SHAH ALAM - Golongan majikan di negara ini dijangka berdepan kenaikan kos antara 15 hingga 20 peratus jika kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini. Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Golongan majikan di negara ini dijangka berdepan kenaikan kos antara 15 hingga 20 peratus jika kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, peningkatan tersebut akan menyebabkan kebanyakan pengusaha terpaksa melepaskan kos untuk diserap oleh pengguna, sekali gus harga barangan dijangka terus meningkat.

Beliau menjelaskan, kerajaan sepatutnya menguatkuasakan akta berkenaan secara berperingkat bagi memastikan golongan majikan lebih bersedia dalam menghadapi peningkatan kos yang mendadak.

"Kriteria yang digunakan kerajaan dalam pelaksanaan akta ini adalah untuk negara maju, sedangkan Malaysia ialah negara membangun.

"Kita juga kena lihat dari sudut kompetitif dalam kalangan negara ASEAN," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, negara-negara ASEAN yang lain, contohnya Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja tidak menggunakan kriteria yang sama, begitu juga di China dan India.

"Kita nak lawan dengan negara lain tetapi kerajaan memaksa peraturan yang tidak munasabah.

"Anggapan saya, tambahan kos gaji akan naik 15 sehingga 20 peratus. Jika Mydin membayar gaji sebanyak RM10 juta setiap bulan misalnya, ia akan menjadi RM11.5 juta,” katanya.

Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari ini akan melibatkan beberapa perubahan, antaranya waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam, cuti paterniti selama tujuh hari, aturan kerja fleksibel, cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari dan ambang tuntutan kerja lebih masa dinaikkan daripada gaji RM2,000 kepada RM4,000.

Tambah beliau, antara agenda utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk menurunkan kos sara hidup tetapi dengan perubahan yang dilakukan, ia sukar dicapai kerana kos tambahan yang ditanggung pengusaha terpaksa dilepaskan kepada pengguna.

"Kita baru nak bernafas selepas habis pandemik Covid-19 kerana kerugian yang banyak, namun dengan perubahan ini, harga barangan tentu akan naik dan bila ia berlaku, jangan marah kepada orang berniaga.

"Ini semua mengakibatkan kenaikan kos. Pada masa sekarang, bank juga sukar untuk membantu peniaga-peniaga SME. Kita terpaksa naikkan harga atau terus lingkup.

"Itu belum dikira jika tarif elektrik naik. Jika ia berlaku, keadaannya akan lebih teruk. Kita jangkakan harga barangan terus naik mendadak seluruh negara. Pada masa itu kerajaan nak buat macam mana? Ini masalah besar kepada peniaga sekarang,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, Mydin selaku pemain industri peruncitan menyarankan agar kerajaan melaksanakan perubahan secara berperingkat bagi mengelak kos sara hidup rakyat meningkat mendadak dan pada masa sama, majikan akan lebih bersedia.

Jelas beliau, mungkin pada peringkat permulaan, kerajaan boleh memulakannya dengan pelaksanaan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari terlebih dahulu untuk tahun pertama.

"Kalau ada yang belum bersedia, kerajaan boleh mulakan dengan buat 75 hari dahulu, jadi kosnya mungkin tidaklah terlalu terjejas.

"Tahun 2024 pula, kita mungkin boleh buat dengan kurangkan masa bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam. Selepas itu perlahan-lahan pelaksanaan ambang tuntutan kerja lebih masa dinaikkan daripada gaji RM2,000 kepada RM2,500. Naikkan RM500 setiap tahun.

"Saya tak minta kerajaan beri subsidi tetapi kerajaan seperti tidak berfikir panjang.

"Kita hanya diberi masa enam bulan sahaja, bukan enam tahun. Sepatutnya pindaan tersebut dibuat berperingkat, semua orang akan gembira,” kata beliau.

INFO

Kemungkinan situasi bakal dihadapi majikan

- Impak kepada pasaran kerja di Malaysia.

- Kenaikan harga barang dan caj perkhidmatan secara mendadak.

- Jejas penyertaan tenaga kerja wanita dalam sektor pekerjaan.

- Penurunan produktiviti syarikat.

- Pengecilan saiz operasi disebabkan peningkatan kos pentadbiran dan pengurusan.

- Banyak PKS yang terjejas dan terpaksa menutup operasi syarikat.

- Waktu penutupan operasi premis perniagaan lebih awal terutama dalam sektor peruncitan.

Klik di sini untuk terus membaca