JUMAAT lepas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mengejutkan negara dengan mencadangkan agar pengguna membuat pilihan yang lebih anjal termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini. Ini bagi mengelakkan peniaga berterusan menawarkan harga yang tidak masuk akal.
Dalam sidang media mengumumkan penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022 itu, Rafizi memaklumkan bahawa salah satu kategori perbelanjaan yang paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol.
Beliau berkata, ketika ini biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar pada harga yang ditawarkan oleh pembekal.
Cadangan ini bukanlah luar biasa mahu pun merupakan formula mengejutkan yang diharapkan oleh rakyat kepada Rafizi.
Sejak Ibn Tamiyyah menulis mengenai konsep penawaran dan permintaan pada kurun ke-14, hubungan harga dengan pengeluaran dan nafsu pengguna telah menjadi satu perbincangan yang luas dan berkembang dengan pelbagai lagi teori ekonomi.
Dalam perkembangan teori ekonomi kemudiannya didapati walaupun penawaran dan permintaan memainkan peranan dalam penentuan harga, terdapat juga perkara lain yang turut mempengaruhi harga barangan seperti kos bahan mentah, pekerja, tenaga, pengangkutan dan lain-lain lagi.
Dalam konteks inilah sebebas mana pun pasaran ekonomi sesebuah negara, proses campur tangan kerajaan penting dalam menjaga kebajikan rakyat.
Sebab itu sejak dahulu kerajaan berusaha membuat pelbagai polisi seperti subsidi, penetapan harga siling, liberalisasi import barangan pengguna dan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan.
Apa yang mengejutkan negara ialah Rafizi telah memberi pandangan agar rakyat kurang makan ayam.
Katanya, bercakap mengenai tidak cukup ayam, sewajarnya kalau harga ayam itu dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan.
Sudah tentu kenyataan ini seperti ini mengundang troll atau kecaman dalam kalangan netizen yang suatu masa lalu melihat Rafizi seorang yang mampu memberi idea dan formula lebih baik bagi mengatasi beban inflasi rakyat.
Rafizi juga suatu masa dahulu aktif menyindir menteri yang memberi cadangan serupa itu.
Kini dari kenyataan Rafizi telah muncul pelbagai troll seperti, ‘jika mas kahwin mahal, jangan kahwin’, ‘jika air tiada, jangan minum air’ dan lain-lain lagi.
Kapsul video kempen beliau untuk menurunkan harga petrol kepada RM1.50 seliter juga kini kembali berlegar dan bakal menghantui beliau.
Jika dahulu pemimpin Pakatan Harapan mengecam menteri yang mencadangkan idea sama, kini mereka mengulangi idea sama.
Bagi Rafizi sendiri - sebagai pemimpin politik yang naik dengan mengkritik dan menghasut rakyat untuk mempercayai bahawa pemimpin politik lain sebagai kurang pandai - beliau kini akan berhadapan pemantauan dan penelitian teliti daripada rakyat.
Dalam zaman internet tidak pernah lupa, cadangan-cadangan Rafizi sebelum menjadi menteri pasti akan kembali menghantuinya sepanjang tahun hadapan.
Sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi sepatutnya meninggalkan isu harga barangan kepada kementerian berkaitan dan menumpukan kepada polisi-polisi ekonomi yang bersifat lebih makro dan menyeluruh.
Beliau harus berfikir bagaimana untuk memastikan momentum pemulihan ekonomi negara sepanjang tahun ini tidak akan berhadapan kekangan dan halangan pada tahun hadapan.
Dengan perkembangan ekonomi negara berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dan kadar pengangguran pada 3.7 peratus, kerajaan akan berhadapan banyak kritikan jika gagal meneruskan momentum ini.
Rafizi bukan pemimpin baharu dalam politik negara. Beliau telah menjadi ikon ekonomi Pakatan Harapan sejak sedekad lalu. Sudah tentu beliau ada formula melaksanakan apa yang diucapkannya secara konsisten sejak bertahun-tahun lamanya.
Kita berharap dalam masa beberapa bulan lagi akan ada pengumuman yang akan memperlihatkan daya usaha kerajaan memacu ekonomi negara dengan lebih baik seperti mana yang diuar-uarkan.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca