DUA tiga hari lagi 2023 akan membuka tirainya. Kita yang ditakluki waktu, terpaksa akur dengan perjalanan masa.
Masa pula akan terus berjalan perlahan menurut kelajuan detik jarum saat pada jam ~ tik... tik... tik. Namun, kita kerap berlari mengejarnya walaupun ia sentiasa mengengsot.
Kita bagai seorang anak kecil yang berjalan dengan emak. Emak menapak selangkah, kita menapak dua langkah. Bila emak melangkah-langkah, kita kena cepat berlari kerana tak mahu ditinggal. Jika inilah analogi kita dan dengan jam, ertinya kita hanya insan kerdil berbanding dengan waktu yang agam.
Masa itu adalah antara makhluk ciptaan awal ALLAH Yang Maha Membentuk. Masa sentiasa ada dan ia menyelubungi seluruh alam. Jadi, tiada sesiapa pun yang boleh lari bersembunyi dari masa. Yang boleh, hanya menyembunyi usia!
Sama ada mahu atau tidak, suka atau benci, waktu sentiasa berada bersama kita. Ada ketikanya kita berjaya mendahului masa. Tetapi yang kerap, kita yang ditinggalkannya. Kerana itu, mari kita renungi, apakah kita kalah dengan waktu di tahun 2022 kerana ada banyak pelan 2022 yang tidak sempat dibereskan?
Atau apakah kita sudah mendahuluinya dan telah melangkau dengan aktiviti 2023 sejak berbulan yang lalu? Hanya orang yang lebih banyak bergerak dari menunggu akan meluncur dalam gear lima menjangkaui 2023 meskipun 2022 masih belum berakhir.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan daripada kita, tahun baharu harus menjadi titik semak atau check point prestasi kita di sepanjang tahun 2022.
Mari kita menyorot ke belakang melihat ufuk awal 2022 sebelum melangkaukan pandangan ke horizon 2023 pula. Berazam-azam untuk 2023 itu memang boleh, tetapi pelan untuk mencapai azam itu yang penting digariskan terlebih dahulu.
Soalan pertama yang harus ditanya kepada diri ialah, apakah kita larat untuk melangkah merentasi 2023 ini? Apakah kita menjangka akan mampu berlari atau tercungap-cungap melangkah hingga ditinggal waktu? Mujurlah seandainya kita boleh berlari dan berjalan, berlari dan berjalan seperti seorang anak kecil. Itu lebih baik dari jatuh tergolek dan tak mahu bangun lagi.
Orang yang fizikalnya sihat dan kurang lemak, boleh berjalan jauh dengan selesa. Malah, dia juga boleh pula berlari. Sebaliknya dia akan cepat mengah sekiranya terlebih bagasi pada tubuh terutamanya lemak. Dan lemak itu perlu dibuang dengan riadah seperti berjoging atau brisk walking.
Selain bagasi fizikal bila mahu menapak di sepanjang 2023, bagasi pada mental perlu dikurangkan. Maknanya kita perlu nyahkan bagasi dalam bentuk kesal, resah, gelisah, benci, dendam dan segala yang negatif. Dalam bahasa yang biasa kita sebut ialah dengan cara jalan terus atau move on.
Semalam telah pun berlalu. Kita tidak dapat kembali memutar masa. Esok yang penuh dengan teka-teki dan suspens ketidak tentuan itu pun tidak boleh digapai. Yang ada hanyalah hari ini dan saat ini. Waktu sekarang inilah yang boleh digunakan untuk membentuk semalam yang hodoh agar esok yang cantik dapat diukir.
Seiring dengan fizikal dan mental yang kurang bagasi, kita juga perlu buang bagasi spiritual yang memberati diri. Rasa malas dan tidak yakin itu barangkali berpunca daripada dosa yang memberati ruh untuk menguak mencari cahaya Illahi. Tahu buat perlu diganti dengan taubat. Taubat itu pula memohon ampun dan berjanji tidak mahu buat lagi.
Taubat yang diikuti dengan ibadah, yang baik mengganti yang buruk itu akan meringankan hati untuk rajin berbuat baik. Bila kita rajin berbuat baik, maka semangat akan menjelma dari lubuk hati.
Rasa yakin diri akan sentiasa mengiringi pada setiap perbuatan. Ini pula akan melahirkan rasa yakin yang ALLAH sayangkan kita dan akan membantu memenuhi apa jua hasrat yang menjadi impian.
Fizikal yang kekar dengan cara riadah, mental yang ringan dengan cara membuang segala yang negatif untuk jalan terus dan spiritual yang suci melalui taubat adalah resepi terbaik sebagai persediaan menyambut tahun baharu.
Ledakkan semangat itu agar ia terus membara. Tidak perlu dibakar semangat itu, sebab takut-takut nanti ia rentung pula di tengah tahun. Berpada-pada dalam segala tindakan. Semoga kita semua selamat mengharungi 2023. Amin.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca