SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Harian pada Isnin di Pasaraya Econsave sekitar Shah Alam mendapati, ayam dijual pada harga RM6.99 bagi satu kilogram (kg), lebih murah berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun, harga tersebut ditawarkan di cawangan pasar raya besar sahaja, manakala cawangan runcit ekspres pula menjual pada harga RM16.80 untuk ayam 1.6kg.
Pasar raya tersebut juga meletakkan had pembelian kepada tiga ekor ayam sahaja bagi setiap pelanggan.
Seorang penjual ayam yang ingin dikenali sebagai Jennie, 45, berkata, langkah itu berkemungkinan bagi mengawal bekalan ayam di pasar raya tersebut sekali gus memastikan semua pelanggan dapat membelinya secara sama rata.
"Berhubung bekalan pula, setakat ini pasar raya ini belum lagi mengalami masalah kekurangan stok ayam,” katanya.
Sementara itu, pekerja Econsave cawangan runcit di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, Azrie Nazrin, 30, berkata, tawaran harga barangan yang dijual bagi cawangan pasar raya adalah berbeza dengan harga di cawangan runcit.
"Harga ayam di sini dijual RM16.80 bagi 1.6kg. Itu harga untuk cawangan (runcit) ekspres, manakala untuk cawangan pasar raya harganya lain.
Pekerja Econsave cawangan runcit di Hicom Industrial Estate, Syazwani Hamidun, 18, pula berkata, stok bekalan ayam sejuk beku hanya dijual bagi cawangan runcit Econsave di seluruh negara.
"Setakat ini, tiada masalah kekurangan stok ayam. Selalunya pengurusan akan cepat restock (isi semula) mana-mana bekalan yang kurang,” jelasnya.
Bekalan telur ayam tidak cukup
Sementara itu, bekalan semasa telur ayam yang diberikan oleh pembekal ketika ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang agak tinggi.
Seorang peniaga telur ayam di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, Faridah Yusof, 30, berkata, isu kekurangan bekalan telur telah berlarutan sejak tiga bulan lalu bermula pada Oktober tahun ini.
Bagaimanapun, ujar Faridah, harga telur ayam yang dibekalkan itu masih sama dan hal itu membolehkan pihaknya menjual pada harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Sebelum ini bekalan yang kita terima sebanyak 160 papan seminggu. Tapi sekarang pembekal cuma hantar dalam 50 papan sahaja,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Di Semenanjung, harga siling ditetapkan bagi telur Gred A ialah 45 sen, telur Gred B (43 sen); dan telur Gred C (41 sen).
Tambahnya, pembekal memaklumkan bahawa isu kekurangan bekalan telur antaranya disebabkan oleh tindakan peladang yang mengehadkan pengeluaran di samping penutupan banyak ladang di dalam negara.
Mengulas mengenai kesan pelaksanaan kemasukan telur import ke dalam pasaran tempatan, Faridah berkata, pihaknya masih tidak dapat maklumat dan perincian mengenai bekalan telur jenis itu.
"Kita masih tidak tahu berapa harga mereka nak berikan kepada kita dan berapa harga kita boleh jual,” ujarnya.
Jelas Faridah, dia lebih cenderung mengambil bekalan telur dari dalam negara untuk jualan berbanding import.
Pada 16 Disember lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dilaporkan mula menerima telur ayam dari India bagi menampung kekurangan bekalan dihadapi pasaran tempatan sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sebanyak 1.33 juta papan atau 39.78 juta biji telur ayam bakal diagihkan secara meluas ke seluruh negara.
Klik di sini untuk terus membaca