KEKALAHAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan bermakna bahawa kepimpinan UMNO sudah berakhir dan mati terutamanya di mata orang Melayu.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan orang ramai diyakini bakal kembali kepada parti itu dan percaya pemimpin-pemimpin parti akan berjuang membangkitkan semula UMNO.
Tajuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak turut menegaskan bahawa pimpinan UMNO akan berusaha memperbetulkan segala kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan orang ramai terutamanya ahli sendiri membuang undi kepada parti lain.
Ikut wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, MUKHRIZ MAT HUSIN bersama Tajuddin yang menyentuh mengenai kebangkitan UMNO dan isu-isu politik semasa.
SINAR AHAD: Digugurkan sebagai calon Pasir Salak pada PRU15 setelah menyandang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal, Datuk Seri pernah sifatkan ia 'ibarat perkahwinan yang diatur'. Mengapa ketika itu Datuk Seri tidak mengambil tindakan untuk mempertahankan Pasir Salak atas tiket parti lain sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim? Mengapa kekal setia bersama UMNO?
TAJUDDIN: Saya ini dah lama dengan UMNO. Masuk UMNO pada tahun 1975, sejak saya berumur 25 tahun. Daripada muda sampai ke tua dan banyak jasa UMNO kepada saya. Daripada kecil hingga ke sekolah, masuk universiti, mendapat pekerjaan, kemudian mendapat peluang menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Banyak sungguh jasa, dan daripada situ saya dapat membina satu keluarga. UMNO menjadi tempat di mana saya berusaha dan mendapatkan rezeki daripada ALLAH SWT. Jadi besar sungguh jasa UMNO kepada saya.
Takkan saya nak tinggalkan UMNO hanya kerana ada masalah saya tidak dicalonkan (dalam PRU15). Saya pernah mendapat tawaran. Bila nama saya tidak naik, saya ditawarkan oleh Pas untuk menyertai dan menjadi calon Perikatan Nasional (PN), tetapi saya tolak. Saya tidak terima macam orang lain yang tinggalkan UMNO, sertai PN dan sebagainya. Itu hak mereka. Bagi saya, bukan satu pilihan yang baik dan elok untuk saya yang banyak menerima jasa UMNO. Bukan sahaja saya, malah keluarga. Jadi saya tolak tawaran itu. Kalau saya terima, saya calon PN, menang dah.
Bukan hendak mendabik dada, tetapi apabila saya tidak menjadi calon. Banyak orang yang sedih, sebak dan ada yang marah. Tetapi saya tetap sokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Saya beritahu rakan-rakan, sahabat dan orang ramai yang mengenali saya dengan begitu lama, saya kata kita mesti sokong UMNO walau apa pun. Jadi sebagai bukti, berkempen pergi ke cawangan-cawangan pusat daerah membuang undi, jumpa semua jentera berikan mereka semangat untuk terus berjuang dan bagi parti menang. Itulah komitmen, kesungguhan dan keikhlasan saya kepada parti.
Datuk Seri telah digugurkan sebagai pengarah pilihan raya UMNO, kemudian digugurkan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kemudian digugur daripada menjadi calon Parlimen Pasir Salak. Apa komen Datuk Seri?
Saya masih setia dan bersama dengan UMNO. Walau bagaimanapun pahit malu yang saya lalui, dalam masa tempoh empat tahun terutamanya itu, itu saat ‘calar balar’ saya.
Digugurkan daripada syarikat Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) tanpa apa-apa sebab. Ia satu fitnah yang dibawa oleh orang tertentu tetapi itu daripada pihak parti lawan. Tuduh saya kata ambil duit Prasarana RM80 juta. Tidak ada. Tetapi buat kes sampai saya digugurkan, tidak ada pembelaan. Dan dilucutkan daripada jawatan Pengerusi, tidak ada pampasan. Cuma saya buat kenyataan dan berkata secara bergurau bahawa 'ini dua tren bercium iaitu bertembung antara satu sama lain'. Sudah ada warga siber menghentam kata saya tidak ada simpati.
Jadi, saya dibuang daripada Prasarana, kemudian diheret dengan kes salah guna kuasa. Tetapi alhamdulillah saya tidak membuat apa-apa yang tidak betul, tidak ada kes. Namun teruk saya pada ketika itu, dengan tekanan emosi dan sebagainya. Orang ‘bercakap’.
Selepas itu, masa saya dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya, saya buat yang terbaik. Pergi tiap-tiap kawasan Parlimen. Dalam tempoh singkat itu, saya berjaya pergi lebih daripada separuh, jumpa dengan semua jentera. Saya mainkan peranan yang sebaik mungkin, tunjuk ajar, bagi peringatan dan nasihat. Siap bagi duit lagi. Saya berkorban sampai macam itu sekali.
Saya dah tahu dah daripada 60 kawasan Parlimen yang saya lawati pada masa itu, saya dah tahu bagaimana kedudukan kita. Bersedia dalam pilihan raya atau tidak? Boleh menang atau tidak kalau buat pilihan raya cepat? Saya sudah tahu.
Sebab itu dalam satu audio (perbualan) Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tertinggi yang tersebar itu, saya kata kita belum bersedia. Daripada maklumat yang saya terima, kita belum bersedia. Tiba-tiba saya dipecat daripada jawatan itu. Diberi kepada Timbalan Presiden. Kononnya Timbalan Presiden gagah perkasa, boleh memimpin jentera pilihan raya UMNO dan menang besar. Itulah anggapannya apabila ditukar daripada saya yang marhaen ini. Tetapi masa menentukan keputusan itu betul atau tidak betul. Hanya tinggal 30 kerusi sahaja yang kita menang.
‘Calar balar’ dan saya dikecam teruk, namun saya tetap bersama dengan UMNO. Saya bersuara lantang dalam isu-isu yang saya fikir penting untuk parti membuat keputusan yang betul. Tetapi mungkin suara saya itu dianggap tidak betul.
Lagi satu, lantikan saya sebagai Duta pun tidak jadi. Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pihak sini sudah setuju. Sudah panggil ‘rehearsal’ semua dan tarikh untuk mendapatkan watikah sudah ditetapkan. Dua tiga hari sebelum itu, nama saya digugurkan daripada calon Duta mewakili Malaysia di Indonesia. Tidak ada yang bersuara pun. Saya kena teruk. Itu yang saya terima, tidak ada seorang yang bela pun.
Yang saya tahu ada orang sabotaj. Namun saya tidak sebut mengenai hal ini, saya akur sahaja. Adalah unsur-unsur saya malas nak bercerita. Saya sudah tahu siapa orangnya. Satu Indonesia dan dunia tahu, bahawa Datuk Seri Tajuddin telah digugurkan daripada calon Duta ke Indonesia. Ada ke saya buat komen respons, marah atau mengamuk. Tidak ada. Saya cuma sebut akur dengan keputusan kerajaan. Saya ‘play down’ (perlahankan) isu itu.
Datuk Seri, rakyat mahu lihat UMNO baharu yang melahirkan pemimpin berintegriti dan boleh dipercayai, tapi ia seperti mustahil direalisasi. Pandangan Datuk Seri pula bagaimana?
Kenapa mustahil? Ada yang berintegriti, ada yang berkebolehan. Tidak boleh kata semua orang muda atau orang baharu tidak berintegriti. Orang lama pun ramai yang tidak ada integriti. Ini bukan soal baru atau lama. Ini soal individu itu. Kita nak tahu hati perut, komitmen dan keikhlasan dia. Adakah dia masuk dalam UMNO ini untuk berjuang demi parti, rakyat, agama, bangsa dan tanah air? Ataupun dia masuk dalam UMNO untuk cari peluang nak dapatkan jawatan?
Kalau ada orang seperti ini (yang mahukan jawatan), parti tidak akan pulih. Yang ke hadapan ini, saya harap pucuk kepimpinan akan membuat pilihan yang tepat. Saya dah lama tengok ramai yang mengejar jawatan sahaja. Nak (dapat) yang berkorban dan berjuang demi parti ini memang payah nak dapat. Itu sebabnya kita ketinggalan.
Saya malas nak bercakap. Banyak main daripada serius. Manakala wakil rakyat bangsa lain serius. Kita mesyuarat sana sini, persidangan, pergi lawatan luar dan dalam negara. Habis macam itu sahaja. Jadi kena cari mereka yang betul-betul ikhlas berjuang. Itu pandangan saya, tidak boleh pukul rata bahawa itu adalah mustahil.
Perjuangan baru yang dibawakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dulunya bermusuh dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang sudahpun jadi 'kawan'. Dulu melaungkan 'No Anwar, No DAP', tapi sekarang, 'rakyat perlu bersatu padu'. Apakah Datuk Seri melihat ini satu perkembangan politik yang sihat? Apakah ia mampu menjejaskan reputasi UMNO di masa depan?
Dalam politik tidak ada yang kekal. Orang berbaik boleh berpecah. Yang berseteru boleh menjadi kawan. Memang sebelum pilihan raya ini ‘No Anwar, No DAP’ sebab kita ingat UMNO ini dominan. Kita rasa UMNO ini boleh, tetapi keputusannya menunjukkan kita (sebaliknya), dapat 30 kerusi apa boleh buat. Baik, apa pilihan kita? Kita bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan ataupun duduk di luar sebagai pembangkang. Ini sahaja dua pilihan yang ada.
Ada yang kata elok masuk kerajaan, boleh dapat jawatan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan sebagainya. Boleh juga bantu UMNO dan rakyat. Tetapi ada yang kata kita jadi pembangkang akan lebih bermaruah. Ini dua pandangan dan pucuk pimpinan memilih yang nombor satu tadi. Jadi itu hak pucuk kepimpinan yang buat keputusan. Kita sebagai pengikut boleh beri pandangan sahaja, boleh tegur. Pandangan saya lagi keras, tetapi apa nak buat, saya tidak ada kuasa.
Sebagai pemimpin, hanya sebagai Ketua Bahagian, saya memperingatkan supaya hati-hati dengan DAP. Saya bukan marah DAP sebab mereka Cina dan sebagainya. Tetapi sebab polisi dan dasarnya yang bertentangan dengan kita. Itu yang menjadi masalahnya.
Hati-hati dengan jarum halus mereka, dulu mungkin sekarang mereka tidak tunjuk belang lagi. Dahulu selepas PRU14, mereka dah tunjuk belang, dan mereka dah buat silap. Tetapi jangan ambil mudah kerana bagi saya, mereka tetap dengan perjuangan mereka.
Tentang Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebagai 'otai' UMNO, bagaimana Datuk Seri melihat gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN ini? Apakah ia serasi dan mampukah agaknya ia bertahan selama lima tahun?
Kalau betul yang dibawa, maka boleh lah bertahan. Kita kena tengok bagaimana cara dia bawa. Kalau masa Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan PH, itu tidak boleh bertahan. Sebab pembawaan tidak betul. Pokoknya, mereka ambil sikap yang seolah-olah hendak menindas orang Melayu. Jadi lama-kelamaan sokongan mereka hilang. Kali ini kerajaan di bawah pimpinan Anwar, macam mana? Boleh ke dia (Anwar) kawal? Yang bukan Melayu daripada PKR dan DAP.
Kalau mereka tanya UMNO, saya percaya pada UMNO keseluruhannya, termasuk yang tidak duduk di dalam kerajaan, kita mengawasi dan memerhati, kalau sekiranya DAP melebih-lebih, tidak terkawal, kita tidak teragak-agak dan mendesak supaya BN keluar daripada kerajaan. Saya rasa pimpinan di atas pun sedar bahawa mereka kena kawal tindak-tanduk DAP.
Kerajaan di bawah pimpinan Anwar pun, kena lihat dia tidak boleh kawal atau sebaliknya. Nampaknya dia beri keyakinan mengatakan bahawa dia boleh kawal, tetapi apapun masa yang akan menentukan. Bagi dia (Anwar) peluang, 100 hari, satu tahun atau dua tahun kita tengok apa yang dia buat.
Kita tidak ada masalah siapa yang jadi Perdana Menteri, tetapi pokoknya mesti membawa kebaikan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum. Tidak ada penindasan antara satu sama lain, selagi nasib setiap kaum diperjuangkan dan dibela, itu tidak apa. Tetapi kita nak lihat keberhasilan kepimpinan itu.
Datuk Seri, apa yang telah terjadi dengan Muafakat Nasional (MN)? Datuk Seri dulu adalah pengasas MN dan pernah akui orang Melayu Bersatu sebab MN. Adakah Datuk Seri kecewa kerjasama ini tidak menjadi selepas Pas mahu menyertai Bersatu dan kini mereka berada di blok pembangkang. Komen Datuk Seri?
Nak kata tidak kecewa itu tidak. Kecewa sangat-sangat pun tidak. Sebab saya masih menaruh harapan (pada MN) pada suatu ketika. Kerana kalau tidak ada penyatuan orang Melayu ini, seperti mana yang kita lakukan untuk MN, susah untuk kita bangkit. Apa yang berlaku, ambil sebagai iktibar dan pengajaran. Bila kita mulakan dulu, ia mendapat sambutan yang baik, dan kita dapat membentuk satu blok politik, orang Melayu Islam yang kuat.
Keputusan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) menunjukkan kita menang. Menunjukkan kita sudah ada kekuatan dari segi politik orang Melayu Islam. Harapan kita supaya kerjasama itu berterusan sehingga PRU dan mengikut perkiraan sekiranya kita bersatu, Pas dan UMNO, kita boleh menang banyak kerusi. Tetapi tidak tahu macam mana pengurusan perbincangan, kita bergaduh akhirnya bercerai.
Kadang-kadang sedih juga sebab bukan senang nak memulakan kebangkitan orang Melayu Islam, gabungan antara Pas dan UMNO ini bukannya senang. Masa orang Melayu tengah ‘down’ (kecewa) bila kalah PRU14 dulu. Tetapi nak buat macam mana, sebab saya pemimpin kecil. Nak menentukan supaya jangan bergaduh dan sebagainya, saya tidak ada kuasa. Bagi nasihat dan teguran, mereka dengar sahaja. Tetapi mereka tidak ambil berat sangat.
Kita terlalu yakin untuk tidak mahu bekerjasama, masuk sendiri, solo (dalam pilihan raya) sahaja. Tengok apa jadi. Amat sayang sekali. Kalau tidak, hari ini saya rasa kalau (UMNO masih) dengan Pas, UMNO akan jadi Perdana Menteri.
Pandangan Datuk Seri tentang Bajet Mini 2023 yang dibentangkan PM semalam?
Okay. Kita sokong sahaja. Kalau tidak, pegawai kerajaan tidak akan dapat gaji. Bajet sebenarnya nanti pada tahun 2023. Itu baru banyak inti pati dan kita akan tengok nanti.
Apa yang Datuk Seri harapkan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan?
Tentunya kerajaan hendaklah berusaha mengatasi masalah rakyat. Sekarang masalah rakyat semua kita tahu.
Misalnya masalah petani, Anwar suruh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bayar RM10 juta tahun ini dan RM50 juta untuk tahun depan. Ingat boleh selesai ke masalah petani dengan Syed Mokhtar dengan bayar RM10 juta dan RM50 juta itu.
Memang lah orang tengok bagus, (dan tunjuk) Perdana Menteri lebih mengutamakan orang miskin dan petani daripada orang kaya seperti Syed Mokhtar. Inilah apa yang saya gelar sebagai ‘populist movement’ (tindakan populis).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kata Bersatu sekarang sudah menggantikan UMNO di mata orang Melayu. Apa komen?
Itu kata dia. (Walaupun) sekarang ini dah bentuk kerajaan dan UMNO kalah banyak kerusi, itu bukan bermakna UMNO dah mati. Kita ada 3.5 juta ahli. Sama macam saya, tetap UMNO. Cuma mereka marah. Tindakan mereka mengundi parti lawan kerana marah pada UMNO. Bukan pada UMNO keseluruhan tetapi pada beberapa isu pasal UMNO. Tetapi mereka masih sayang pada UMNO.
Mungkin mereka akan balik pada kita. Jangan anggap bahawa UMNO sudah habis dah mati. Kita akan perbetulkan apa-apa kesilapan dan kesalahan yang menyebabkan ahli sendiri undi parti lain.
Bagaimana pula dengan barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik Anwar? Ada dalam kalangan menteri dan timbalan dilantik dilihat terlalu mentah untuk menggalas tugas berat ini sedangkan mereka masih belum teruji sebagai ahli parlimen. Pandangan Datuk Seri?
Bagilah peluang untuk mereka ‘masak’. Mereka ini jadi wakil rakyat, dilantik untuk menjadi menteri. Jadi sudah ada asas-asasnya. Tetapi mungkin sesetengah itu tidak ada pengalaman, kena bagilah masa. Cumanya masa yang diberi tidak boleh lama-lama kerana ada banyak masalah negara yang harus dipikul dan diselesaikan. Nak tunggu sampai empat tahun, itu tidak bolehlah.
Mereka kena tunjukkan dalam masa lima atau enam bulan, mereka sudah boleh menguasai permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan boleh selesaikannya. Ini juga termasuk Anwar sendiri sebagai Perdana Menteri. Cakap bermacam-macam menunjukkan iltizam dan kesungguhannya. Tetapi berjaya atau tidak, itu kena beri masa.
Buat sementara ini, dalam dua atau tiga bulan ini, yang senior-senior dan yang berpengalaman kena membimbing serta mengajar orang-orang baharu ini. Kalau tidak diajar dan diberi peluang, sampai bila pun kita tidak akan melihat tokoh-tokoh baharu.
Sebagai seorang bekas ahli Parlimen yang dihormati dan lantang ketika berbahas, apa pandangan Datuk Seri tentang kekecohan dalam Parlimen yang berlaku di antara blok kerajaan dan pembangkang beberapa hari lepas?
Dalam dewan ini memang ada macam-macam orang. Yang dah lama sedikit, dia dah ‘sober’ (ada kesedaran). Orang baharu ini masyarakat belum terkenal, dia nak bagi diri dia terkenal. Jadi, kena cakap lebih sedikit. Suara kena kuat sedikit, kalau tidak orang tidak kenal. Lepas ini kena tunjuk pada bos. Tengok macam (Ahli Parlimen) Hulu Langat. Menyampah tengok. Orang kalau lantang (bersuara), berhujahlah. Ini menyampuk. Lebih kurang sama macam perangai Ahli Parlimen Jelutong juga. Buat malu orang sahaja. Apa diperkatakan pun tidak tahu.
Dalam tempoh empat tahun, beliau berdepan beberapa pengguguran jawatan termasuk sebagai pengarah pilihan raya UMNO, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, calon Duta Malaysia di Indonesia malah ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.
Semua hal yang terjadi menyebabkan hati bekas Ahli Parlimen Pasir Salak ini 'calar-balar'.
Namun biar apa pun berlaku, tekadnya hanya satu, beliau dan UMNO tidak mungkin dapat dipisahkan.
Saksikan Wawancara Eksklusif bersama Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di semua platform digital Sinar Harian pada Ahad, 25 Disember 2022 jam 2 petang.
BACA ARTIKEL BERKAITAN DI: https://bit.ly/3hOkCNL
Muzik: Still Water by Roie Shpigler dari https://www.artlist.io/
(Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.)
#WawancaraEksklusif #SinarHarian #PasirSalak #TajuddinAbdulRahman #UMNO" />