SHAH ALAM - Pakar menjangkakan kadar pulangan agihan pendapatan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan terus kekal sekitar lima peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, bagaimanapun masih ada lagi potensi untuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan dividen ASB yang kompetitif biarpun Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) menjangkakan pertumbuhan ekonomi global akan perlahan.
"Saya menjangkakan kadar pulangan masih lagi sekitar lima peratus dalam dua tahun ini dan dividen tidak akan meningkat dengan ketara.
"Ini kerana pelaburan ASB berbentuk jangka masa panjang namun saya yakin apabila ekonomi kembali pulih, PNB mampu mengumumkan kadar dividen ASB sehingga mencecah lapan peratus,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada 22 Disember lalu, ASNB mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Anak syarikat milik PNB itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB dan jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.
Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 0.50 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.
Ahmed Razman menambah, ASB kekal sebagai pelaburan paling menguntungkan serta terjamin dan keuntungan melabur bergantung kepada selera risiko pelabur yang agresif atau pasif.
"Bagi pelabur pasif yang tidak mahu berfikir selepas melaburkan duit mereka, ASB pilihan yang tepat kerana ia tidak pernah mengecewakan dalam memberi pulangan melebihi apa yang kita boleh dapat jika melabur dalam simpanan tetap.
Namun katanya, segelintir pelabur baharu yang mengambil skim pinjaman daripada bank untuk membeli unit amanah ASB dengan jumlah yang banyak dan membayar balik menerusi dividen adalah tindakan yang tidak tepat pada masa sekarang.
"Ramai yang berada di dalam dilema sama ada mereka patut melabur di ASB atau tidak kerana pulangan tidak setimpal apabila faedah lebih meningkat dan kadar dividen menurun.
"Tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh mereka adalah dengan melabur di dalam ASB melalui lebihan pendapatan dan tidak melalui pinjaman.
"Ini kerana kadar dividen dijangka kekal rendah sekitar lima peratus dalam dua tahun ini dan dengan jangkaan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahun hadapan, melabur di dalam ASB adalah lebih baik melalui lebihan pendapatan daripada meminjam untuk melabur kerana ia dijamin oleh kerajaan dan tidak akan mendatangkan risiko hilang pelaburan,” katanya.
Tambahnya, dividen dapat dikembangkan melalui pelaburan yang diperuntukkan di luar negara namun perlu ada keseimbangan supaya ia tidak menjejaskan agenda nasional PNB dalam membantu pelaburan tempatan.
"Dividen dapat dikembangkan bergantung kepada prestasi ekonomi tempatan dan juga global. Antara strategi yang boleh diguna pakai adalah meluaskan atau meningkatkan peratusan pelaburan di luar negara yang pada masa kini sekitar lapan peratus dari jumlah pelaburan keseluruhan.
"Pelaburan di luar negara juga dapat meningkatkan peluang untuk melabur di dalam aset yang akan memberikan nilai pulangan pelaburan yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, prestasi domestik ekonomi yang baik serta kadar pertumbuhan yang memberangsangkan telah menggalakkan lebih banyak pulangan kepada pelaburan tahun ini.
"Dari segi sektor luar, pasaran asing menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selepas pemulihan Covid-19.
"Dengan perkembangan ini, pulangan kepada pelaburan lebih menggalakkan dan ASB mampu memberikan dividen yang lebih baik,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, pelabur boleh menjangkakan pulangan yang lebih rendah pada tahun 2023 di mana pertumbuhan global akan mengalami keadaan yang sukar dan kritikal di seluruh negara.
"Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kita amat mencabar tahun hadapan kerana ekonomi besar dunia dijangka meleset. Keadaan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan China juga akan menjadi kritikal.
"Ekonomi Malaysia pula dijangka berkembang kira-kira 4.3 sehingga 4.5 peratus dan kebanyakan industri mungkin tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik. Jadi kita boleh menjangkakan pulangan yang lebih rendah pada tahun hadapan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca