SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi menjangkakan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini akan membawa impak terhadap pasaran kerja di dalam negara terutama melibatkan produktiviti serta penyertaan tenaga buruh wanita.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi menjangkakan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini akan membawa impak terhadap pasaran kerja di dalam negara terutama melibatkan produktiviti serta penyertaan tenaga buruh wanita.

Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, penurunan tahap produktiviti pekerja berkemungkinan melibatkan industri berintensifkan buruh yang kini mendominasi pasaran pekerjaan di Malaysia.

Beliau berkata, dua sektor dijangka menerima kesan langsung ekoran penguatkuasaan pindaan itu ialah pembuatan dan pertanian yang merupakan penyumbang kedua dan ketiga terbesar ekonomi negara.

Muhamad Zharif berkata, kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang lebih 60 peratus terhadap komposisi pekerja di dalam negara merupakan syarikat berintensifkan buruh.

Menurutnya, isu pengurangan produktiviti pekerja akibat pelaksanaan itu bagaimanapun boleh diatasi sekiranya syarikat meningkatkan penggunaan teknologi dalam operasi mereka.

Mengenai pengurangan penyertaan tenaga buruh wanita pula, Muhamad Zharif berkata, ia tidak mustahil berlaku kerana majikan pasti tidak akan mengambil wanita yang sudah berkahwin sebagai pekerja kerana perlu memberikan cuti bersalin yang lebih panjang.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu boleh diatasi sekiranya kerajaan menyediakan insentif kepada majikan bagi mematuhi pindaan tersebut.

"Sebagai contoh di Singapura, pemberian cuti bersalin agak panjang. Tapi kerajaan akan memberikan insentif dari segi pelepasan cukai atau subsidi kepada firma yang mematuhi akta berkaitan perkara itu.

"Langkah ini jika dilakukan di Malaysia, ia tidak akan mengganggu kadar penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berkata, kos operasi pengeluaran sesebuah syarikat akan meningkat disebabkan pelaksanaan pindaan akta tersebut.

Disebabkan itu, katanya, syarikat dijangka mengalihkan pertambahan kos kewangan itu kepada pengguna.

Namun, beliau berpandangan, situasi berkenaan dijangka tidak memberikan kesan terlalu signifikan terhadap kenaikan harga barangan.

"Bagi syarikat yang mengeluarkan produk untuk pasaran domestik, kos operasi mereka akan naik dan ini bakal menyumbang kepada kenaikan harga.

"Tetapi saya tidak melihat sektor makanan dan pengangkutan yang merupakan penyumbang terbesar kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) akan terganggu disebabkan pindaan akta itu,” ujarnya.

Kerajaan disaran beri subsidi gaji untuk cuti bersalin

Sementara itu, Persatuan majikan menyarankan agar kerajaan memberi subsidi gaji kepada pekerja yang cuti bersalin selepas Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula 1 Januari ini.

Pengarah Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), Mohamad Aidong berkata, subsidi dicadangkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada gaji pekerja terlibat, bagi membantu meringankan beban majikan berikutan penambahan cuti bersalin dari 60 kepada 98 hari.

"Dahulu, cuti bersalin ialah 45 hari sebelum bertambah kepada 60 hari. Bermula 1 Januari ini naik dengan drastik kepada 98 hari pula. Kalau naik secara perlahan-lahan, tidaklah membebankan majikan.

"Oleh itu, kami sangat berharap supaya tambahan cuti bersalin yang akan dikuatkuasakan nanti diberikan subsidi oleh kerajaan yang akan memanfaatkan pekerja-pekerja wanita ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohamad berkata, pindaan akta itu menuntut majikan mengeluarkan kos lebih tinggi untuk menggaji pekerja dalam keadaan kedudukan perniagaan masih belum stabil disebabkan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya selepas pandemik.

Secara dasar, katanya, majikan-majikan di negara ini amat berharap agar pelaksanaan pindaan akta itu ditangguhkan buat sementara waktu.

"Ekonomi negara masih tidak menentu menyebabkan kebanyakan majikan masih bergelut untuk menstabilkan semula bisnes masing-masing. Malah, dunia dijangka menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun depan.

"Macam mana majikan nak tambah peluang pekerjaan kalau begini. Jadi, kalau boleh kita minta kerajaan tangguhkan dulu pelaksanaan pindaan akta ini sehingga ekonomi negara benar-benar kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan subsidi tarif elektrik kepada semua industri.

"Subsidi elektrik tidak boleh diberikan kepada hanya syarikat-syarikat tertentu kerana dalam keadaan sekarang, subsidi ini akan dapat membantu syarikat-syarikat meneruskan survival perniagaan.

"Kalau subsidi elektrik tidak ada dan kos menggaji buruh pula semakin naik, semakin tinggilah kos operasi yang terpaksa ditanggung majikan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca