SHAH ALAM - Golongan majikan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menzahirkan kebimbangan berdepan risiko gulung tikar apabila terikat dengan pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan 2022) berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif 1108 Hotel & Resort Sdn Bhd, Zamari Muhyi berkata, sekiranya majikan daripada sektor pelancongan terpaksa meneruskan akta berkenaan, ia akan memberi kesan kos operasi tinggi, sedangkan produktiviti kerja tidak efisien.
Menurutnya, kos operasi yang tinggi bukan sahaja daripada sudut gaji pekerja, malah berdepan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan daripada pembekal.
"Akhirnya majikan/pengusaha terpaksa menaikkan harga penginapan/perkhidmatan dan barangan.
"Bagi aspek pengusaha penginapan berlesen, kami terpaksa menanggung kerugian daripada tindakan OTA (Online Travel Agent) yang menjual harga bilik penginapan sesuka hati dengan harga yang mereka tetapkan dan mengakibatkan keuntungan majikan menjadi kurang.
"Kekurangan pendapatan daripada perniagaan boleh mengakibatkan risiko pengusaha mengecilkan saiz operasi atau menutup perniagaan," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, secara keseluruhannya pindaan Akta Pekerja tidak sesuai bagi industri pelancongan kerana rata-rata majikan mempunyai lebih daripada lima pekerja dan tidak bekerja dalam waktu kerja normal.
"Waktu kerja mingguan 48 jam ke 45 jam pula, majikan terpaksa menukar waktu operasi kurang satu jam daripada waktu operasi biasa. Contoh, jika kafe buka jam 3 petang terpaksa buka 4 petang," jelasnya.
Pengurus Operasi Dhia Milyoun, Farhana Zainuddin turut menyatakan kebimbangan terpaksa mengecilkan atau sehingga menutup operasi disebabkan bebanan kos operasi yang bertambah.
Apatah lagi katanya, pemilik PKS sepertinya baru melalui fasa kenaikan gaji minimum dan bahan mentah yang tidak stabil di pasaran.
"Sekeliling saya pula dah mula tutup ataupun kecilkan perniagaan kerana kos operasi akan meningkat lagi. Harap pihak kerajaan dapat membantu kami dalam isu ni," ujarnya.
Bagi Pengurus Chortiez & Co, Mohd Fakhruddin Abd Latif pula, pengusaha bidang makanan dan minuman (F&B) sepertinya terpaksa menampung kos operasi yang meningkat disebabkan waktu operasi yang berbeza daripada bidang lain.
"Waktu operasi tak sama lapan jam macam kerja di pejabat. Tapi disebabkan pindaan 48 jam ke 45 jam ni terpaksa buat penambahan pekerja untuk tampung waktu operasi kita.
"Kerugian atau gulung tikar mungkin tidak begitu terkesan. Tapi kos operasi akan bertambah," katanya.
Jangan diskriminasi pengambilan pekerja wanita
Sementara itu, Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) menjangkakan berlaku tindak balas majikan terhadap penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan 1 Januari depan.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berharap majikan tidak mendiskriminasikan pengambilan pekerja wanita susulan tempoh cuti bersalin yang diwartakan itu.
"Kita sebagai wanita sememangnya berasa lega kerana tempoh cuti bersalin dipanjangkan dan mendapat gaji penuh tetapi kena lihat dari sudut majikan, apabila akta itu dilaksanakan, maka mereka akan mengalami kerugian dari segi produktiviti.
"Jadi, saya nampak akan ada tindak balas iaitu pengurangan pengambilan pekerja wanita, di mana kebanyakan majikan mungkin tidak akan mengambil pekerja baharu wanita khususnya mereka yang telah berkahwin.
"Pekerja (wanita) sedia ada pula mungkin mereka akan mencari jalan bagaimana nak buang atau cara lain, majikan akan mengambil wanita berumur, malah akan timbul isu baharu, graduan wanita susah mencari pekerjaan. Ini diskriminasi, golongan pelajar yang paling terkesan nanti," katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, beliau meminta kerajaan memberi insentif kepada majikan seperti pengurangan cukai.
"Ini kerana kebanyakan syarikat swasta masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Jadi kerajaan perlu meneliti bagaimana untuk mengendalikan isu ini supaya tidak berlaku diskriminasi terhadap wanita.
"Dengan pemberian insentif berkenaan, ia bagaikan 'bonus' buat mereka jika mengambil pekerja wanita," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, dakwaan bahawa pelaksanaan Akta Pekerja 1955 (Pindaan) 2022 bakal menyebabkan peningkatan kos perniagaan dan seterusnya memberi kesan kepada pekerja itu disifatkan sebagai satu bentuk ugutan kepada golongan berkenaan, Parlimen serta kerajaan.
Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana pindaan akta itu telah lama diluluskan di Dewan Rakyat.
"Majikan seharusnya berikhtiar dan mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.
"Kalau majikan mempunyai pendapat seperti pelanggan akan disusahkan dan dihukum (dari segi peningkatan kos barangan dan perkhidmatan), ia satu bentuk ugutan, provokasi dan ugutan melemparkan kebencian, itu tidak sepatutnya berlaku.
"Saya fikir (ugutan) itu tidak sepatutnya keluar oleh majikan yang besar atau sederhana, sepatutnya mereka kena terima semua pindaan yang ada ini telah pun dibahas dengan libat urus pelbagai pihak,” ujarnya.
Mohamed Shafie berkata, pelaksanaan akta baharu itu juga dapat membantu dalam meningkatkan penjanaan pendapatan kepada syarikat.
Menurutnya, majikan perlu melihat perkara tersebut sebagai satu cabaran dalam perniagaan serta merangka pelbagai strategi untuk memajukan ekonomi syarikat mereka.
"Dengan pelaksanaan akta baharu ini, ia akan lebih meningkatkan pendapatan. Pekerja akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dengan syarat latihan secukupnya diberikan kepada mereka.
"Kalau dibangkitkan bahawa kos meningkat, perniagaan masih belum pulih sebab Covid-19 selama 2 tahun dan sebagainya, mereka jangan lupa bahawa kerajaan telah banyak membantu.
"Saya cadangkan kepada majikan supaya bergerak ke hadapan, cari satu pengisian yang baik supaya dapat memulihkan keadaan ekonomi mereka sendiri,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca