SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta majikan melaksanakan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini secara telus. Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ketelusan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta majikan melaksanakan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini secara telus.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ketelusan dalam menguatkuasakan pindaan akta itu akan turut memberi manfaat kepada majikan sendiri kerana ia akan meningkatkan produktiviti pekerja seterusnya meningkatkan pendapatan majikan.

"Secara keseluruhannya penguatkuasaan pindaan akta ini akan menambah baik skop kebajikan dan perlindungan kepada pekerja tetapi ia bukan hanya memberi faedah kepada pekerja tetapi kepada majikan dan juga negara.

"Ia akan mewujudkan situasi menang-menang antara mereka selain akan menarik minat lebih ramai rakyat untuk bekerja sektor swasta sekali gus mengatasi masalah kekurangan pekerja yang dialami ramai majikan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada 26 Ogos lalu, Menteri Sumber Manusia ketika itu Datuk Seri M Saravanan mengumumkan penangguhan penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya berkuat kuasa 1 September 2022 kepada 1 Januari 2023.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam, aturan kerja fleksibel untuk pekerja, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari dan penetapan cuti paterniti tujuh hari.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy menjelaskan, pemendekkan waktu kerja kepada 45 jam seminggu dan aturan kerja fleksibel akan memberi impak secara terus dalam peningkatan produktiviti pekerja.

"Pengurangan waktu kerja mingguan ini juga ke arah positif untuk negara berubah mengikut standard waktu kerja antarabangsa iaitu 40 jam seminggu. Dengan pengurangan waktu kerja ini juga ia dapat membantu pekerja mengurangkan stress di tempat kerja dan meningkatkan kualiti serta gaya hidup mereka," ujarnya.

Mohd Effendy menambah, gaping gaji RM2,000 yang dinaikkan kepada RM4,000 menerusi pindaan jadual pertama akta tersebut akan meningkatkan pendapatan pekerja B40.

Beliau memberitahu, terdapat lima elemen yang termaktub dalam tangga gaji RM4,000 bawah iaitu mereka layak mendapat bayaran kerja lebih masa, kerja pada hari rehat, kerja pada cuti am, elaun syif dan faedah penamatan kerja.

Sehubungan itu, Mohd Effendy berharap kerajaan dapat melakukan pemantauan untuk mengelakkan ada majikan yang culas dan tidak menguatkuasakan pindaan Akta Kerja 1955 berkenaan.

Tegas beliau, mana-mana pekerja yang mendapati majikan mereka tidak menguatkuasakan pindaan terbabit juga perlu membuat aduan kepada pihak kerajaan supaya tindakan dapat diambil.

MEF minta kerajaan pertimbangkan semula pelaksanaan

Sementara itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ketika ini rata-rata majikan masih bergelut dengan masalah kewangan susulan terkesan teruk akibat Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak lebih dua tahun lalu itu.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu memberi lebih masa untuk majikan memulihkan kembali perniagaan sebelum pindaan ini dilaksanakan.

"MEF berpandangan bahawa terdapat terlalu banyak perubahan berlaku yang mempengaruhi perniagaan dalam tempoh mencabar ini.

Jadi, kita merayu kepada kerajaan untuk memberi lebih banyak masa kepada majikan untuk mempersiapkan diri mereka kepada keperluan baharu.

"Sekarang ini masa untuk memberi ruang kepada perniagaan yang bernafas semula selepas melalui pelbagai tekanan disebabkan Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara dasarnya MEF menyokong perubahan yang ingin dilaksanakan tetapi sekarang bukan masa yang sesuai kerana ia pasti menyebabkan berlakunya peningkatan kepada kos perniagaan,"katanya.

Sementara itu, Syed Hussain dalam masa sama berkata, 2023 diramalkan situasi ekonomi global akan mencabar dan tekanan sama juga akan dialami Malaysia.

Melaksanakan pindaan akta ini pada 1 Januari ini akan menjadi beban yang besar kepada majikan terutamanya apabila ambang yang layak untuk tuntutan kerja lebih masa dinaikkan kepada gaji RM 4,000 daripada RM2,000 semasa.

"Malah, sejak 1 Mei tahun ini lagi, majikan di seluruh negara terpaksa menanggung anggaran kos gaji tambahan sebanyak RM 14 bilion setahun apabila kadar gaji minimum disemak daripada RM 1100 - RM 1200 sebulan kepada RM 1,500 sebulan,"katanya.

AKTA KERJA (PINDAAN) 2022

PINDAAN UTAMA

- Pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu

- Penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari

- Cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari

- Larangan diskriminasi dalam pekerjaan

- Pembayaran upah melalui bank/cek dan tunai.

- Pengiraan gaji tidak lengkap bulan.

- Aturan kerja fleksibel.

- Larangan buruh paksa.

- Mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja.

- Tuntutan kerja lebih masa untuk gaji RM4,000 ke bawah.

- Kontraktor untuk buruh mesti mengadakan kontrak dengan prinsipal.

- Tempoh perantisan minimum 6 bulan dan maksimum 24 bulan

- Notis kesedaran gangguan seksual.

LIPUTAN AKTA KERJA

(PINDAAN 2022)

- Semua pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

TARIKH KUAT KUASA

- Akta Kerja (Pindaan 2022) berkuatkuasa 1 Januari 2023.

TUJUAN PINDAAN

- Meningkatkan dan menambahbaik perlindungan dan kebajikan pekerja di negara ini.

- Memastikan peruntukan undang - undang perburuhan di negara ini selaras dengan standard antarabangsa.

PERLUASAN SKOP PERLINDUNGAN

Semua pekerja sektor swasta yang memasuki kontrak perkhidmatan wajar dilindungi dan beroleh manfaat yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Klik di sini untuk terus membaca