SHAH ALAM - Pekerja tempatan di negara ini rata-rata masih tidak jelas berhubung perincian pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang akan dilaksanakan bermula pada 1 Januari ini.
Menerusi tinjauan Sinar Harian pada Isnin, kebanyakan mereka tidak memahami secara jelas manfaat bakal diterima hasil penguatkuasaan pindaan akta tersebut.
Selepas memberi penerangan ringkas berkaitan pindaan akta tersebut, mereka yang ditemui menyambut baik pelaksanaannya dan mengakui ia boleh memberi kesan positif dalam usaha meningkatkan tahap kebajikan pekerja.
Antara yang menarik perhatian mereka ialah pengurangan tempoh waktu bekerja dari 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari dan kenaikan cuti paterniti untuk suami dari tiga kepada tujuh hari.
Ismatul Jannah, 19, yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi berharap agar semua majikan mematuhi pelaksanaan akta berkenaan termasuk mengurangkan tempoh waktu bekerja.
Bagi Herizal Amriz, 28, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta, pindaan akta tersebut mampu membela hak dan membantu meningkatkan kualiti hidup pekerja di dalam negara.
Menurutnya, langkah mengurangkan waktu bekerja menjadikan pekerja lebih efisien, memberi lebih masa untuk berehat dan mengurangkan pembaziran.
Nela Kamalia, 24, yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, pindaan tersebut amat memberi faedah kepada dirinya kerana ketika ini dia bekerja sehingga lewat malam.
"Macam saya, selalunya akan balik lewat malam. Jadi, saya berharap pindaan ini boleh mengurangkan masa saya bekerja dan dapat berehat secukupnya,” jelasnya.
Bagi Roshaida Mohamad Rasli, 40, pula, berdasarkan pengalamannya pernah mengandung ketika bekerja sebelum ini, lanjutan jumlah cuti bersalin diperuntukkan itu adalah tempoh yang amat ideal.
Katanya, ia bagi membolehkan seseorang wanita pulih sepenuhnya selepas bersalin untuk kembali bertugas.
"Untuk memastikan badan betul-betul kembali sihat sebelum masuk kerja, dua bulan sebenarnya memang tidak cukup. Itu belum ambil kira waktu diperlukan untuk menguruskan perkara lain seperti mencari pengasuh,” katanya yang sudah memiliki tiga orang anak.
Begitu juga bagi Hassan Nordin, 49, yang berpandangan pindaan itu mengambil kira kepentingan memelihara kebajikan pekerja.
Dia yang merupakan penjawat awam sehubungan itu berkata, majikan seharusnya menyambut baik pelaksanaan tersebut.
"Majikan perlu memahami dari segi keperluan untuk menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan. Kalau kebajikan pekerja terjaga, secara tidak langsung ia sebenarnya akan meningkatkan produktiviti pekerja,” ujarnya.
Sementara itu, Muhd Afif Zikry, 20, melihat pelaksanaan pindaan berkenaan secara langsung membolehkan pekerja di negara ini mendapat rehat secukupnya.
"Jumlah pengurangan waktu bekerja itu tidaklah begitu besar dan majikan tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca