotan dan pasaran hartanah sedang mengalami masalah lebihan bekalan yang teruk. Kita jangan lupa yang ASB pernah isytihar dividen lebih 10 peratus.

Atas alasan-alasan yang disebutkan itu, boleh jadi ada baiknya kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya audit forensik dilakukan ke atas projek bilion ringgit ini untuk mengetahui kebolehuntungan dan kelestariannya.

Pelabur skim amanah PNB daripada pelbagai bangsa tentu ingin tahu keuntungan yang telah dan akan dijana oleh projek raksasa tersebut.

Bukan apa, tapi kerana sudah banyak projek macam itu yang menjadi gajah putih.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca