BEIJING - 'Jabatan perubatan kecemasan tidak pernah melihat situasi seperti ini sejak lebih tiga dekad lalu'. Kenyataan itu dikeluarkan Dr Howard Bernstein di Beijing United Family Hospital setelah peningkatan luar biasa pesakit... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - 'Jabatan perubatan kecemasan tidak pernah melihat situasi seperti ini sejak lebih tiga dekad lalu'.

Kenyataan itu dikeluarkan Dr Howard Bernstein di Beijing United Family Hospital setelah peningkatan luar biasa pesakit yang sebahagian besarnya adalah warga emas dengan gejala Covid-19 dan simptom pneumonia atau radang paru-paru.

Situasi dihadap Bernstein turut dialami kakitangan perubatan di seluruh negara selepas pemerintah China membuat pusingan U dengan menarik balik sekatan ketat Covid-19 yang membawa kepada gelombang baharu jangkitan yang berpunca daripada subvarian Omicron.

Ia adalah penularan terbesar sejak pandemik itu bermula di bandar Wuhan, tiga tahun lalu yang menyaksikan hospital kerajaan dan krematorium juga berdepan tekanan akibat lonjakan kes.

"Kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital tidak akan sembuh dalam tempoh sehari dua.

"Jumlah itu semakin bertambah hingga memberi tekanan besar kepada ER kerana mereka tidak boleh ditempatkan di wad biasa," jelasnya.

Menurutnya, situasi itu berubah apabila kakitangan perubatan kini perlu merawat pesakit Covid-19 berbanding bulan lalu yang merekodkan sifar kes golongan tersebut.

"Cabaran terbesar kami ialah kerana kami tidak bersedia untuk menghadapi keadaan seperti ini," ujarnya.

Pesakit Covid-19 terpaksa dirawat di lobi sebuah hospital kerajaan di bandar Chongqing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan di kemudahan swasta, Raffles Hospital di ibu kota, Sonia Jutard-Bourreau memaklumkan jumlah pesakit kini meningkat lima hingga enam kali ganda berbanding tahap normal.

"Majoriti pesakit adalah mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan pertambahan kes melibatkan golongan itu melonjak dalam tempoh seminggu.

"Mereka mempunyai profil yang sama iaitu tidak pernah mengambil vaksin," katanya sambil menambah pesakit terpaksa menerima rawatan di hospital swasta berkenaan kerana kemudahan kerajaan tidak lagi dapat menampung kemasukan golongan tersebut.

Pasukan perubatan turut menyuarakan kebimbangan terhadap warga emas di negara itu berikutan gelombang jangkitan luar biasa tersebut dijangka meragut puluhan ribu nyawa golongan berkenaan.

Data firma kesihatan, Airfinity berpusat di Britain menganggarkan lebih 5,000 kematian akibat Covid-19 mungkin direkodkan pada setiap hari di China.

Sehingga Ahad, sifar kematian dilaporkan di Beijing selepas pemerintah kini mengecilkan takrif untuk mengklasifikasikan kematian berkaitan Covid-19 dengan hanya merekodkan angka korban yang disebabkan radang paru-paru atau kegagalan pernafasan.

Belajar hidup dengan Covid-19

Penduduk di Beijing dan Shanghai kembali bekerja seperti biasa ketika dua bandar besar tersebut sedang memasuki fasa untuk belajar hidup dengan Covid-19.

Langkah pelonggaran sekatan ketat di bawah dasar sifar Covid-19 itu diumumkan Presiden Xi Jinping pada awal bulan lalu selepas siri bantahan anti-lockdown yang jarang berlaku.

"Pencegahan dan kawalan epidemik negara kita sedang berdepan tugas serta situasi baharu," kata Jinping ketika merujuk kepada peralihan dasar kontroversi tersebut.

Jumlah kemasukan pesakit warga emas semakin meningkat sejak minggu lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Li Keqiang berkata, semua peringkat kerajaan perlu mempergiatkan lagi usaha demi memastikan permintaan untuk rawatan dan bekalan ubat-ubatan dapat dipenuhi walaupun berdepan masalah kekurangan agak kritikal pada masa ini.

"Saya kini bersedia untuk hidup dengan pandemik. Langkah lockdown bukan penyelesaian untuk tempoh jangka masa panjang," kata penduduk Shanghai, Lin Zixin, 25.

Sebelum ini, 25 juta penduduk di hab komersial China itu dikenakan sekatan ketat selama dua bulan hingga 1 Jun lalu sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak tersebut.

Beijing merupakan negara besar terakhir yang beralih ke fasa endemik dan langkah penutupan yang dilaksanakannya turut mengganggu rantaian bekalan dan perdagangan global. - Agensi

Info:

>Pihak berkuasa kesihatan China memberi amaran gelombang jangkitan baharu itu mungkin berlarutan selama tiga bulan sehingga Mac depan.

Klik di sini untuk terus membaca