PADA malam 18 Disember lalu, sebuah kapal tentera laut Thailand His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai yang berusia hampir 40 tahun telah karam ketika ribut akibat dipukul badai setinggi antara tiga hingga empat meter di kawasan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA malam 18 Disember lalu, sebuah kapal tentera laut Thailand His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai yang berusia hampir 40 tahun telah karam ketika ribut akibat dipukul badai setinggi antara tiga hingga empat meter di kawasan perairan Teluk Siam.

Air dikatakan telah memasuki bahagian hadapan kapal selama tiga jam seterusnya membanjiri kompartmen enjin dan sistem elektrik.

Ini menyebabkan sistem pam yang sepatutnya mengeluarkan air dari dalam kapal gagal berfungsi.

Ada percubaan untuk menurunkan pam air modular dari pesawat helikopter penyelamat ke geladak kapal malang itu, namun keadaan kapal tidak lagi stabil dan menyenget keterlaluan telah menggagalkan usaha tersebut.

Sehingga 24 Disember, 18 kelasi disahkan telah terbunuh manakala 11 pegawai masih hilang.

Terdapat banyak perkara yang dapat dijadikan iktibar kepada bukan sahaja Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tetapi juga kerajaan baru negara ini dari peristiwa tenggelamnya HTMS Sukhothai.

Paling lantang dan telah dilaungkan berulang kali oleh Panglima Tentera Laut ialah kebimbangan berkaitan armada TLDM yang semakin dimamah usia.

Dalam kenyataan terkini oleh Cawangan Komunikasi Strategik TLDM pasca insiden HTMS Sukhothai, perkara ini telah ditonjolkan sekali lagi dengan kepasrahan yang amat meruntun jiwa, khususnya kepada warga TLDM dan keluarga mereka.

Kenyataan itu menegaskan bahawa memandangkan 58 peratus daripada kapal-kapal TLDM berusia jauh lebih tua daripada HTMS Sukhothai, seluruh rakyat Malaysia diseru mendoakan agar perkara serupa tidak akan menimpa kapal-kapal TLDM.

"Tanpa apa-apa tindakan drastik dari kerajaan dalam menangani isu bajet pertahanan sekali gus isu keusangan aset-aset kita, masalah ini akan terus membelenggu TLDM untuk jangka waktu yang panjang,” tambah kenyataan itu lagi.

Mungkin pertanyaan bermain di fikiran rakyat marhaen berkaitan isu ini ialah apakah wujud kebobrokan dalam kefahaman peri pentingnya kesinambungan kemampuan aset TLDM oleh sebahagian pemegang taruh serta mereka yang berada di Parlimen.

Adalah tidak sukar untuk mendapatkan dokumen yang boleh diakses oleh semua, khususnya mereka yang telah dilantik untuk menerajui kementerian yang mempunyai kemampuan membantu mencorakkan arah hala tuju angkatan laut negara ke arah yang lebih positif dan dinamik.

Mungkin masa mereka yang terluang perlu lebih banyak dihabiskan untuk menelaah bahan bacaan berkaitan kenapa Malaysia yang merupakan sebuah negara maritim tulen perlukan sebuah angkatan laut mantap.

Salah satu dokumen wajib ditelaah oleh semua, khususnya yang duduk di kerusi empuk di menara Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak adalah sebuah buku kecil diterbitkan pada 2001 oleh TLDM.

Buku berjudul Doktrin Pertahanan Maritim setebal 159 muka surat ini berjaya menghuraikan secara terperinci hampir kesemua aspek yang perlu diketahui, difahami serta dilaksana dan wajib dijadikan sumber rujukan utama untuk kepentingan strategik, pembangunan doktrin, hala tuju, jenis aset, perolehan, kemampuan, pengurusan dan pembangunan sumber manusia sebuah angkatan laut mengikut acuan TLDM.

Malah buku kecil ini mungkin telah pun dapat ‘meramalkan’ kenapa kapal seperti HTMS Sukhothai bakal menghadapi kesukaran untuk belayar menempuh samudera apabila keadaan laut bergelora.

Dalam Bab 9 di bawah tajuk Kelengkapan umpamanya, TLDM memegang prinsip ‘kesesuaian untuk tugas’ dan mengelakkan daripada berlakunya ‘terlebih kelengkapan’ atau over equipped yang mungkin menyebabkan kapal mempunyai berat berlebihan daripada sepatutnya.

Selain kos berlebihan ia mampu mendedahkan geladak kepada kebanjiran air apabila ditelan ombak tinggi. Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai apakah yang sebenarnya punca kepada insiden, namun kerajaan perlu peka kepada gesaan yang berkali-kali disuarakan oleh kepimpinan tertinggi TLDM mengenai isu keusangan aset.

Jangan sudah terhantuk baru tengadah.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca